Monday, December 28, 2009

kawan serbaguna

dekatlah, biar aku jadi kawan serbagunamu
tempat kau kongsikan segala rasamu
sandarkan saja wajahmu kebahuku
biar ia jadi teman kau menangis syahdu
biar telingaku jadi tempat kau luruhkan sedihmu
akanku seka rasa itu jauh dari matamu

dekatlah, biar aku jadi kawan serbagunamu
aku boleh jadi lubuk kau membuang rahsia
aku boleh jadi telaga kau menimba semangat
disaat kau sudah hilang kudrat
akanku papah hingga kau kembali menyengat

dekatlah, biar aku jadi kawan serbagunamu
biarku cungkil keluar segala sakit peritmu
biarku simpankan bayang hitammu
bawah terang tiap tuturku

dekatlah, biar aku jadi kawan serbagunamu
jadi teman disaat kau sendiri
izinkan tawaku menghapus gundahmu
izinkan bicaraku menggilap senyummu
biar tenang kecamuk jiwa itu

dekatlah, biar aku jadi kawan serbagunamu
dikala kau terjaga dipukul mimpi ngeri
biar aku dodoikan resah hati itu
menghalau pergi setiap yang mengganggu
semoga waktu malam kau sentiasa lena beradu

dekatlah, biar aku jadi kawan serbagunamu
jadi tempat kau bermadah kata rindu
jadi sungai tempat kau menangguk ilmu
jadi laut tempat kau mencurah kasih biarpun beku
jadi kawan yang sempurna untuk kamu

dekatlah, biar aku jadi kawan serbagunamu
kau hanya perlu ingat
aku senantiasa sedia jadi kawan serbagunamu
kau cuma perlu dekat padaku
dan aku kan jadi kawan serbagunamu tanpa rasa jemu.

Wednesday, December 23, 2009

akad setia

sibuk, sesak seakan tak cukup masa
masing-masing dengan lagat berbeza
anak-anak kecil berlari-lari gembira
meraikan sesuatu diluar tema

orang muda menyusun kerusi meja
bersedia untuk majlis yang bakal bermula
di dapur yang hangat, kekadang membara
dengan bicara dan kerja-kerja
ada yang senyum tawa, ada yang menyinga
bila tersedar sesuatu yang diluar rencana

usik-mengusik perkara biasa
perawan dan teruna jadi mangsa
ah, tak mengapa, bukannya sentiasa
asal saja tiada yang terguris terluka

acara sebenar bermula
terasa tangan tak cukup dua
riuh rendah dengan suara manusia
menjamu selera dengan kenalan lama
sedikit serupa majlis pertemuan semula

mempelai tiba penanda kemuncak acara
disambut tetamu dengan wajah ceria
berseri tiada tara, raja sehari gelaran biasa
dengan doa dipanjatkan dari dada semua
moga kekal bahagia selama-lamanya.

Monday, December 21, 2009

kertas buruk

di atas sehelai kertas buruk
terselit dalam mesin taip yang sudah berhabuk
diungkapkan cerita , bukan turunan datuk
cerita yang takkan kunjung lapuk

di atas sehelai kertas buruk
dakwat ditumpahkan menjadi huruf dan corak
dibaitkan kasih disulam hampa
meski benang harapan masih belum terpotong dari bukunya

mesin taip yang sudah buruk
bunyi-bunyi karat silih berganti
besi-besi yang tersangkut tidak menghentikan kata
selagi masih ada yang sudi meluahkan semua

dengan mesin taip yang berhabuk
jari-jari lembut menekan keras bebutang huruf
menyusun kata menyampaikan maksud
biar lega hati yang sebu

jangan suatu hari nanti
semua ini dilupakan
kerana semuanya bermula
di atas sehelai kertas buruk
terselit dalam mesin taip yang sudah berhabuk.

Tuesday, December 1, 2009

disember

Salam 'alaik..

Segala puji bagi Allah, Robbul 'Alameen, selawat dan salam buat Muhammad s.a.w.

Jutaan terima kasih untuk para pengunjung blog ini. Semoga sentiasa dilimpahkan rahmat dan hidayah-Nya, diteguhkan iman menghadapi pancaroba kehidupan di zaman ini. Saya percaya ketika anda membaca masukan ini, saya sedang berada di kampung halaman saya membuat persediaan untuk beberapa acara penting. yang akan berlangsung sepanjang Disember ini. Bermaksud, masukan ini dibuat secara "auto-post".

Tiga belas siri masukan bertajuk "Saya, Yahudi dan Zionis" telahpun selamat diposkan ke dalam blog ini. Tulisan yang mengambil lebih empat ribu lima ratus perkataan bersamaan lima belas mukasurat (mengikut gaya penulisan Universiti Kebangsaan Malaysia) ini saya akui adalah masukan terpanjang yang pernah saya poskan sepanjang saya bergelar seorang blogger. Masukan ini, setelah difikirkan dengan teliti, terpaksa saya potong kepada tiga belas siri seperti yang saudara pembaca dapat perhatikan di arkib blog.

Tujuan utama masukan ini dibuat secara bersiri adalah untuk memudahkan pembaca menghadam sedikit demi sedikit kefahaman yang cuba saya terapkan selain untuk mengelakkan rasa bosan menghabiskan proses pembacaan masukan tersebut jika diposkan tulisan penuh dalam satu masukan yang pasti akan mengambil banyak ruang dan masa untuk menghabiskannya sekaligus. Tulisan yang mengambil masa hampir dua minggu untuk disiapkan ini juga menjadi wakil separa-mutlak saya menyatakan pendirian dan pandangan saya terhadap isu Yahudi dan Zionis sekaligus menolak tanggapan pro-Yahudi atau pro-Zionisme yang direjamkan kepada saya oleh beberapa pemikiran yang gagal memahami maksud sebenar saya yang banyak memetik sejarah dan pencapaian bangsa Yahudi dalam penghujahan seharian, seperti yang telah saya nyatakan beberapa kali dalam masukan tersebut.

Saya juga mengakui, isu-isu pertuduhan liar (tanpa bukti kukuh) yang semakin banyak berlaku di tanah air saya ini sedikit sebanyak menjadi pendorong untuk saya menyiapkan masukan tersebut tanpa mengira waktu, asalkan sahaja punya kesempatan, pasti saya akan cuba untuk menyiapkannya selain cuba menguasai isi-isi rujukan dari sumber-sumber yang berkredibiliti bagi memantapkan hujah. Sungguhpun masih terdapat kelemahan dari beberapa aspek tertentu, tetapi kejayaan ini sedikit sebanyak melegakan saya kerana sekurang-kurangnya saya telah cuba menjelaskan objektif dan pendirian saya sebaik yang mungkin.

Selepas ini dengan izin-Nya, saya akan cuba mengelakkan masukan bersiri yang terlalu panjang seperti ini jika keadaan tidak terlalu mendesak seperti yang telah berlaku. Sebarang cadangan atau komentar peribadi boleh diajukan terus kepada saya melalui emel mindajiwamerdeka@gmail.com.

Oh ya, menurut kalendar Hijrah, saya sepatutnya akan bertemu dengan ulangtahun kelahiran yang ke-23 pada 13 Disember ini, setahun lebih tua berbanding jika menggunakan kalendar Gregorian yang biasa kita gunakan. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan selamat menyambut ulangtahun bagi para pembaca yang akan menyambut ulangtahun kelahiran pada bulan Disember ini. Semoga sentiasa diteguhkan iman, diimpahkan dengan hidayah dari-Nya, serta sentiasa dihidupkan dalam keredhaan-Nya. Selamat ulangtahun.



Salam pemikiran,

-thinkaholic-

Monday, November 9, 2009

pulang

habiskanlah
langkah yang telah kau mulakan itu
kan kau sudah pulang ke rumah?

ketuklah
pintu kayu yang tidak bernyawa itu
biar yang merindu tahu
kau sudah pulang ke rumah

jabatlah
dan cium tangan kedua orang tuamu
kau kan sudah pulang ke rumah?

kau terasa asing?
memanglah
sudah terlalu lama kau jauh dari rumah
tapi kini
kan kau sudah pulang ke rumah?

hai jiwa,
apa yang kau tunggu lagi
termenung dari tadi
kan kau sudah pulang ke rumah?

Monday, November 2, 2009

Salamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah, robbul 'alameen, selawat dan salam buat junjungan Muhammad bin Abdillah, Rasulullah.

Terlebih dahulu, jutaan terima kasih buat para pengunjung dan pembaca sekalian.

Dalam kesempatan yang amat sedikit ini, tidak lupa untuk saya mulakan bulan November ini dengan sepatah dua kata dari saya sendiri selaku penulis solo blog ini. Walaupun seharusnya masukan ini menjadi kepala dalam setiap bulan, namun apakan daya sudah ada masukan lain dilihat sebagai keutamaan yang lebih penting untuk diposkan terlebih dahulu. Tak mengapalah lambat ataupun cepat, asalkan ada sekurang-kurangnya, bukan?

Malam sebelum ini, saya berkesempatan berbincang isu-isu nasional dan antarabangsa dengan seorang rakan saya yang turut peka terhadap isu-isu ini walaupun kami masih dicengkam dengan kesibukan untuk menghadapi penilaian sistem pendidikan sekular. Antara dapatan dari perbincangan tersebut seperti yang dinyatakan dalam masukan sebelum ini, "untuk arwah palestin" yang agak mengejutkan bahawa sesungguhnya tiada lagi Palestin ditandakan dalam peta dunia yang baru, mulai tahun 2001 jika tak silap kami. Menurut beliau, hanya negara-negara Islam yang masih memanggil Palestin sebagai Palestin sedangkan sudah banyak negara-negara lain tidak lagi mengiktiraf kewujudan negeri yang sentiasa berdarah tersebut. Dalam kelekaan kita mengejar kemajuan, kita terlupa untuk mempertahankan kubu keagungan kiblat agama suci ini. Salut untuk para mujahidin yang tidak putus asa berjuang demi agama dan maruah kemerdekaan mereka.

Kemudian kami sempat bersama-sama membaca kemaskini terbaru sebuah akhbar dalam talian yang menyatakan penahanan seorang agamawan terkenal tanah air dalam tempoh kurang dua jam berita tersebut dipaparkan di muka depan akhbar dalam talian tersebut. Apa yang saya lihat sebagai suatu kecacatan dalam tindakan tersebut adalah alasan penahanan yang lemah lagi tidak relevan jika dilihat dalam konteks kemasyarakatan yang semakin jatuh nilai moral dan pemikirannya ini.  Hal ini adalah bertepatan dengan logik akal manusia-manusia yang masih waras dan sedar dengan ancaman yang dibawa oleh ajaran-ajaran yang difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan jabatan-jabatan agama negeri masing-masing. Perbandingan ini mempunyai asas yang kukuh untuk diperhujahkan secara akademik dan matang. Bukan dengan tindakan melulu yang akhirnya menyebabkan diri sendiri yang malu. Insiden-insiden seperti ini sudah pasti akan menjadi buah mulut masyarakat moden amnya sekaligus boleh mencabar kredibiliti badan-badan yang dipertanggungjawabkan dengan amanah yang amat berat menjaga kesucian agama Islam di tanah tumpah darah ini. Diharapkan isu ini dapat diselesaikan secara aman dan adil.

Revolusi yang cuba digarap dan dibawa oleh beliau, menurut pandangan saya berdasarkan situasi dan pengetahuan semasa, bukanlah suatu ancaman yang besar, bahkan tidak layak dikira sebagai suatu ancaman sekalipun. Adakah cubaan menangkis tradisi yang sudah berkompromi dengan budaya dan selalunya bersifat rigid itu sentiasa adalah salah dan perlu dibanteras? Sejarah  menunjukkan, golongan yang cuba membawa  pembaharuan sentiasa ditekan dan ditentang walaupun perubahan yang dibawa itu tidak bertentangan dengan aqidah Islam. Adakah ini tanda sejarah yang akan berulang kembali? Izinkan juga kelancangan saya bertanya, apakah sebenarnya budaya masyarakat Melayu ini  adalah budaya Islam? Pada pengetahuan saya, terlalu besar jurangnya budaya Melayu yang diamalkan sejak turun-temurun dengan budaya Islam yang kian diabaikan tanpa dimatikan. Jadi terdapat satu garis yang kabur antara "revolusi" yang cuba beliau bawakan dengan "asimilasi dan adaptasi agama dalam kehidupan moden", yakni, beliau hanya cuba untuk membawa semula Islam yang diamalkan oleh para Mukmin pada zaman Muhammad s.a.w., seterusnya zaman sahabat-sahabat yang terdekat dengan baginda s.a.w. dengan suatu pendekatan yang mudah dalam kaedah fiqhnya berdasarkan cara hidup manusia dizaman millenium ini.

***

Ada masanya, saya lebih selesa untuk menukilkan idea dan pemikiran saya dalam bentuk penulisan kreatif, seperti yang saudara-saudari pembaca dapat lihat sejak dua atau tiga bulan ini. Mungkin keadaan ini akan berterusan, mungkin juga tidak. Bergantunglah kepada ilham yang sudi menyinggah di kamar pemikiran ini. Apapun, kesemua hasil penulisan tersebut diharap dapat mencetuskan kemahuan para pembaca untuk mendalami idea yang diselindungi dengan bait-bait puitis dan melihat dunia ini dari pelbagai perspektif supaya kita lebih mudah peka terhadap isu-isu yang dianggap kecil dan tidak signifikan kepada kita, sedangkan halnya isu tersebut memberi impak secara tidak langsung kepada kehidupan dan cara kita berfikir.

Nampaknya sudah terlalu panjang saya menulis untuk masukan selingan ini, maka saya mengundurkan diri dahulu. Doakan saya rajin berusaha dan tidak mudah mengalah untuk mencapai kejayaan dengan izin-Nya, ameen insyaAllah.
Selamat membaca.

-thinkaholic-

untuk arwah palestin


tangis sang langit tak meredakan api kemarahan, jauh sekali untuk memadamkan.
api dendam kesumat yang tak kunjung padam, bilakah menyalanya atas sebab apa?
bumi subur yang dikurniakan Tuhan menjadi rebutan,
manusia celaka terus melakukan pembunuhan, menjadi bapa kepada penderitaan.
belas kasihan terus dibuang dari kamus kehidupan.
demi cita-cita yang menutup mata dan membutakan.

tangis sang bayi tidak lagi memberikan senyuman persis sang ayah yang bersyukur dengan kelahiran.
hujan peluru dan bom terus menjadi hiburan telinga yang sudah pekak kepada perihal kemanusiaan.
wajah-wajah derita si anak kecil seakan panorama mengghairahkan buat yang dibutakan dengan kemewahan.
kitakah yang menjadi penyokong kepada kezaliman? terus lena walaupun dengkur kedengaran di angkasa raya.

si pendosa mengaku wira, mendabik dada terus kekal hipokrit
berlakon budiman menghulurkan roti-roti beracun buat si fakir
menyambut baik berjabat dengan si jahanam yang terus dilaknat
senyuman yang dilemparkan
adalah senyuman tanda hipokrit yang belum tumbang, meski sudah ditelanjangkan.

tatkala yang lain sedang nyenyak selepas menyantap nikmat dunia
masih ada yang sedang bersengkang mata, berjaga-jaga
mengangkat senjata satu-satunya cara
bukan demi kemewahan tapi untuk maruah warisan yang kian dipertahankan.

terima kasih sahabat
walau kita tak kenal rapat
walau tangan tak pernah berjabat
kalian memang manusia yang hebat
biar digempur si laknat

biar dihurung rasa penat
kalimah tauhid jadi azimat
mujahidin yang tak kenal lelah dan penat.


**tahukah anda Palestine sudah tiada ditandakan lagi dalam peta dunia terbaru?

Thursday, October 29, 2009

jika dunia tanpa pujian

kerdipkan matamu dan buka semula
pandanglah dunia ini dengan kerdipan baru setiapkalinya

nescaya kau akan dapat melihat
jika dunia tanpa mentari dan rembulan
siang tawar malam tak berseri
akal kelu rasa tak keruan
penglipur bisu pemuisi pun kudung

jika dunia tanpa pujian
sanggupkah kau hidup dalam kutukan?
caci, maki dan nista jadi makanan
meragut jiwa hati dan perasaan

oh, kejamnya rasa

dibelenggu tanpa kuncinya diciptakan
kasihan..kasihan..
jika dunia sunyi dari pujian

Friday, October 23, 2009

hikayat ; bingkisan dari celah kayangan

mari, aku khabarkan satu lagenda
cerita gagak dipinang garuda
satu kayangan gegak gempita
banyak yang mencaci tak kurang yang gembira

sudahlah hitam, kerdil pula
manakan saing terbang bersama
apakan daya dibenci dihina
celakalah nurani diukur rupa

biasalah, lidah suka bersembang gebang
tentang cereka yang hangat terpampang
lampu di kamar barangkali tak terang
kelam, samar-samar kaki yang tempang

hutan rimba cuba diredah
ah, banyaknya duri bersepah-sepah
tercucuk terguris hingga berdarah
luka kecil tak jadi masalah

pengeji gelisah diasah resah
bila gagak buat tak endah
kerana mereka cuma berkisah
akan hikayat yang tidak sah

melodi nostalgia hinggap di telinga
mematuk keluar memori lama
ada yang pedih ada yang bahagia
haruskah semua diulang semula?

akal setitik cerita setempayan
ditokok tambah oleh si polan
bagaimana hendak merentas zaman
jika perangai bertitah syaitan.

begitulah sedikit dari bingkisan
bunyinya hairan tapi dari kayangan
terkasar bahasa bukan disengajakan
tercuit hati ku pohon keampunan.

Tuesday, October 20, 2009

kecundang

siapa sangka
pagi yang bersinar indah
sebenarnya adalah senja rasa gah

siapa dapat menahan
bila diterajang dengan apokalips hidup
yang tidak kenal erti peduli

mungkinkah
hari semalam yang terkunci tanpa pintu
adalah tanda neraka hari ini

oh kata-kata
tidak lagi bermakna
oh puisi cinta
tidak sanggup mengubat nestapa

dihambat dan dirembat alam nyata
pada siapa hendak mengadu
siapalah mampu membantu

retaklah kaca retak seribu
retaklah hati menanggung pilu
siapa tahu rasa yang melemaskan jiwa
bila diredam dalam puitis kata

mencari teduh dibawah rimbun disangka rendang
sebenarnya adalah kayu api yang bertimbunan
kecil api cukup menyambar meragut segala harapan

hendak dirintih pun tiada mampu lagi
hendak dibaiki peluang belum tercipta lagi
apalah rasa yang membelit diri

berserah bukan menyerah
merelakan bukan mengalah
cubalah, siapa tahu pelangi akan muncul
mengukirkan senyum mengikis rasa kalah
selepas apokalips menimpa semalam.

-ditulis untuk yang merasa kecundang hari semalam. semoga berpeluang memperbaiki hari ini untuk esok yang lebih baik.

Saturday, October 10, 2009

cangkir kerdil

akal singkat, tak dapat diikat
sependek rambut yang tak boleh disikat
akal yang panjang dipotong, kudung
jadi makanan kuasawan yang kebuluran

perlahan-lahan duduk, kaki dilipat
sudah terlambat, hati memujuk, masih sempat
yang terkebil menanti pesan
sedikit-sedikit lenyap dalam kewujudan

tangan yang berbicara takkan selamanya bisu
fikrah yang bersuara takkan selamanya kaku
ada jawapan dalam mata yang merenung
ada soalan dalam hati yang termenung

sejenak memikirkan, mencari nilai titis-titis itu
terbazir dalam keruh fikiran yang berselingkuh
mencari kepastian dalam setiap hela dan hembusan
terus-menerus waktu dikembiri terbiar berlalu

Thursday, October 1, 2009

sebelum terlupa

Salam 'alaik..

Segala puji bagi Allah, robbul 'alameen. Selawat dan salam ke atas Muhammad, Rasulullah.

Jutaan terima kasih kepada para pembaca saya ucapkan.

Eid Mubarak kepada seluruh umat yang masih dalam mood menyambutnya. Dalam kecepatan masa yang berlalu, tanpa disedari sudah hampir dua minggu umat Islam dalam bulan Syawal. Bagi yang berhajat untuk melakukan puasa sunat 6 hari di bulan ini, saya galakkan dengan ucapan selamat beramal :)
Semoga juga, disiplin diri yang terbentuk sepanjang mengerjakan Ramadhan al-Mubarak yang sudah semakin kukuh dalam diri kita, insyaAllah.

Eidulfitr yang baru berlangsung juga menyaksikan angka korban nahas kemalangan jalan raya mahupun lebuhraya yang meningkat, antara yang tertinggi sepanjang Ops Sikap dilaksanakan oleh PDRM bagi "memastikan keselamatan" pengguna jalan raya di sepanjang musim ini. Kepada yang merasai dugaan berat kehilangan anggota, sama ada tubuh badan ataupun keluarga, saya ucapkan takziah kepada kalian. Saya doakan kalian dapat menghadapi keperitan ini dengan penuh rasa redha dan bersyukur atas nikmat dugaanNya yang tidak pernah sia-sia.

Pengalaman pahit laksana seorang isteri menerima madu pastilah bukan segembira seorang ibu menerima menantu atau seorang datuk menimang cucu, namun jika kalian meluangkan masa untuk berehat sejenak, mengenepikan emosi yang cuba menakluki pemikiran waras, insyaAllah akan dipermudahkan jalan mengharunginya. Bersangka baiklah kepada Maha Pencipta yang memberikan ujian. Pemikiran yang fleksibel dan hati yang terbuka seringkali telah membantu saya sendiri menghadapi dugaan dalam kehidupan yang singkat ini.

Baru-baru ini, bagi yang sempat membaca, saya telah menulis satu masukan berbahasa Inggeris, suatu kesinambungan kepada masukan bertajuk "mencarut" yang pernah saya poskan pada masa lalu. Dukacitanya, saya terpaksa menarik semula masukan tersebut. Maaf. Tiada alasan kukuh atas penarikan itu, sepertijuga tiada alasan kukuh untuk saya mengeposnya semula.


Saya benar-benar berharap untuk menulis lebih panjang lagi, tetapi lantaran kesuntukan waktu, sekadar ini saja yang dapat saya kongsikan pada dinihari ini, sehingga kesempatan yang lain, jumpa lagi.

selamat membaca

-thinkaholic-

Wednesday, September 30, 2009

ghazal untuk laila

ya lail

tunjukkanlah dirimu
hiasi dengan sinar terang
serikan dengan bintang-bintang
temani aku yang keseorangan
hangatkan aku yang kedinginan

ya lail

izinkan aku mengungkap bait-bait klise untukmu
harapku agar tak bosan kau melayanku
biarpun klise namun masih tulus dari benakku

ya lail

dalam waktu aku terbeban
seribu tanya berpuitis di pundakku
berbisa dalam bisikan merdu
perlahan kau memelukku lena
hanyut aku dalam titis air matamu

ya lail

darah yang mengalir lesu
hati yang tertutup tanpa pintu
semuanya kau telan satu persatu
biar pahit selautan hempedu

ya lail

biarpun kau seketika berlalu
masih, esok kau ada untukku
doakan aku ada menantimu

Sunday, September 13, 2009

pesanan am sempena Eidulfitr

Pesanan am ala-ala kempen kerajaan versi spontan lagi jujur:


Kepada semua umat manusia yang menyambut Eidulfitr ;

i. Berbelanjalah dengan bijak dan cermat. Usah terlalu mengikut orang lain yang berkemampuan besar sekiranya anda bukan seperti mereka. Pasti anda tidak mahu menghabiskan hari-hari berikutnya mengira hutang dan baki simpanan wang anda (jika masih ada) dalam bank (ataupun bawah tilam dan tabung ayam).

ii. Sememangnya Eidulfitr sinonim dengan pelbagai juadah yang menyelerakan. Sila pastikan berat badan anda tidak meningkat secara mendadak semasa merayakan Eidulfitr ini. Anda mungkin menjadi mangsa obesiti dan penyakit-penyakit lain yang menjadi "pakej" kepada obesiti.


Kepada semua pemandu kenderaan persendirian ;

i. Sila pastikan kenderaan anda telah diservis dengan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh mahupun dekat. Bengkel-bengkel kenderaan biasanya ditutup pada hari pertama dan kedua Eidulfitr dan anda boleh mengelak dari berhari raya di lebuhraya utara-selatan mahupun timur-barat jika anda membuat persediaan lebih awal.

ii. Bacalah doa sebelum memulakan perjalanan. Tolong pandu/tunggang kenderaan anda dengan berhati-hati. Ingatkan diri anda, semakin laju anda memandu, semakin buruk padahnya sekiranya berlaku kemalangan. Hospital pasti adalah tempat terakhir untuk anda dan sanak saudara menyambut Eidulfitr bersama anda (selepas kawasan perkuburan).

iii. Tolong beri lampu isyarat yang sesuai lebih awal sebelum anda membuat sesuatu seperti membelok ke simpang. Memandu di jalan raya bukan seperti bermain catur dimana orang lain perlu meneka apakah langkah anda yang seterusnya untuk mereka membuat tindakan susulan.

Kepada semua penumpang kenderaan persendirian;

i. Sila pastikan anda memakai talipinggang keledar. Anda pasti tidak mahu duit raya dipotong untuk membayar saman tidak memakai talipinggang keledar, bukan?

ii. Cubalah untuk berjaga dan menemani pemandu yang sedang memandu, lebih-lebih lagi di waktu malam. Pastikan anda hanya berbual, bukan bertekak atau bergusti untuk memastikan pemandu sentiasa dalam keadaan sedar. Mereka perlu berjaga dan fokus dengan pemanduan mereka.

Kepada semua pemandu kenderaan awam ;

i. Saya galakkan anda membaca doa (bagi yang Muslim) sebelum memulakan perjalanan. Ingatlah, berpuluh-puluh nyawa bergantung harap kepada anda untuk pergi ke destinasi mereka dengan selamat. Sumpah seranah dan surat saman daripada keluarga mangsa (sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini) tidak pernah menjadikan anda tersenyum seperti mendapat kad raya dari kenalan anda.

ii. Elakkan daripada mengambil alkohol ataupun makan makanan yang menyumbang kepada sakit perut sebelum memandu. Jika anda mabuk, anda mungkin terhuyung-hayang memandu, jika anda sakit perut pula, anda cenderung untuk menjadikan lebuh raya sebagai trek perlumbaan F1 untuk segera ke tandas sekaligus meningkatkan risiko yang boleh dielakkan jika anda bersedia rohani dan jasmani sebelum memulakan perjalanan.

Kepada semua penumpang kenderaan awam ;

i. Berdoalah banyak-banyak supaya pemandu kenderaan awam yang anda naiki tidak dipandu oleh seorang bekas pelumba jalanan dan seorang pemabuk. Jika anda ragu-ragu, pastikan anda mendapatkan informasi berkaitan pemandu anda daripada pihak-pihak berwajib.

ii. Cuba pastikan anda terjaga sekiranya anda menaiki kenderaan awam (bas terutamanya) yang singgah di suatu perhentian sebelum ke destinasi terakhir. Anda akan mengalami kesukaran jika tempat persinggahan itu sebenarnya adalah destinasi anda. Tiket bas selalunya "sold out" ke beberapa destinasi utama.

Kepada semua kanak-kanak (dan orang dewasa) yang mahukan duit raya ;

i. Aim small, miss small. Jangan terlalu berharap. Harga minyak dah naik sedikit, barang-barang pun dah naik harga sedikit. Tidak semua saudara mara (mahupun tuan rumah yang anda terjah) anda mampu untuk memberikan duit raya (yang banyak). Bersyukurlah dengan apa yang ada dan apa yang anda dapat. Hari raya adalah hari mengeratkan tali silaturrahim (selain memenuhkan tali perut) dan mencari keberkatan jadi keutamaan, bukan sekadar hari untuk anda memenuhkan bank simpanan "personal".

ii. Gunakan duit raya yang anda perolehi (jika ada) untuk tujuan yang bermanfaat. Cuba untuk elakkan pembaziran seperti membeli mercun ataupun membeli alatan membuat mercun "home-made". Ahli statistik mungkin menipu, tetapi statistik kecederaan akibat mercun masih boleh dipercayai tanpa ragu-ragu yang tinggi, sekadar 5% ralat sahaja.

Kepada semua pengguna (tegar) internet (blogger, facebook, dan lain-lain) ;

i. Tolong berehat daripada membuat masukan baru dalam blog anda, mengemaskini status anda dan berbalas komen di facebook setiap 15 minit, dan menonton youtube. Berjumpalah dengan saudara-mara dan sahabat handai anda. Internet sememangnya penting, tetapi Eidulfitr ini hanya dirayakan sekali dalam setahun. Carilah memori yang indah untuk anda simpan. Ingatlah, anda masih boleh memuatnaikkan kenangan itu dalam blog dan akaun facebook anda selepas berhari raya (bukan semasa saudara mara/kenalan datang berhari-raya). Tiada sebab untuk anda tergopoh-gapah melakukannya.



SELAMAT MENYAMBUT EIDULFITRI

Friday, September 11, 2009

aku, kau dan kita; angin masa

Sungguhkah
kata hatimu yang bertanya,
cukupkah
sekadar kau menatap wajahku
untuk menjawabnya.

Aku tahu
kau berfikir begitu.
Aku tahu
kau merasakan begitu.

Sungguh,
sedetikpun tidak terlintas
untuk membuat kau keliru.

Sungguh,
yang ku semaikan dahulu
adalah sesuatu yang suci
dan ia masih subur
dalam hati yang kontang
suatu masa dahulu
sebelum kau singgah
dan membajai dengan keikhlasan

Jauhkanlah
ragu-ragu yang kau siramkan itu
aku bukan angin masa
yang singgah dalam hidupmu
dan berlalu.

Sunday, September 6, 2009

senyum-senyum ramadhan

berdebar-debar dalam dada,
bila terdengar ramadhan nak tiba,
mengapa sebab, orang bertanya,
jawabnya nanti; qadha tak sempurna.

sebelum subuh makanlah sahur,
jangan lupa niat dan syukur,
lepas kenyang ada yang tertidur,
jikalau pengsan terlepas zuhur.

kuali berbunyi periuk digendang,
masakan si chef bukan kepalang,
apakan daya dugaan memandang,
di depan mata sajian terhidang.

bila puasa banyakkan bersabar,
jangan menggarang kerana lapar,
amal ditambah ilmu disebar,
moga nanti tak terkapar-kapar.

berbuai-buai di depan rumah,
singgah pula jiran sebelah,
bertukar juadah bukan sedekah,
pulangkanlah bekasan bila dah sudah.

baca doa sebelum berbuka,
tanda syukur pada Yang Esa,
kalau taknak masuk neraka,
jangan ditinggal fardhu yang biasa.

tunggang motor laju-laju,
sebab dah hujan teringatkan baju,
alahai saudara bukan selalu,
makan melintang patah membujur lalu.

air kelapa air tebu,
semua diborong keringlah saku,
bila perut dah rasa sebu,
murtabak enak jadi tak laku.

ayam kampung dibuat gulai,
daging muda dibuat salai,
terawih malam mula terbarai,
bila dah makan sampai terkulai.

masa moreh makan tapai,
masam manis nikmat dicapai,
rangkap akhir sudahpun sampai,
salam diucap dan juga bye-bye.

Thursday, September 3, 2009

ogos dah berakhir

Salam 'alaik

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Muhammad, Rasulullah.

Jutaan terima kasih buat para pengunjung sekalian. Maaf atas segala kekurangan di bulan yang sudah.

Sudah agak lama saya tidak mengemaskinikan blog ini. Hal ini kerana terdapat beberapa isu yang harus saya utamakan berbanding blog ini sepanjang ogos yang baru sahaja melabuhkan tirai sekaligus memberikan ruang untuk september yang sudahpun 3 hari berlalu. Sebenarnya itu bukanlah alasan, tetapi jika ada yang tertanya-tanya sebabnya, itulah jawapan yang akan saya berikan.

Selain itu saya juga turut mengalami krisis idea yang agak teruk, namun bukanlah bermakna saya tidak berkarya, cuma saya merasakan karya-karya tersebut terlalu peribadi dan tidak sesuai untuk dikongsikan bersama pembaca.

Oh, sebelum saya terlupa, selamat ulangtahun kelahiran untuk rakan-rakan yang ditakdirkan lahir dalam bulan september ini. Semoga bertambah kukuh keimanan dan bertambah amalan kebaikan. Tidak lupa juga, semoga segala impian kalian jadi kenyataan.

InsyaAllah, saya akan cuba untuk memastikan blog ini supaya dikemaskini dengan lebih kerap semula pada bulan september ini. selamat beramal di bulan ramadhan al-mubarak dan selamat membaca.

-thinkaholic-

Saturday, August 22, 2009

rumah

Langkah demi langkah diburu. Masih jauh dari depan pintu. Sudah terasa hangat dan rindu. Lari-lari kecil jadi tanda mengusir pilu. Senyum terlempar, salam bersahut. Yang sibuk, terhenti. Yang tidur, terbangun. Yang berjauhan, kembali bersatu. Yang tiada dirindu. Udara nyaman mengembalikan ingatan di masa lalu. Ya, berharap kekal aku di syurgaku. Tetapi mereka di sana lebih memerlukan aku.


1 Ramadhan 1430H

perutusan ramadhan

salam 'alaik...

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, selawat dan salam untuk Rasul junjungan.

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang sudah menyingkap tirai baru dalam kehidupan kita, muslimin khususnya, saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan selamat beramal di bulan yang mulia ini. Semoga segala amal kebaikan yang kita lakukan diterima oleh Allah s.w.t dan segala doa yang telah kita pohon dimakbulkan, insyaAllah.

Selain itu, saya juga ingin memohon maaf kepada para pembaca kerana sudah lama tidak mengemaskinikan blog ini dengan hasil tulisan dan pemikiran yang baru, seperti yang saya harapkan pada awal bulan Ogos yang lalu.

Di samping itu, saya mengingatkan diri saya dan saudara-saudari pembaca sekalian supaya tidak leka untuk menjaga kesihatan dengan baik lantaran serangan wabak yang penularannya semakin hari semakin membimbangkan, tambahan pula dengan tibanya Ramadhan ini, maka keadaannya mungkin akan menjadi lebih mencabar.

Akhir kata, semoga kita sama-sama dapat memanfaatkan kelebihan bulan Ramadhan ini dengan segala kebaikan. Sekian dahulu dari saya. Selamat beramal.

tercekik nasi kerana haloba,
minumlah air dari bejana,
bulan ramadhan sudahpun tiba,
semoga amalan tambah sempurna.


-thinkaholic-

Monday, August 3, 2009

ogos pun menjelma lagi

Salam 'alaik..

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam untuk junjungan besar Muhammad s.a.w.

Terlebih dahulu, jutaan terima kasih buat para pembaca yang dihormati, semoga sentiasa dalam keadaan sihat wal'afiat, dan diteguhkan iman dalam Islam serta sentiasa diredupi dengan keredhaan bertamu di atas muka bumi ini, insyaAllah.

22 tahun yang lalu, saya selamat dilahirkan dan dibesarkan sehingga hari ini, dan kebetulan pula bulan Ogos adalah bulan kelahiran saya. Apa yang saya anggap istimewa ulangtahun yang bakal menjelma sehari sebelum Ramadhan membuka tirai baru dalam kehidupan kita ini nanti, ialah tarikh kelahiran saya itu jatuh pada hari Jumaat, hari yang sama saya dilahirkan, dan sudah pasti, bukan kali pertama hal ini terjadi sepanjang hidup saya yang singkat ini. Syukur saya munajatkan pada Ilahi kerana peluang hidup yang dikurniakan kepada saya selama ini. Semoga saya akan terus dipinjamkan kudrat dan akal fikiran yang sihat untuk terus berusaha dan berkarya demi masyarakat, insyaAllah.

Berbicara hal karya, bulan Julai yang masih baru meninggalkan kita telah pun sempat saya rakamkan beberapa karya hasil pemerhatian dan fantasi akal sedar saya. Karya "anak marhaenis", tidak dapat tidak, harus saya akui adalah karya yang paling saya sukai sepanjang bulan Julai yang lalu. Semoga kita dapat bersama-sama mengambil perkara positif yang dapat digali daripada ikhtisar tersebut.

Barangkali sudah cukup kata-kata dari saya di awal bulan Ogos ini, semoga kita akan berjumpa lagi pada bulan-bulan yang akan datang dengan lebih banyak cerita dan idea yang lebih menarik.
sekian, terima kasih.

selamat membaca
-thinkaholic-

Thursday, July 30, 2009

tangis si anak raja

Kaki terpasak ke bumi. Meronta-ronta dalam hati mahu melepaskan diri. Mahu berlari ke sana dan ke mari mencari kebebasan yang sudah lama hilang dalam diri. Mencari makna sejati kewujudan diri. Terpenjara dalam istana emas, dikelilingi dewi dan bidadari sudah tidak bermakna lagi. Hilang sudah nikmat merasai dari benak hati. Redup istana yang memayungi tiada lagi memberikan ketenangan. Benci dihimpit kekeliruan. Ditindih gunung-gunung yang terbeban di bahu menafikan hak untuk bersembunyi. Satu demi satu bebukit kesabaran diratah rakus oleh suasana yang membelenggu. Mahu saja ingkar kepada perintah, tetapi tidak sanggup memungkiri janji dibuat lidah. Lalu sinar-sinar menitik ke bawah. Tangis tidak menyelesaikan masalah. Tangis tak mampu memaksa keadaan berubah. Tangis tak membuatkan kerinduan kebah. Namun tangis mampu meredakan hati yang berdarah. Biarlah hanya seketika, tapi cukup untuk membentuk hati yang lebih tabah.

Sunday, July 26, 2009

aku, kau dan kita; demi kata-kata

Jangan kau bimbang, aku telah dan akan setia berterus-terang. Tiada sangsi tiada pembohongan. Jangan kau bimbang, aku masih sayang. Tulus dari hati biar kekadang disulam puisi rekaan. Kita meniti kata-kata, menanamkan puisi rindu lalu mekar menjadi kuntuman mawar yang indah. Dan demi kata-kata juga aku bicara, kau mendengarnya dengan hati. Pahit bukan jadi benci tapi jadi hiasan kembara hidup kita. Rindu ini milik kita. Jangan terhapus dengan masa dan suasana duka. Masa memang jadi benteng untuk kita bersama. Tapi, jangan kau bimbang, hari masih terang. Masih ada masa untuk merancang. Biar tenang hati yang sendu. Biar kukuh sayang dan rindu. Percayalah, demi kata-kata aku yang aku bicarakan, dan demi kata-kata yang kau ungkapkan, janji setia kita teguh atas nama keredhaan.

Saturday, July 25, 2009

anak marhaenis

Tatkala insan-insan disangka agung sedang diukirkan dalam lipatan sejarah dengan kemegahan, dia masih dilupakan. Dia bukan insan pujaan, dahagakan pujian. Ketika manusia lain sedang kagum memandang pencakar langit yang bertebaran, dia masih memikirkan cara untuk dia mendapatkan sesuap rezeki diceruk-ceruk longgokan batuan. Dia bukan anak hartawan. Semasa manusia lain sedang terlepak kekenyangan, dia masih derita kelaparan, dan dengan air hujan dia menahan. Dia tidak mengenal manusia dermawan. Sedang manusia lain dipuja dan diberi penghormatan, dia masih terus-menerus dihina seperti pengemis jalanan. Dia bukan pencuri mahupun penyamun. Apabila manusia lain sedang enak dibuai mimpi dan fantasi malam, dia masih berkeliaran mencari teduhan dari embun jantan. Disaat manusia lain sedang leka dan bersenang-senang, dia masih dihimpit dunia yang penuh derita dan ketidakadilan. Namun dia redha. Dia bukan hakim untuk menghukum kekurangan. Dia bukan dewa-dewa untuk memberikan kemewahan dalam sekerdip pandangan. Dia juga bukan seniman yang dapat melukiskan puitis mewarnai kehidupan. Dia manusia biasa. Anak seorang marhaenis. Manusia yang sering dilupakan. Namun dia masih punya hak dan keinginan mengecap kendi kebahagiaan.

dari dasar laut

Sejuk dan gelap menyelubungi suasana. Sepi ini terus dimanjakan dengan seribu misteri. Mahu berenang merentasi masa silam. Mahu menulis suratan ketentuan. Membelah kegelapan dengan satu tujuan, mencari jalan pulang. Mendengar bukan pada bunyi, melihat bukan dengan mata. Biar segala beban jadi aral, tetap ditempuhi dengan sabar. Cahaya gemilang dihujung jalan menjadi petunjuk. Biarlah samar-samar. Tiada berkerdipan mata memandang, tiada putus asa dalam fikiran, selagi masih ada kudrat yang dipinjamkan, selagi masih mampu akal memikirkan. Terus-menerus dasar lautan akan direnang.

Wednesday, July 22, 2009

the square root of three

I fear that I will always be
A lonely number like root three

The three is all that’s good and right,
Why must my three keep out of sight
Beneath the vicious square root sign,
I wish instead I were a nine

For nine could thwart this evil trick,
with just some quick arithmetic

I know I’ll never see the sun, as 1.7321
Such is my reality, a sad irrationality

When hark! What is this I see,
Another square root of a three

As quietly co-waltzing by,
Together now we multiply
To form a number we prefer,
Rejoicing as an integer

We break free from our mortal bonds
With the wave of magic wands

Our square root signs become unglued
Your love for me has been renewed


FYI: This interesting poem was written by late David Feinberg.

Tuesday, July 14, 2009

jurubina dari langit

Dikisahkan, di suatu negeri berbumbungkan awan ditemui seorang jurubina, dikhabarkan beliau turun dari langit. Cantik wajahnya meliurkan gadis-gadis yang memandang. Manis bahasanya membuatkan lebah jantan memberontak kepada ratu lebah.

Diceritakan juga jurubina ini pada suatu hari bertitah kepada sang raja, beliau mahu baginda memperkenankan hasratnya untuk membina monumen terindah di muka bumi yang bergunung-ganang ini. Hebat kata-katanya menundukkan sang raja yang semakin kehilangan kuasa.

Adapun binaan itu sifat-sifatnya amatlah luar biasa, sehingga tak mampu diselami oleh kedangkalan akal jurubina manusia biasa. Bumbung binaan itu mahu dibuat dari awan yang redup tapi cukup hangat. Dindingnya dibuat dari angin taufan. Lutsinar tetapi kukuh. Temboknya pula mahu dibuat dari api nirmala. Biar binasa setiap yang mahu merosakkannya.

Selepas raja dititahkan memperkenankan permintaan jurubina dari langit itu, maka sekelian rakyat pun dipaksa mencangkul gunung-gunung dan batu-batu. Sungguhpun rakyat jelata sedar usaha mereka itu tidak membawa makna, tetapi demi kesetiaan membuta-tuli, masih mereka patuhi juga.

Bangkit pula seorang nelayan semasa sidang kerja dijalankan, memahukan kepastian kebaikan apakah yang akan mereka capai dengan usaha yang gila itu. Terkejut nelayan tua itu bila dijawab mereka juga langsung tidak tahu. Bagi mereka, cukup sekadar mereka patuh, soal lain usah dipedulikan. Sang nelayan tua itu pun berundur.

Saat si pemerintah mengetahui tentang persoalan yang dibangkitkan itu, segaralah dia dihukum tanpa bicara. Sekelian rakyat memuji keadilan yang dilaksanakan oleh sultan boneka itu. Amanlah negeri itu membina monumen, tanda kebejatan minda masing-masing.

**

Bertahun-tahun kemudian, si putera raja menaiki takhta menggantikan ayahandanya. Ketika itu barulah rakyat tersedar bahawa usaha mereka membina monumen itu masih lagi belum selesai sekalipun sudah bertahun-tahun dikerjakan. Sang raja pun membatalkan misi gila yang cuba dicapai sebelum ini.

Hairannya, dengan tidak semena-mena rakyat bergembira, memuji-muji kebijaksanaan sultan muda menghapuskan bebanan yang mereka pikul. Raja baru dijulang-julang menjadi wira penyelamat mereka. Barulah mereka tersedar, bahawa idea jurubina dari langit yang sudah hilang entah ke mana itu tidak terlaksana dengan kudrat manusia. Nelayan tua yang sudah lama terhukum pula dilupakan jasanya menafikan kebejatan pemikiran tersebut. Bijak sungguh rakyat negeri itu.

Monday, July 13, 2009

aku, kita dan mereka ; tarian istimewa untuk kita

Malam-malam itu terang benderang. Tiada sunyi dan suram. Gesek-gesek batu api memercikkan keriangan buat singa-singa muda yang terlepas dari kurungan, dahagakan kebebasan. Awan yang terbentuk dari hembusan kegirangan itu memberikan senyuman. Ikhlas. Tak perlu puitis untuk menggambarkannya. Hujan dan panas bukan lagi penghalang. Aku pun menari untuk suatu keraian, demi kita. Tarian istimewa ini untuk kita. Rancak tarianku persembahkan dengan keghairahan tanpa nafsu berselindung di sebaliknya. Huruf-huruf mula bersusun membentuk kata dan rima, menurut sahaja tarian jemari dan pena. Kita bebas pada saat itu. Masa seakan berhenti bergerak, membekukan waktu, demi kegembiraan yang kita kecapi. Harmoni tanpa duka di hati. Kita tidak perlu jadi luar biasa untuk gembira. Cukup sekadar kita bersama. Tarian sudah sempurna. Kita adalah untuk kita.

Saturday, July 4, 2009

coret-coret diawal julai

Salam 'alaik...

Segala puji bagi-Nya, selawat dan salam untuk junjungan.

Rela atau tidak, suka atau terpaksa, Julai sudah tiba, menyambut kita dengan pelbagai suasana. Ada yang masih di takuk lama, ada yang meluncur lancar maju ke hadapan. Tahniah buat yang mencapai kegembiraan dan takziah jika ada yang kehilangan. Pun begitu, saya doakan semoga yang baik-baik sahaja untuk para pembaca.

Terlalu banyak yang ingin disampaikan, tetapi terasa kekurangan bahasa dan perkataan. Itulah yang sedang saya alami untuk minggu-minggu kebelakangan ini. Krisis idea juga menjadi belenggu yang menahan entri-entri baru daripada diposkan. Ujian ini saya cuba untuk terima sebagai dorongan dalam berusaha lebih bersungguh-sungguh. Sama ada berjaya atau tidak, Tuhan sahaja yang dapat menentukan.

Akhir kata, semoga bulan Julai ini dijadikan medan untuk berusaha lebih bersungguh-sungguh dan kita semua beroleh kejayaan yang tidak disia-siakan. Ameen.

Sekian,

-thinkaholic-

Friday, July 3, 2009

dengarkanlah

Bacakanlah, untuk semua manusia yang tidak mampu membaca, agar mereka mengetahui hakikat.
Dengarkanlah, kepada mereka yang tidak mampu melihat agar mereka dapat berfikir dan memahami suasana.
Tunjukkanlah, kepada manusia yang tidak mampu mendengar agar mereka tidak ketinggalan. Ajarkan kepada mereka erti sebenar hakikat kejadian ini.
Kongsikan keindahan dunia ini kepada mereka, biar wajah yang suram dan muram jadi tenang dan gembira. Jangan bezakan mereka kerana berpakaian kusam dan koyak. Kita semua hampir sama biar tidak serupa seluruhnya.
Khabarkan keperitan jiwa yang terseksa agar mereka yang bisu dapat membuka mulut dan berbicara. Dengarkanlah kepada semua. Pekikkan kepada mereka yang berpura-pura tidak mendengar.
Teriakkan kebenaran itu agar mereka jangan sampai leka dibuai dunia dan fantasi.
Dunia ini kita kongsikan bersama. Keadilan itu kita tegakkan bersama. Yang benar kita teguhkan, yang batil kita binasakan.
Bersatu bukan perkara enteng. Kita berbeza. Namun, biarlah berlainan idea dan pendirian, biarlah berlainan budaya dan pakaian, yang penting tujuan kita sama. Demi anak-anak kita, demi pewaris keagungan agama.
Bantulah anak-anak kecil itu. Jangan dibiarkan masa depan mereka turut hancur dimusnahkan bom, seperti saudara-saudara dan harta mereka. Belalah mereka, jangan sampai kita gagal lagi membela, seperti kita gagal membela saudara-saudara mereka yang sudah kembali.

Wednesday, June 24, 2009

bahasa bernafas, bangsa yang lemas

Bahasa jiwa bangsa, itu kata pepatah yang sering digunakan untuk melambangkan ketinggian nilai sesuatu bahasa, yakni sehingga mampu menjadi menifestasi sesebuah bangsa. Masih, isu yang sama diputar-putarkan di dada-dada media cetak dan juga media eletronik. Apakah tiada penyelesaian kepada isu ini? Perbalahan masih terus menerus berlaku, seakan-akan tidak akan berakhir dengan suatu penyelesaian yang berkesan.

Bukan sedikit yang memberikan pandangan, bermula dari yang paling berkuasa sehinggalah insan yang paling tidak signifikan dalam negara. Masing-masing berebut peluang melontarkan idea dan pandangan yang difikirkan logik dan menguntungkan semua pihak. di segenap ruang yang mereka perolehi, dari media arus perdana sehinggalah blog-blog peribadi dan warung-warung kopi. Pandangan pakar bahasa dan pengajaran yang bertentangan seolah-olah dibuang begitu sahaja. Terus menerus juga eksperimen-demi-eksperimen dijalankan bagaikan tidak ambil kisah siapa yang bakal menjadi mangsa. Hal eksperimentasi ini bukanlah yang pertama berlaku dalam sejarah pendidikan negara, sepertimana pelajar-pelajar PPSMI bukan mangsa pertama eksperimen dasar pendidikan negara. Kita hairan, adakah mereka tidak menghargai masa depan anak-anak yang bakal mewarisi negara?

Bukan sekadar pandangan pakar-pakar, bahkan juga hasil kajian yang dijalankan oleh badan-badan dunia juga dipandang sepi. Pelbagai solekan digunakan untuk menutup kelemahan dasar ini. Bukankah ini merugikan? Mengapa harus tergesa-gesa mengejar kemajuan yang sukar dibayangkan? Bukankah realistik (berdasarkan situasi semasa) itu salah satu kriteria perancangan yang berkesan? Soalan-soalan yang berkeliaran di bibir-bibir insan yang prihatin tiada yang menjawabnya. Kasihan. Bahasa itu ternoda dengan idea yang kononnya berpandangan jauh. Kesannya, bangsalah yang menderita. Kemudian kita merasa tersinggung apabila generasi mendatang tidak mampu berkomunikasi dan berkarya dengan berkesan dalam bahasa ibunda, bagaimana hendak mereka lakukan sedemikian jika jati diri kebangsaan tiada lagi dipupuk dengan ketinggian bahasa ibunda, tetapi dengan bahasa asing? Lucu, bukan? Rasa bangga terhadap bahasa ibunda sendiri juga telah terhakis sejak mereka mengenali ilmu secara formal.

Baru-baru ini, perkembangan yang menarik telah dapat diperhatikan. Orang yang mula-mula bertanggungjawab ke atas dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah mengakui bahawa sememangnya lebih mudah untuk memahami konsep subjek kritikal itu dengan menggunakan bahasa ibunda. Pun begitu, beliau masih cuba menegaskan bahawa kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut dengan menyatakan bahawa terdapat istilah-istilah bahasa asing yang tidak tepat untuk diterjemahkan dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PnP). Sepanjang ingatan saya, bukan itu yang disebutkan semasa dasar ini mula-mula dijalankan. Di samping itu, jika alasan beliau dahulu menegakkan dasar ini adalah kerana kononnya disiplin ilmu-ilmu tersebut berasal dari baahsa Inggeris, bukankah sebenarnya matematik dikembangkan sejak tamadun Yunani dan diperkemaskan semasa zaman keemasan Islam menggunakan bahasa Yunani dan Arab atau Parsi masing-masing? Jika buku-buku rujukan pula yang menjadi isu, saya yakin, negara ini mempunyai badan bertanggungjawab berkaitan hal-hal penterjemahan yang masih wujud.

Apakah paradoks ini masih tidak cukup untuk para pembuat dasar semasa memberikan suatu kesimpulan dan penyelesaian unik lagi mutlak kepada isu ini? Sewajarnya kesilapan pembuat dasar yang lalu diberikan pertimbangan semula, demi kepentingan negara, bukan dibiarkan untuk menjaga ego sebagai pemerintah. Soalnya, dapatan kajian sendiri telah menolak keberkesanan dasar ini. Didapati bahawa perkembangan sekadar 2-3% sahaja diperolehi sejak dasar ini diperkenalkan. Ahli-ahli statistik terbabit, adakah tidak mahir dan sambil lewa semasa menjalankan tugas mereka? Terlalu kecil kemungkinan tersebut untuk dijadikan alasan.

Selain itu juga, saya secara peribadi melihat terdapat pembelitan isu dalam hal ini, di mana sepatutnya dasar ini diperkenal dan dijalankan untuk meningkatkan kemahiran bahasa asing (Inggeris) dalam kalangan anak-anak sekolah. Namun kini, apa yang saya lihat, seolah-olah dasar ini telah diubah tujuannya untuk memudahkan anak-anak malang tersebut mempelajari sains dan matematik dengan lebih mudah dan berkesan. Masuk akalkah tujuan ini? Negara-negara yang diakui maju dalam kedua-dua bidang tersebut didapati tidak menggunakan bahasa asing sebagai pengantar semasa mengajarkan konsep asas kepada anak-anak bangsa mereka sebaliknya menggunakan bahasa ibunda mereka yang lebih mudah difahami oleh pelajar. Mengapa tidak kita juga begitu? Terlalu sempitkah bahasa Melayu ini sehingga tidak layak menjadi bahasa ilmu? Berkurun-kurun yang lalu, bahasa Melayulah antara bahasa yang diangkat menjadi lingua franca, tetapi hari ini telah dihina oleh segelintir bangsanya sendiri.

Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, konsep asas matematik dan sains perlulah difahami dengan mendalam, dan hanya boleh dicapai dengan menggunakan bahasa ibunda sesebuah kaum. Hal ini jika tidak tercapai dari akar umbi, maka sudah pastilah akan meruntuhkan keyakinan dan minat pelajar-pelajar yang berpotensi dalam kedua-dua bidang tersebut. Mereka akan tertanya-tanya samada cita-cita mereka masih relevankah dengan pencapaian akademik yang tidak memberangsangkan mereka perolehi. Kesan sampingannya, masalah tekanan perasaan berlaku, dan mungkin juga menjerumuskan mereka kepada permasalahan lain yang lebih kronik seterusnya menjejaskan nilai mereka sebagai "modal insan".

Bercakap melalui pengalaman saya sendiri, bahasa Inggeris bukanlah satu matapelajaran yang sukar untuk difahami, cuma kekadang pengajar tidak menyatakan secara eksplisit dan terus terang objektif pengajaran mereka kepada pelajar, atau kata lainnya apakah yang akan diajar serta apakah yang perlu dipelajari. Pengajar juga semakin dibebani tugas-tugas tambahan yang sepatutnya bukan milik mereka menjadikan situasi ini semakin sukar ditangani. Mereka lebih mementingkan objektif menghabiskan sukatan pelajaran dalam masa yang dirancang berbanding untuk memastikan pelajar memahami sekurang-kurangnya 70% daripada isi pengajaran mereka. Saya sendiri mempelajari bahasa Inggeris secara kendiri dan terus menerus mempelajarinya sehingga hari ini, dan jarang mengalami masalah dalam berkomunikasi menggunakannya. Penguasaan saya dalam konsep asas bidang sains, matematik, statistik, ekonomi dan lain-lain langsung tidak signifikan kaitannya dengan bahasa Inggeris, dan saya masih mampu mempelajarinya walaupun buku-buku rujukan diberikan dalam bahasa Inggeris. Bermakna, jika konsep asas itu sudah kukuh, tiada masalah besar untuk kita mempelajari lanjutannya yang lebih mendalam.

Sebagai solusinya, saya mencadangkan supaya badan-badan yang bertanggungjawab dalam hal-hal penterjemahan supaya bekerja lebih keras untuk memberikan terjemahan tepat kepada konsep-konsep dan isitilah-istilah dari bahasa asing yang kononnya akan memberi impak negatif, seandainya hal itulah yang benar-benar menjadi isu pokok kepada permasalahan ini. Selain itu juga, rombakan sukatan pelajaran bahasa asing (Inggeris khususnya) mestilah dijalankan supaya bahasa tersebut diasah bukan sekadar di sekolah tetapi juga dalam kehidupan seharian. Jika pemerintah benar-benar tulus berhasrat mahu memperkasakan bahasa Inggeris, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sahajalah yang wajar diberikan penilaian semula, dalam kes ini, reformasi dan transformasi teknik pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting demi kejayaan dalam semua pelajaran yang diambil oleh pelajar. Saya percaya, sastera adalah medium yang paling sesuai untuk menguasai bahasa asing dengan sempurna.

Saya masih belum lupa dasar pandang ke timur yang diperkenalkan suatu masa dahulu. Namun kini dasar tersebut seolah-oleh lebih sesuai dipanggil dasar "meng-amerika-kan" negara jika bukan dasar "mem-britain-kan" negara. Ketahuilah, saya bukan menentang idea memperkukuhkan penguasaan bahasa asing, tetapi menentang idea yang menyusahkan pelajar dalam memahami konsep-konsep asas matepelajaran kritikal yang dapat mencorak dan menentukan masa depan mereka sebagai penggerak kemajuan negara suatu hari nanti. Janganlah bahasa yang ingin bernafas segar, tetapi bangsa yang terkapai-kapai kelemasan dalam arus pembangunan global.

Friday, June 19, 2009

cermin

Cermin kaca di depan mata. Kilauannya sederhana. Wajah yang terpancar membisu. Tiada suara meski bibirnya seakan bicara. Lantang atau tidak bukan jadi kehendak. Renung ke dalam cermin, mahu lihat diri, mahu kenal diri. Tanyalah sahabat di sana. Tanyakan juga pada musuh di mana. Cermin diri pada wajah mereka. Buruk pada sifat atau rupa, ada yang menilainya. Bila ada yang menghina, jangan dibalas dengan cacian. Terimalah sebagai dorongan. Cermin tak mampu memberi kesempurnaan. Sekadar mahu jadi teman, kekadang terpaksa menjadi lawan. Jangan dipedulikan. Ada yang cemburu merejamkan kata nista, ada yang memuja menghadiahi pujian mulia. Kedua-duanya sama? Kedua-duanya adalah cermin; cermin diri. Yang paling penting bukan meninggi diri, tapi jujur pada hati, cermin diri sendiri.

Thursday, June 18, 2009

malam

Jari-jari terhenti, kehilangan arah. Alam ini hampir habis diterokai. Mata yang menyala terang masih enggan tertutup. Sesekali terbit sinar membasahi, namun tak memadamkan. Detik jam memenuhi corong telinga, memohon agar diberikan pengisian sewajarnya. Bukan tak mahu, tapi tak mampu. Degup ini masih kencang. Apa yang menghanyutkan fikiran masih tiada jawapan. Rasa risau mencuri ketenangan, membelenggu akal. Fikiran tak bertumpu. Tunggu esok yang lagi satu. Ribut-ribut yang melanda sudah memakan separuh dari nyawa. Sabar, sabar, sabar, ujar fikiran. Tawakal sajalah kata hati. Kain kapas yang membalut diri terasa berat dan berbahang. Esok sudah menanti dengan seribu misteri. Sudah tiba masanya, barangkali, untuk berhenti...

Wednesday, June 17, 2009

selepas kelmarin

Semalam aku lihat ada pejuang di barisan hadapan. Berani kerana benar, gagah kerana hujah.
Hari ini aku lihat sudah bergelimpangan, ada yang gugur, ada yang bertempiaran.

Semalam aku lihat anak kecil itu tersenyum indah, seperti tiada azab yang menyelimutinya.
Hari ini aku hairan, mengapa senyuman seindah itu membawa tangisan dalam hati yang melihatnya.

Semalam aku mendengar manusia berhujah, berdegar bunyinya, bergegar hati dibuatnya.
Hari ini aku lihat tiada yang berubah, masih ada tangisan diceruk-ceruk batuan buruk tinggalan hujan dari sebelah. Mujur ada yang berani berdiri atas kata-kata sendiri, sayang, bukan dari bangsa ku sendiri.

Semalam, aku masih teringat akan barah yang memusnahkan kepercayaan, meninggalkan parut kekal lagi dalam.
Hari ini aku terkilan melihat ada yang bermain mata dengan kebinasaan. Sudah lupakah hari semalam? Aku diam, menyimpan jawapan.

Teropong mata ini mahu melihat jauh ke hujung dunia, mencari kesilapan. Harap ku agar tak terleka, jika yang membinasakan itu wujud dari dalam.

Semalam aku diberikan ujian, hujan ribut datang bertandang. Aku biarkan ia lalu tanpa rasa benci dan sakit hati.
Hari ini aku tersenyum, lihat kehidupan yang dijanakan. Aku yakin, masih ada waktu dan kesempatan untuk mengatasi segala rintangan.

Monday, June 8, 2009

bukan bukan-bukan

Terlentang, terkena tamparan. Wajah tenang jadi tercengang. Mata hitam mula buntang. Ini bukan bukan-bukan. Ini bukan satu cubaan. Ini bukan ujian penglihatan. Ini bukan bukan-bukan. Bangkit, mahu lari menyendiri. Malu diwajah bukan bukan-bukan, itu malu lagi memalukan. Tak keruan akal fikiran. Mahu lari, menjauh dari teman.Yang setia tak makan saman. Yang durjana teruja, bagai tercapai impian. Hei, jangan tambah benci. Jangan lupa langit bergantung tak bertali, tak berjejak ditongkat dengan jari. Bila-bila masa boleh jatuh menimpa diri. Ingat kawan ingat, ini bukan satu permainan, ini bukan bukan-bukan.

yang sayang...

yang berlalu sudah jadi sejarah, sudah dirakamkan
yang dirakam sudah banyak yang ditulis
yang tertulis sudah banyak diterbitkan
sayang, cuma sedikit orang yang mahu membaca dan mengambil iktibar.

yang terleka masih terlena
yang menyedari hakikat sudah berbicara
yang berbicara sudah lantang dan jelas hujah-hujahnya
sayang, cuma sedikit orang yang mahu mendengar dan memahaminya.

yang gopoh-gelojoh sudah bertenang
yang bertenang sudah merancang
yang dirancang sudah lengkap dan teliti
sayang, cuma sedikit orang yang mahu mengikutinya.

Sunday, June 7, 2009

sempurna

Apakah kesempurnaan? Tiada cacat cela itu dikatakan sempurna? Setiap waktu, manusia mengejar kesempurnaan dalam kehidupan. Ironinya, kebanyakan yang mencari kesempurnaan itu sendiri masih jauh dari sempurna. Namun mereka masih tidak silu mengangankan kesempurnaan. Sebut sahaja, apakah bidangannya, pasti ada yang sedang memburu kesempurnaan di sana. Rupa paras, sifat, cinta, harta, kuasa, kesemuanya memiliki nilai yang dikatakan sempurna. Isunya, tiada garis tertentu digunakan untuk mengukur kesempurnaan tersebut. Ada yang berpendapat, sempurna itu bermaksud jauh dari cacat dan cela. Ada pula yang berkata kesempurnaan dicapai tatkala tiada tokok tambah lagi yang diperlukan ke atas sesuatu. Tafsiran tepat kesempurnaan itu tidak keterlaluan jika saya katakan adalah sama banyaknya dengan orang yang mencari kesempurnaan tiu sendiri.

Secara peribadi, saya berpendapat kecacatan itu sebahagian dari kesempurnaan ciptaan. Sifat terlalu mengejar kesempurnaan itu sendiri adalah suatu kecacatan. Kesilapan menjadikan manusia itu benar-benar manusia.Persoalan timbul, wajarkah manusia mengejar kesempurnaan? Jawapan saya, wajar dan wajib manusia mengejar kesempurnaan, meski ia kekadang hanyalah ilusi yang tidak boleh dicapai biarpun dalam mimpi paling indah. Namun usaha untuk mengejar kesempurnaan itu tidak seharusnya disia-siakan demi mengejar kesempurnaan yang tiada ertinya meskipun tercapai. Kehidupan ini terlalu pendek untuk mengejar kesempurnaan dalam segala bidang. Maka, fikirkanlah, jika ada perkara yang ingin anda kecapi dengan sempurna, pilihlah yang benar-benar memberikan kebahagiaan. Perlu juga saya ingatkan bahawa hal terpenting dalam mencapai kesempurnaan ialah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat susah dan senang dalam kehidupan.

Saturday, June 6, 2009

memuaskan kebuasan

Makhluk yang bergelar manusia itu lemah. Serba kekurangan. Serba ketiadaan. Tiada kudrat, jauh sekali iradat. Dipinjamkan kepadanya segala nikmat dan diuji kesyukurannya dengan dugaan kehidupan. Ada yang disenangkan hidupnya hingga terleka. Ada yang disukarkan jalannya sehingga berpaling dari kebenaran yang hakiki. Dikurniakan juga kepada manusia itu makhluk paling mulia, yang diawal-awal penciptaannya sudah sedia patuh dan menyedari hakikat penciptaannya. Turut juga dilengkapkan ke dalam diri manusia itu makhluk yang paling degil sedari penghadapannya yang pertama kepada Maha Pencipta, sebagai ujian terbesar dalam diri manusia itu sendiri. Makhluk ini digelarkan nafsu. Tidak pernah rela patuh kepada sesuatu. Tidak pernah rasa cukup dengan nikmat. Jauh sekali untuk bersyukur. Derhaka adalah nama samarannya. Buas, tidak pernah puas. Godaan manisnya menjadikan penderhakaan sebagai suatu lagi nikmat yang mesti dikecapi setiap masa. Yang lemah imannya terpedaya. Ada yang sudah hebat amalannya tergoda. Kisah kebusukan sifatnya sudah diceritakan beribu tahun, namun masih ada yang enggan mengambil pengajaran. Menjadi raja dalam diri, memerintah tubuh, halus bicaranya tiada yang jelas mendengar namun masih ada yang menjadi hamba. Akal dan keadilan dihumban ke dalam istana khayalan. Mujur ada petunjuk kurniaan Tuhan, khas untuk hamba pilihanNya. Bangkitlah akal memberontak, berperang tak henti-henti, demi membebaskan diri, membersihkan hati dan jiwa, menegakkan keadilan dalam diri. Ada yang berjaya, ada yang syahid dalam perjuangannya. Begitulah manusia, begitulah kisahnya, hidup sentiasa dalam ujian, menilai ketaqwaan.

Friday, June 5, 2009

eh, dah jun ke?

salam 'alaik..

segala pujian dan syukur dimunajatkan kepada Ilahi, serta selawat dan salam untuk junjungan besar s.a.w. semoga para pembaca dalam keadaan sihat akal dan tubuh badan di samping yang tersayang, ditabahkan hati serta iman bagi menghadapi dugaan sukar dan senang dalam kehidupan marcapada yang kian mencabar.

saya sedang melihat-lihat kalendar dalam telefon sel saya sebelum saya menulis entri ini.
kehairanan, terasa sesuatu yang kekurangan, saya pun menjenguk kembali blog ini, untuk mendapatkan kembali memori yang saya bekukan dalam masa di blog ini.
lantas saya menyedari, bulan jun sudah menjelma, dan seakan menjadi rutin pula untuk saya bagi menulis perutusan bagi setiap bulan; yakni kata-kata terus dari saya untuk para pembaca yang dihormati.

kebelakangan ini saya sering dihurung kesibukan yang diluar rencana kehidupan saya, membataskan masa untuk saya menulis dan berkongsi idea dan pengalaman yang saya kira signifikan bersama pembaca sekalian. jutaan kemaafan saya pohon atas perkara ini.

sedari entri perutusan mei yang lepas, saya dapati pelbagai perkara penting berlaku di sekeliling kita, memerlukan kita untuk banyak berfikir bagi memberikan penilaian yang paling adil untuk situasi-situasi tersebut. saya tidak bercadang untuk menjadikan blog ini sebagai wadah berpolitik, namun sesekali saya kira perlu untuk saya memberikan pandangan saya berkenaan isu-isu terbabit, dan sudah pasti dengan cara saya yang tersendiri. samaada para pembaca memahami atau bersetuju dengan pandangan dan kiasan tersebut, saya serahkan keputusan tersebut kepada pembaca sekalian. jika ada sebarang respons peribadi atau pertanyaan, boleh dihantarkan kepada emel saya iaitu mindajiwamerdeka@gmail.com. InsyaAllah saya akan segera membalasnya sebaik sahaja saya membacanya.

baiklah, saya tidak mahu menulis terlalu panjang bagi entri selingan seperti ini, maka saya akhiri dengan ucapan jutaan terima kasih. semoga saya akan terus dipinjamkan kudrat dan kematangan fikiran untuk menulis di blog ini. selamat membaca.
sekian, terima kasih.

-thinkaholic-

Thursday, June 4, 2009

ramadhan al-murtabak

Baiklah, maaf. Pertamanya kerana bulan Ramadhan masih belum muncul, dan keduanya kerana terdapat kesilapan yang disengajakan dalam tajuk. Serius, bukan niat saya mencemari keindahan nama Ramadhan dengan menukarkan al-mubarak kepada al-murtabak. Saya terganggu dengan perkataan tersebut sejak beberapa jam yang lalu. Jadi, untuk memuaskan hati, saya pun menulis dengan kapasiti sebagai Muslim dan juga sebagai seorang pelajar jurusan ekonomi.

Jika kita perhatikan pada bulan Ramadhan, pelbagai keajaiban berlaku. Hal ini termasuklah Lailatulqadr. Namun yang ingin saya ketengahkan di sini adalah sikap manusia dalam menyambut dan melalui bulan yang penuh kerahmatan ini, contohnya urusan jual beli di bazar-bazar ramadhan. Majoriti pengguna, Muslim terutamanya cenderung untuk membeli murtabak, selain dari air-air minuman tahap luar biasa, ada yang tidak pernah didengari namanya seperti air katira sari, air selasih wangi dan sebagainya. Nama-nama tersebut diberi dan ditokok tambah untuk menarik minat pengunjung bazar-bazar seumpama itu. Air-air tersebut juga mengandungi pelbagai macam warna dan isian bagi menjadikan ia lebih menarik hati pengunjung. Secara peribadi, seumur hidup saya, saya hanya berpeluang menyaksikan air-air sakti penghilang dahaga tersebut di bazar-bazar Ramadhan beberapa tahun yang lalu sewaktu saya tersesat ke sana.

Mengapa perkara ini dibangkitkan menjadi suatu isu yang besar? Mudah saja. Bulan Ramadhan seharusnya menjadi bulan peperangan antara manusia dan hawa nafsu masing-masing. Hal ini termasuklah nafsu untuk makan, minum, berbelanja, dan sebagainya. Kelebihan berpuasa tidak perlulah disebutkan di sini kerana saya kira sudah terlalu banyak kajian saintifik yang dilakukan mengesahkan kelebihan berpuasa, ditambah lagi, sebagai Muslim, dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amal kebaikan yang dilakukan pada bulan ini. Namun dalam keghairahan umat Islam menyambut Ramadan ini, seringkali kita terleka kepentingan dan tujuan sebenar ibadat puasa tersebut, selain daripada manfaatnya untuk kesihatan kita, tidak lupa turut mengukuhkan pegangan akidah sebagai Muslim. Hal ini dapat diterangkan dengan contoh-contoh yang pelbagai dalam masyarakat sekeliling kita sewaktu bulan Ramadhan menjelma dan diakhiri dengan permulaan bulan Syawal atau mudah dirujuk sebagai EidulFitr.

Pelbagai jualan murah ditawarkan, pesta-pesta berlangsung pada siang dan malam hari bagi meraikan kemenangan yang tidak jelas bagi kebanyakan orang. Kemenangan ke atas apakah yang diraikan? Siapa pula yang berperang? Bila? Di mana? Bagaimana? Siapa pula yang layak meraikan kemenangan ini? Kesemua persoalan ini mengundang rasa untuk memerhati dengan lebih teliti demi menghasilkan jawapan yang dapat memuaskan hati. Jawapan beserta ulasan ringkas sempat saya muatkan dalam entri kali ini.

Bukanlah niat saya mencerca fitrah manusia yang suka kepada keraian, berhibur dan sebagainya. Namun jika dipandang dari sudut positif, kemeriahan Ramadhan yang sepatutnya disuburkan dengan amal dan kebajikan telah semakin hilang serinya lantaran tenggelam dengan pelbagai tawaran istimewa puak kapitalis yang bijak memanipulasi situasi demi keuntungan berlipat kali ganda persis banjir yang menenggelamkan daratan. Hal ini diburukkan lagi dengan pelbagai sambutan yang tidak bercirikan Islam seperti rancangan-rancangan hiburan yang bukan sahaja melalaikan, tetapi juga tidak memberikan manfaat kepada penonton. Hal ini, secara peribadi saya lihat adalah sekadar suatu menifestasi kapitalis untuk mengaut keuntungan, berselindung di sebalik nama memberikan "rehat" dan peluang "bersantai" untuk Muslim yang penat berpuasa.

Berbicara soal sambutan juga, tidak lengkap sekiranya tidak disebutkan sekali amalan Muslim selepas berakhirnya bulan penuh hikmah ini. Disiplin bangun pagi yang terbentuk sepanjang bulan Ramadhan, bersederhana dalam hal-hal seperti berbelanja, makan-minum, memperbanyakkan amalan-amalan baik seolah-olah turut berlalu pergi bersama Ramadhan yang menyinggah selama sebulan. Yang tinggal hanya sisa-sisa sahaja, yakni amalan yang diwajibkan. Apabila keadaan ini berlaku, persoalan yang perlu ditimbulkan dan difikirkan ialah, apakah sebenarnya nilai dan fungsi bulan Ramadhan ini kepada umat manusia?

Sambutan terhadap bulan Ramadhan dan pasca-Ramadhan perlulah diberi suatu nafas baru, atau sekurang-kurangnya bantuan pernafasan berdasarkan situasi yang kian menyengat ini. Tiada masalah bagi yang mampu untuk melalui bulan yang mulia ini, namun sejak akhir-akhir ini, objektif utama kewajipan berpuasa di bulan tersebut kian tenat dengan pelbagai dugaan. Kadang-kala saya lihat, di bulan Ramadhan lebih banyak orang yang tertewas berbanding bulan-bulan yang lain. Kesempatan ini saya ambil untuk mengajak pembaca di samping mengingatkan diri saya sendiri untuk menilai semula perbuatan dan amalan yang telah dilakukan, janganlah suatu hari nanti, Ramadhan al-Mubarak benar-benar menjadi Ramdhan al-Murtabak.

Thursday, May 28, 2009

alkisah...cinta agungkah?

Siapa ada di sana? Carik baju menjadi saksi buta. Siapa yang mampu bicara? Carik baju tuli dan bisu. Keadilan ditendang jatuh dari tempatnya. Siapa tahu? Cinta sunyi bakal disyairkan menjadi cinta agung. Siapa terpesona? Darah dan mata menjadi saksi. Tajam pisau tak dihiraukan. Siapa lihat? Mata yang sunyi dari kasih. Siapa yang merasa? Hati yang lemas dengan pelukan asmara. Siapa mangsa? Sang jujur lagi bijaksana, tidak terpedaya, namun tidak berdaya. Tipu dusta seorang wanita menghambatnya ke sana. Sangkar besi jadi pilihan hatinya. Khianat jauh dari benak dan pemikirannya. Rela terkurung dari dihurung kebebasan tanpa makna. Diburu cinta terlarang menjadi ketakutannya. Lalu dia lari dan bersembunyi di balik istana besi, kukuh dan kalis dari api asmara. Ratusan tahun kisahnya dinukilkan, disyairkan. Disolek menjadi cinta agung meski tiada yang berdiri menyokong hakikat kejadian. Bayang-bayang dan igauan memacu tulisan, memberi inspirasi cereka.

Wednesday, May 27, 2009

Alkisah...rajuk sang harimau

Alam riang itu kehairanan. Sangkaan mereka meleset. Si ahlilnujum alam yang paling kehairanan. Bagaimana mungkin sang harimau merajuk? Tidak pernah terbayang dalam bola kaca permainannya. Haiwan yang tampak gagah itu semakin hilang garangnya. Reputasinya sebagai raja di rimba kian tercalar. Pengikut-pengikutnya pasti akan mentertawakan keanak-anakkannya itu. Taringnya yang tajam seakan meratah keegoan dirinya sendiri. Ngaumannya yang menggegarkan langit dan menggerunkan musuh sudah menjadi mainan penghuni-penghuni alam riang itu. Di sana sini ngauman sindiran kedengaran. Sang harimau berlakon pekak, bisu tak mahu menawarkan jawapan. Sejak sang harimau mencampakkan gambar rakannya yang enggan menuruti kemahuannya, kebijaksanaannya dipersoalkan, kematangannya dipertikaikan. Perkara yang sekecil itu menjadi punca rajuknya yang belum reda, bahkan kian parah. Sang harimau enggan berjumpa dengan rakan seperjuangannya itu, jauh sekali mahu mendengar penjelasan rakannya mengapa dia berbuat demikian. Tindakan melulu sang harimau seolah-olah meminta si gajah yang gagah memijak-mijak kepalanya dan merampas gelaran raja di rimba. Siapa sangka, sang harimau yang garang pada rupa memiliki hati selembut kapas dalam dirinya.

Thursday, May 21, 2009

Admit it, would you?

Say, did you say or did you not say what I said you said?
For it is said that you said that you did not say what I said you said.
Now, if you say that you did not say what I said you said,
Then what do you say you did say instead of what I said you said.

Wednesday, May 20, 2009

aku, kau dan kita; terbang dan hilang

Terbang aku terbang, semakin tinggi aku terbang. Hilang aku menghilang, lesap aku dari pandangan. Kau masih di sana, menunggu aku yang tak tahu kau menanti di sana. Terbang aku terbang, sedarlah aku terbang mencari kau di mana. Hilang aku menghilang, sedarlah kau aku hilang dalam menduga sebuah rasa. Kau lihat dalam cermin, lihat kau memandang sendiri. Aku lihat dalam hati, aku lihat cermin kepada diri. Kita ada di mana? Bila berdepan jangan kita memandang tanah, tersenyum kepada langit. Bila berjauhan kita lihat bayang kita memberikan senyuman, menghadiahi kenangan. Jika kau rindu, kau sendu, ketahuilah, aku juga begitu.

Thursday, May 14, 2009

hukum hakam hakim

Sejak manusia mula menghargai peranan akal, pelbagai perkara dan kemajuan telah dicapai termasuk dari segi politik, sosial dan ekonomi secara amnya. Turut tidak dilupakan, kemajuan dalam sains dan teknologi juga berkembang dengan pesat sejajar dengan perkembangan akal dan ilmu. Kemajuan tersebut dicapai hasil pemikiran dan penilaian terhadap sesuatu. Isu kali ini bukanlah berdasarkan teori-teori ekonomi ataupun hukum-hukum fizik nuklear, tetapi berkaitan dengan soal penghakiman dan menghukum.

Lebih seribu tahun dahulu, telah diwahyukan hukum-hakam yang memenuhi fitrah manusia yang kekadang masih keliru dengan fitrahnya sendiri. Buat suatu jangka masa yang agak panjang, hukum-hakam wahyu itu telah diimplementasikan oleh pemerintah dan berjaya mencapai tujuan untuk mendidik manusia daripada melakukan kezaliman dan kemaksiatan serta menyeru kepada kebaikan. Namun, manusia tetap adalah manusia, makhluk yang tidak sepi daripada melakukan kesilapan. Masih ada yang berani melanggar sempadan perilaku yang telah diwahyukan.

Bagaimanapun kini, hukum-hakam ini bukan sahaja dipandang sepi, malah diperlekehkan dan ditolak oleh golongan-golongan yang terlalu beriman kepada akal masing-masing. Penolakan secara total oleh golongan ini telah disolek dan dipercantikkan dengan hukuman ciptaan mereka yang kononnya dapat menandingi kebijaksanaan Maha Pencipta. Sedikit demi sedikit manusia terpesona dan terpedaya dengan wajah palsu itu. Kebejatan pemikiran ini akhirnya telah mengundang pelbagai masalah dalam memberikan penghakiman yang seadil-adilnya. Mujurlah masih ada yang sanggup bersusah payah untuk menegakkan hukum wahyu ini. Soalnya, masih ramai yang enggan membenarkan pintu hati mereka diketuk oleh kebenaran yang hakiki.

Berbicara soal hukum tidak lengkap jika tidak menyentuh serba sedikit berkenaan hakim, yakni orang yang ditauliahkan untuk mengadili satu-satu kes yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Hakim pada masa kini, saya lihat dari perspektif peribadi, mempertimbangkan kepentingan sendiri dan kekadang turut dipengaruhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan ke atas keputusan pengadilan sesuatu kes. Hal ini, apabila terbongkar telah menjejaskan reputasi institusi kehakiman di mata rakyat. Kepercayaan mereka terhadap sistem kehakiman tercalar dan dinodai oleh perbuatan hakim yang curang ini. Keadilan yang mereka cari tidak lagi boleh diperolehi daripada sistem ini, maka mereka bangkit dan memberontak memahukan sistem ini diperbaiki semula kecacatannya. Ironinya, sistem ciptaan manusia ini tidak pernah pun mencapai kesempurnaan, apatah lagi mahu memperbaiki kecacatannya yang sudah pasti banyak. Perlu dinyatakan, tidak semua hakim cenderung menyelewengkan kuasa yang diamanahkan kepada mereka.

Para peguam dan pendakwaraya juga tidak terlepas daripada kecacatan sistem ini. Adat bertanding, pasti ada yang menang dan yang kalah. Hanya kebijaksanaan dan kelicikan mereka menghujahkan fakta dapat memberikan kelebihan kepada mereka. Hal menang atau kalah ini sekali lagi menyebabkan keadilan tertindas di sebalik keghairahan mereka mahu memenangi kes-kes mereka, atau kata lain, hanya yang bijak dapat memperolehi "keadilan" untuk klien mereka.

Isu yang dibangkitkan ini sudahpun mendapat perhatian dari banyak pihak sedari mereka tersedar akan kepentingan keadilan dilaksanakan, dan ketelusan dalam pelaksanaan keadilan itu sendiri perlu dijaga dan dipertahankan. Usah jadi seperti kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi, harapkan sokong, sokong membawa rebah. Jangan ditunggu retak menjadi belah, masih belum terlambat untuk berubah.

Tuesday, May 12, 2009

hitam lagi haram

Gegak gempita tanah yang sedia bergolak. Laksana bumi mahu terbelah dan menelan kebatilan dan kejahilan. Ombak-ombak keadilan menerpa susuk-susuk hitam dengan garang. Lantas terpekik terlolong si hitam yang hina mencari rendangan untuk selamat. Entah dari mana asalnya, sekonyong-konyongnya dia diangkat menjadi raja dan dewa untuk kaum-kaum jahil di sana. Berperang dengan keadilan, namun tewas dan dimalukan. Sekalian yang menyembah dan mencium duli busuknya itu mula bertempiaran lari mencari gua-gua sepi bagi menutup malu. Aib sungguh mereka ketika itu. Si hitam yang dipuja-puja sebenarnya berdiri bersokongkan penipuan, keharaman. Mereka tengelam dalam bumi hak, ditimpa pula langit keadilan. Di balik kemelut itu, masih ada yang jahil mempertahankan si hitam yang semakin haram. Memutarkan kenyataan, menodai kebenaran. Lebih haram perilaku mereka, lebih hitam hati mereka. Langit tinggi mahu ditongkat dengan tangan. Benang yang basah mahu ditegakkan dengan paksaan. Kasihan nasib si hitam, bukan saja hitam, bahkan juga haram.

Sunday, May 10, 2009

aku, kau dan kita

Aku ada di sini, kau tegak di sana. Siapa aku seperti kau bertanya. Siapa kau ingin ku tahu juga. Senyum kita serupa, senyum penuh makna. Bisu jadi bahasa kita. Kaku jadi langkah kita. Aku terus merenung buat kau termenung. Jalan kita lurus, niat kita halus. Aku masih berdiam, kau masih memendam. Keraguan ini takkan terpadam. Cahaya masih samar-samar, masih kelam. Kau datang tatkala aku mula menghilang. Kau mendarat tatkala ku mula terbang.

Saturday, May 9, 2009

singkat dan senteng

Baru-baru ini saya menerima e-mel dari seorang rakan saya. E-mel itu bagaimanapun bukanlah beliau sendiri yang menulisnya, tetapi sekadar meneruskan rantaian e-mel yang telah bermula entah bila dan dari siapa. Emel itu juga bukanlah yang pertama saya terima seumpamanya. Saya gagal untuk menyalahkan beliau kerana menghantar e-mel tersebut. Kata-kata di penghujung e-mel tersebut tidak memberikan beliau sebarang pilihan secara implisit, yakni pilihan untuk tidak meneruskan rantaian penyebaran e-mel itu kepada rakan-rakannya yang lain, termasuklah saya. Maka saya cuba untuk memahami situasinya. Baiklah, cukup untuk pendahuluan.

Kandungan e-mel tersebut saya tidak perlulah saya petik di sini, kerana saya mengandaikan hampir semua orang turut pernah menerima emel-emel yang hampir serupa makna dan tujuannya. Isu yang dibawa emel ini bagaimanapun terlalu lemah pada saya. Mengapa perlu kita bimbang dengan penggunaan singkatan perkataan yang membawa maksud kurang baik dalam bahasa lain? Hal ini menghairankan, lebih-lebih lagi apabila singkatan itu digunakan untuk berkomunikasi dengan orang yang rata-ratanya menggunakan bahasa ibunda yang sama. Jika dilihat semula kepada asas-asas komunikasi, elemen yang penting dan perlu ada ialah penghantar mesej, medium penghantaran dan penerima mesej. Proses pengekodan berlaku bagi penghantar mesej sebelum melalui medium penghantaran. Penerima mesej pula perlu menyahkod mesej tersebut untuk difahami. Sebagai sampingan, terdapat gangguan yang kekadang berlaku yang sering diistilahkan sebagai gangguan semantik. Gangguan yang boleh menyebabkan salah tafsir kepada mesej yang hendak disampaikan ini bagaimanapun boleh diatasi dengan bertanyakan soalan semula kepada penghantar mesej untuk mendapat kepastian maksud mesej. Komunikasi dianggap berkesan apabila kedua-dua pihak memahami mesej yang dihantar dan diterima tersebut. Proses ini mudah, walaupun diterjemahkan dalam bahasa yang mandul. Buktinya, anda boleh memahami proses yang saya ceritakan.

Selain itu, tiada asas yang kukuh untuk menyokong hujah dan tuduhan mereka mengatakan sedemikian, yakni berkaitan maksud yang kurang baik tersebut. Tidak salah sekiranya mereka menyatakan atau menyertakan sumber-sumber seperti kamus bahasa Ibrani yang sering menjadi mangsa tuduhan ini. Memang betul, bangsa Israel tidak lekang dari dendam mereka terhadap umat Islam, namun hal ini tidak menghalalkan tuduhan-tuduhan palsu dibuat untuk memburuk-burukkan mereka. Jika tidak, apakah bezanya umat Islam dengan bangsa Yahudi yang sering bohong dan mungkir dalam kata dan janji-janji mereka kepada Tuhan, apatahlagi sesama manusia. Untuk rekod, dalam emel tersebut, "akum" dikatakan adalah akronim untuk "Avde Kokhavim U Mazzalot", bermaksud "hamba-hamba binatang dan orang-orang sesat" yakni gelaran bangsa Yahudi kepada bangsa-bangsa selain mereka. Petikan ini adalah salah satu contoh daripada berpuluh-puluh lagi perkataan lain yang saya terima. Ironinya, orang yang mula-mula menggunakan singkatan "akum" untuk "assalamualaikum" bukanlah dari bangsa Yahudi. Singkatan ini telah diintegrasikan menjadi frasa Ibrani yang saya sebutkan di atas dan secara kebetulan digunakan oleh umat Islam semasa memberi salam. Pendapat saya secara peribadi adalah, singkatan ini tidaklah menjadi masalah asalkan niat kita adalah untuk mendoakan kesejahteraan sesama Muslim, bukan untuk menyumpah.

Perkara yang saya pandang serius selain daripada tuduhan-tuduhan tersebut ialah frasa-frasa yang digunakan oleh pengirim emel untuk memastikan emel mereka tersebar luas, terutamanya dalam kalangan umat Islam. Berbekalkan kata-kata "sayang Islam", "selamatkan saudara-saudara se-Islam kita" dan sebagainya, ugutan dibuat secara halus sehingga menggambarkan orang yang tidak menyebarkan emel tersebut akan ditimpa bencana, dan yang paling teruk, seolah-olah kecintaan mereka terhadap agama Islam dipersoalkan tanpa sebarang asas yang kukuh dimana penghantaran emel menjadi kayu pengukur kepada tahap iman penghantar (penerima ). Namun, masih ramai yang tidak cakna kepada isu ini. Seharusnya Mukmin tidak terpengaruh dengan marcapada yang penuh tipu daya dan menimbulkan fitnah ini.

Sebagai penutup, perlu saya tegaskan, penggunaan singkatan tulisan yang sedia telah merosakkan keindahan bahasa mestilah dinilai semula. Akal yang telah dianugerahkan pula mestilah dimanfaatkan sebaiknya bagi mengelakkan Muslim digelar umat yang berakal senteng kerana perkara-perkara yang dianggap remeh ini. Sesungguhnya umat Islam itu adalah umat yang terbaik di atas muka bumi ini.

mei datang lagi

Salam 'alaik

Dalam kelekaan kita mengejar kehendak dan kemahuan masing-masing, berlalu sudah masa perlahan-lahan meninggalkan kita, dan Mei datang lagi selepas setahun genap meninggalkan kita.
Sebelum itu, maaf saya pohon daripada pembaca kerana gagal menerbitkan entri baru dalam kadar yang lebih cepat. Hal ini berlaku atas beberapa faktor. Salah satunya kerana keperluan untuk saya menumpukan perhatian menghadapi penilaian dari sistem pendidikan sekular sekaligus membataskan masa untuk saya meluahkan idea-idea yang terpacul di benak pemikiran ini.
Dan kini, saya sudah pun selesai menghadapi penilaian-penilaian tersebut.
InsyaAllah, selepas ini saya mempunyai lebih banyak waktu terluang untuk berfikir dan menulis di blog ini. Terima kasih atas sokongan pembaca yang dihargai sekalian.
Sekian dulu dari blog author di awal Mei ini.

Selamat membaca.

-thinkaholic-

Tuesday, April 28, 2009

hujan

Hujan menitis. Sudah pasti ke bumi. Dilihat pepohon seakan tersenyum dengan kehadirannya. Hujan bawa gembira. Menyucikan kekotoran, mendak debu dari berterbangan. Sinar terik mentari yang membakar sebelumnya dilupakan sementara. Hujan jadi rahmat, jadi penyelamat. Kepul-kepul yang dirindukan kembali memayungi. Kepul gelap menitiskan kehidupan. Titis-titis yang dibawa angin meniupkan kedinginan, menyelimuti kulit. Ada yang mengelak diri. Kekadang hujan yang turun dibenci. Sedang ada yang bersembunyi di sebalik awan selepas hujan. Pelangi hadiahi senyuman. Benci dengan hujan namun tersenyum melihat pelangi. Apakah sebenarnya keindahan? Dimana sebenarnya hati? Sesudah hujan turun atau sesudah hujan berhenti?

Thursday, April 16, 2009

kirim dan titip

Disuatu ruang dan masa, terjadilah suatu perbualan antara seorang anak dan bapanya.

Bapa:Menangislah wahai anakku, sepertinya hari ini hari terakhir hidupmu.
(terdiam sebentar)
Bapa: Menangislah wahai anakku, kerana hidup ini terlalu pedih menyeksa jiwamu.
Anak: Tertawalah, gembiralah wahai bapaku, kerana hujung penderitaanku telah tiba.
Bapa: Berhentilah kau menangis anakku jika begitu kerana bapamu sudah berhenti menangisi kesedihanmu.
Anak: Tidak sesekali aku tangisi penderitaan ini wahai bapa.
Bapa: Bapamu selalu terdengar hatimu menangis wahai anak.
Anak: Sesungguhnya tangisan itu datangnya dari hatimu wahai bapa. Ampunkan aku kerana membuatmu menangis.
Bapa: Tidak pernah aku berkecil hati menangis keranamu. Apalah airmataku dibandingkan dengan penderitaan yang kau tanggung.
Anak: Janganlah kau menangisi kematianku wahai bapa. Sesungguhnya aku redha sampainya ajalku di depan mata.
Bapa: Mahukah kau melihatku tertawa wahai anakku, sedang aku akan kehilanganmu dan aku amat bersedih kerananya.
Anak: Bersedihlah jika begitu. Namun jangan kau ratapi pemergianku.
Bapa: Apakah pesananmu yang terakhir duhai anakku? Akan ku kerjakan sebaiknya demimu.
Anak: Apalah yang lebih baik buatku selain keredhaan darimu.
Bapa: Aku redha hidupmu sebagai anakku dan aku redha akan pemergianmu.
Anak: Doakanlah aku wahai bapa.
Bapa: Aku doakan kesejahteraanmu semasa hayatmu, sebelum ajalmu, semasa ajalmu dan selepas ajalmu wahai anakku.
Anak: Ajarkan syahadah kepadaku duhai bapa. Izrail sudah tiba. Menjemputku pulang mengadap-Nya.
Bapa: Laailahaillallah, Muhammadarrasulullah
Anak: Laailahaillallah, Muhammadarrasulullah...
Bapa: Duhai anakku, aku kirimkan engkau kepada-Nya, kiriman yang melebihi segala kiriman, titipan yang tiada sia-sia segala titipan.

Ruang itu pun beransur-ansur kabur dan hilang, seperti masa yang menyelubunginya...

Wednesday, April 15, 2009

berjalan dan memandang

Beberapa waktu yang agak lama dahulu, saya berkesempatan untuk melakukan sesuatu yang sudah lama saya sukai. Berjalan dan memandang. Apa yang saya anggap istimewa dalam perjalanan ini ialah, saya berjalan dan memandang dalam hujan lebat. Pada saya pemandangan semasa hujan mempunyai daya tarikan yang tersendiri, yang sukar diperolehi semasa hari cerah.

Sebelum saya keluar rumah, saya memandang ke belakang. Setelah saya memastikan tiada barang alah hujan yang saya bawa, saya pun meneruskan perjalanan dengan langkah pertama dan seterusnya. Sendirian saya berjalan, dan sudah pasti saya kebasahan. Ada juga yang memandang saya dengan perasaan hairan. Mungkin mereka terfikir apalah yang saya cari dalam hujan, sedang mereka semua berlindung dari rahmat ini.

Saya tidak menganggap perjalanan ini suatu yang sia-sia, jauh sekali mencari bala kerana mungkin saya akan diserang demam selsema, ataupun senario terburuk yang boleh berlaku dalam hujan lebat, dipanah petir. Muhasabah diri, seperti yang sering saya lakukan dalam waktu lapang saya, saya menyanggah pendapat yang berkata, "Usahlah kamu memandang kebelakang. Hidup ini mesti diteruskan..Lupakan kisah silam, mulakanlah penghidupan yang baru."

Memang, saya akui, terdapat kebenaran dalam nasihat itu, tetapi tidak kesemuanya benar belaka. Sejarah lalu yang kita lalui dan pelajarilah yang membentuk kita hari ini. Jika tidak, bagaimana rakyat Palestin sehingga hari ini masih berdendam dengan Israel laknatullah, sudah pasti kerana sejarah mereka bersengketa berebutkan tanah Palestin masih belum bernoktah dan terus menerus berlaku sehingga hari ini.

Begitupun, mereka masih mengejar kemajuan duniawi dari segi ekonomi dan politik terutamanya sebagai mengahadapi cabaran dunia yang semakin hebat. Mereka masih mampu untuk memandang kehadapan walaupun terus-menerus dihantui oleh kenangan silam. Saya akui kurang arif tentang kegiatan ekonomi seharian mereka selain berniaga dibazar-bazar ataupun menjaga pesakit-pesakit di rumah-rumah sakit dan kem-kem pelarian, saya lebih mengenali Syeikh Ahmad Yasin yang dibom oleh helikopter Israel sewaktu subuh, begitu juga Abdel Aziz Rantisi yang menerima akibat yang sama, dibom kerana menjadi pemimpin Hamas untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin yang sekian lama ditindas dan dinafikan oleh Zionis Israel.

Berbalik kepada isu utama, berjalan dan memandang. Bagi saya, hidup yang diumpamakan sebagai suatu perjalanan oleh ahli-ahli filusuf ini mestilah sentiasa diteruskan, walau susah, walau senang yang kita hadapi, kerana kedua-duanya adalah sama, dugaan duniawi. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, ada yang diuji dengan kesenangan hidup. Mana satu yang lebih mudah? Jawapannya sama, kedua-duanya tidak semudah yang disangkakan.

Hidup mesti diteruskan dengan menjadikan sejarah sebagai pedoman agar kita dapat memperbaiki kesilapan yang berlaku dalam sejarah. Kesilapan-kesilapan itu hanya dapat ditebus dengan memandang kebelakang dan menilai semula sejarah yang telah berlaku. Bagaimana penilaian yang berkesan hendak dilakukan jika sejarah diabaikan, manusia enggan pandang kebelakang? Tidak mustahil boleh dilakukan, tetapi memerlukan usaha yang lebih dan berterusan. Ironinya, akhirnya golongan ini akan kembali mencuri-curi memandang kebelakang untuk mencari petunjuk melengkapkan penilaian mereka untuk masa depan, yang mereka istilahkan sebagai berpandangan jauh.

Perlukah kita melalui nasib yang sama sebelum berubah? Berjalanlah terus kehadapan dan jangan lupa memandang kebelakang kerana suatu hari nanti kita akan sampai jua ke penghujung jalan. Jangan disia-siakan peluang memandang kebelakang kerana kekadang, hal itulah yang membawa senyuman kejayaan.

Sunday, April 12, 2009

perutusan april

Salamun 'alaikum bima shabartum.

Terlebih dahulu syukur dimunajatkan serta selawat
dan salam untuk Junjungan. Jutaan penghargaan
untuk para pengunjung.
Rasanya masih belum terlambat untuk menulis
perutusan dari empunya
blog biarpun sudah
mencapai pertengahan
bulan.
Pada ketika perutusan ini ditulis,
bulan yang sering mencetuskan inspirasi
sedang indahmengambang dikelilingi pelangi,
memancarkan cahaya yang terang.

Seperti yang telah dinyatakan
secara eksplisit dan implisitnya,blog ini didedikasikan kepada bahasa,
idea dan kebenaran, dan sudah tentu,
keterbukaan dalam menyampaikan
dan menerima pandangan menjadi
tulang belakang kepada penulisan dalam blog ini.
Saya sememangnya suka berkarya,
dan blog ini menjadi wadah untuk saya menyampaikan
karya dan idea saya.
Karya yang terhasil adalah untuk masyarakat secara amnya,
diselingi dengan beberapa karya yang sekadar
untuk memuaskan keinginan menulis yang kuat
atau mudah disebut sebagai karya-karya "syok sendiri".
Namun karya seumpamanya masih diberikan nilai untuk
menyampaikan idea-idea secara tersirat samada
berbentuk pandangan dan juga nasihat kepada umum dan terutamanya diri saya sendiri.
Saya bukanlah pejuang-pejuang yang diluaskan
peluang untuk menjadi lantang yang
berani persis A. Samad Said atau Ahmadinejad mahupun
para syuhada' di bumi Palestin, namun masih mahu dan cuba untuk memberi sumbangan
kepada pembangunan pemikiran masyarakat beracuankan agama
dan moral serta nilai-nilai ilmiah.

Berbicara hal entri, baru-baru ini entri bersiri, berperang sudah lengkap.
3 siri peperangan telahpun selamat diposkan sejak sebulan
yang lepas dan berakhir pada sehari dua yang lalu.
"Akhirnya sempurna", jika dipetik lirik sebuah
lagu yang sudah lama tidak saya dengar di corong-corong radio
atau di mana-mana pun untuk menggambarkan keadaan ini.
Pun begitu, saya masih memerlukan masa,
kerana saya kekurangan masa yang sedia terbatas
untuk menulis pantun-pantun sebagai bacaan ringan dalam blog ini.
InsyaAllah akan saya usahakan juga suatu masa nanti.

Melewati batas-batas norma manusia bukanlah sesuatu yang ingin disampaikan.
Semoga nukilan-nukilan dalam blog ini ditafsirkan secara positif dan kreatif.

Sekian dahulu dari saya,


Salam pemikiran,
Thinkaholic

Saturday, April 11, 2009

berperang; wira perang

NAH, panglima gah di depan mata. Pedang kilat menyilau mata terhunus, menyapa leher. Menawarkan pilihan. Hidup atau mati. Kosong, sunyi. Alam dan zaman pantas meninggalkan. Suria sudah sembunyi. Rembulan bertamu. Bintang hilang menyepi. Sesekali guruh menyergah, kilat memancar. Hujan belum turun membasahi tandus ini. Angin berderu, entahkan hiba entahkan tidak. Habuk dan debu menyelimuti jasad. Debu ikhtiar yang gugur satu demi satu. Tunggangan tidak lagi berlari. Tumbang, rebah ke bumi. Perisai tidak kelihatan lagi. Kota hanya tinggal debu. Hilang dalam tiupan angin deru. Siap sudah dihisab diri. Siap sudah pengadilan diberi. Pedang tumpul dan patah, tinggal setengah, jadi tongkat untuk berdiri. Kudrat sudah tenat, parah. Dihujung pedang nyawa terserah. Biarlah bumi terbelah menelan diri. Biarlah langit runtuh menindih tubuh. Pasrah dan redha. Fitrah singgah, menunai janji. Alam lain menanti. Tenang, rasa senang. Senyuman yang mengakhiri, senyuman memulakan perjalanan baru. Sesalan tiada bertandang. Perang ini terlalu hebat ditanggung seorang diri. Syukur dan redha dimunajatkan. Perang ini mengajarkan erti sebuah kehidupan. Perang ini mengajarkan harga sebuah keegoan. Hancur jasad tidak dihiraukan. Gugur bukan sebagai si kecundang. Gugur sebagai adiwira perang. Tiada meminta untuk dikenang. Airmata tiada bergenang. Berseru sudah semboyan, memanggil pulang. Tuju cahaya terang.

Friday, April 10, 2009

mencarut

Manusia punya perasaan. Antara perasaan-perasaan yang dimiliki oleh seorang manusia ialah perasaan marah. Mengapa harus marah? Banyak sebabnya. Marah selalunya dipacu oleh perasaan lain seperti rasa kekurangan, kegagalan, rasa tidak suka atau benci, mungkin juga dipacu oleh rasa untuk melindungi pendirian sendiri. Kesan kemarahan juga tidak kurang banyaknya. Ada manusia yang sedang marah suka mencarut. Mencarut? Mencarut merujuk kepada perbuatan menghamburkan kata-kata kesat. Kesat dan kasar. Perkataan bersifat seperti ini dipilih untuk diluahkan bagi mewakili rasa marah yang sedang bersarang dalam hati. Perlukan contoh perkataan ini? Sumpah-seranah ini boleh didengari dalam wayang-wayang gambar dari barat kebiasaannya, sukar untuk didengar dalam drama-drama Melayu seperti drama Gerak Khas ataupun drama animasi Usop Sontorian. Nada tinggi selalu digunakan untuk menampakkan dan memperhebatkan kesan carutan. Pun begitu, dalam wayang-wayang gambar dari barat, diperhatikan untuk mencarut, rasa marah itu tidak diperlukan untuk memicu sumpahan itu terbit dari mulut seseorang. Cukup spontan sumpahan itu keluar. Ada masanya seperti telah menjadi suatu kebiasaan dan kebudayaan. Kebudayaan mencarut barangkali? Kadang-kala carutan itu dieksploitasi untuk menegaskan maksud ayat yang digunakan. Itu adalah penggunaan kata-kata kesat yang biasa didengar dan dilihat. Namun pernahkah anda terfikir, bagaimana jika kemarahan itu diluahkan dengan bahasa yang paling indah, atau sekurang-kurangnya nada yang rendah dan "manja"? Apa akan terjadi kepada kemarahan tersebut? Ingin tahu? Cubalah sendiri.