Thursday, June 4, 2009

ramadhan al-murtabak

Baiklah, maaf. Pertamanya kerana bulan Ramadhan masih belum muncul, dan keduanya kerana terdapat kesilapan yang disengajakan dalam tajuk. Serius, bukan niat saya mencemari keindahan nama Ramadhan dengan menukarkan al-mubarak kepada al-murtabak. Saya terganggu dengan perkataan tersebut sejak beberapa jam yang lalu. Jadi, untuk memuaskan hati, saya pun menulis dengan kapasiti sebagai Muslim dan juga sebagai seorang pelajar jurusan ekonomi.

Jika kita perhatikan pada bulan Ramadhan, pelbagai keajaiban berlaku. Hal ini termasuklah Lailatulqadr. Namun yang ingin saya ketengahkan di sini adalah sikap manusia dalam menyambut dan melalui bulan yang penuh kerahmatan ini, contohnya urusan jual beli di bazar-bazar ramadhan. Majoriti pengguna, Muslim terutamanya cenderung untuk membeli murtabak, selain dari air-air minuman tahap luar biasa, ada yang tidak pernah didengari namanya seperti air katira sari, air selasih wangi dan sebagainya. Nama-nama tersebut diberi dan ditokok tambah untuk menarik minat pengunjung bazar-bazar seumpama itu. Air-air tersebut juga mengandungi pelbagai macam warna dan isian bagi menjadikan ia lebih menarik hati pengunjung. Secara peribadi, seumur hidup saya, saya hanya berpeluang menyaksikan air-air sakti penghilang dahaga tersebut di bazar-bazar Ramadhan beberapa tahun yang lalu sewaktu saya tersesat ke sana.

Mengapa perkara ini dibangkitkan menjadi suatu isu yang besar? Mudah saja. Bulan Ramadhan seharusnya menjadi bulan peperangan antara manusia dan hawa nafsu masing-masing. Hal ini termasuklah nafsu untuk makan, minum, berbelanja, dan sebagainya. Kelebihan berpuasa tidak perlulah disebutkan di sini kerana saya kira sudah terlalu banyak kajian saintifik yang dilakukan mengesahkan kelebihan berpuasa, ditambah lagi, sebagai Muslim, dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amal kebaikan yang dilakukan pada bulan ini. Namun dalam keghairahan umat Islam menyambut Ramadan ini, seringkali kita terleka kepentingan dan tujuan sebenar ibadat puasa tersebut, selain daripada manfaatnya untuk kesihatan kita, tidak lupa turut mengukuhkan pegangan akidah sebagai Muslim. Hal ini dapat diterangkan dengan contoh-contoh yang pelbagai dalam masyarakat sekeliling kita sewaktu bulan Ramadhan menjelma dan diakhiri dengan permulaan bulan Syawal atau mudah dirujuk sebagai EidulFitr.

Pelbagai jualan murah ditawarkan, pesta-pesta berlangsung pada siang dan malam hari bagi meraikan kemenangan yang tidak jelas bagi kebanyakan orang. Kemenangan ke atas apakah yang diraikan? Siapa pula yang berperang? Bila? Di mana? Bagaimana? Siapa pula yang layak meraikan kemenangan ini? Kesemua persoalan ini mengundang rasa untuk memerhati dengan lebih teliti demi menghasilkan jawapan yang dapat memuaskan hati. Jawapan beserta ulasan ringkas sempat saya muatkan dalam entri kali ini.

Bukanlah niat saya mencerca fitrah manusia yang suka kepada keraian, berhibur dan sebagainya. Namun jika dipandang dari sudut positif, kemeriahan Ramadhan yang sepatutnya disuburkan dengan amal dan kebajikan telah semakin hilang serinya lantaran tenggelam dengan pelbagai tawaran istimewa puak kapitalis yang bijak memanipulasi situasi demi keuntungan berlipat kali ganda persis banjir yang menenggelamkan daratan. Hal ini diburukkan lagi dengan pelbagai sambutan yang tidak bercirikan Islam seperti rancangan-rancangan hiburan yang bukan sahaja melalaikan, tetapi juga tidak memberikan manfaat kepada penonton. Hal ini, secara peribadi saya lihat adalah sekadar suatu menifestasi kapitalis untuk mengaut keuntungan, berselindung di sebalik nama memberikan "rehat" dan peluang "bersantai" untuk Muslim yang penat berpuasa.

Berbicara soal sambutan juga, tidak lengkap sekiranya tidak disebutkan sekali amalan Muslim selepas berakhirnya bulan penuh hikmah ini. Disiplin bangun pagi yang terbentuk sepanjang bulan Ramadhan, bersederhana dalam hal-hal seperti berbelanja, makan-minum, memperbanyakkan amalan-amalan baik seolah-olah turut berlalu pergi bersama Ramadhan yang menyinggah selama sebulan. Yang tinggal hanya sisa-sisa sahaja, yakni amalan yang diwajibkan. Apabila keadaan ini berlaku, persoalan yang perlu ditimbulkan dan difikirkan ialah, apakah sebenarnya nilai dan fungsi bulan Ramadhan ini kepada umat manusia?

Sambutan terhadap bulan Ramadhan dan pasca-Ramadhan perlulah diberi suatu nafas baru, atau sekurang-kurangnya bantuan pernafasan berdasarkan situasi yang kian menyengat ini. Tiada masalah bagi yang mampu untuk melalui bulan yang mulia ini, namun sejak akhir-akhir ini, objektif utama kewajipan berpuasa di bulan tersebut kian tenat dengan pelbagai dugaan. Kadang-kala saya lihat, di bulan Ramadhan lebih banyak orang yang tertewas berbanding bulan-bulan yang lain. Kesempatan ini saya ambil untuk mengajak pembaca di samping mengingatkan diri saya sendiri untuk menilai semula perbuatan dan amalan yang telah dilakukan, janganlah suatu hari nanti, Ramadhan al-Mubarak benar-benar menjadi Ramdhan al-Murtabak.

1 comment:

  1. harus hukumnye melebihkan belanje di bulan ramadhan sebagai tanda memuliakan ramadhan dari bulan2 lain. tapi jgn sampai melampau.. huhu

    ReplyDelete

It may take me hours, days or even months, but I WILL reply to your comment(s). Godwilling.