Wednesday, June 24, 2009

bahasa bernafas, bangsa yang lemas

Bahasa jiwa bangsa, itu kata pepatah yang sering digunakan untuk melambangkan ketinggian nilai sesuatu bahasa, yakni sehingga mampu menjadi menifestasi sesebuah bangsa. Masih, isu yang sama diputar-putarkan di dada-dada media cetak dan juga media eletronik. Apakah tiada penyelesaian kepada isu ini? Perbalahan masih terus menerus berlaku, seakan-akan tidak akan berakhir dengan suatu penyelesaian yang berkesan.

Bukan sedikit yang memberikan pandangan, bermula dari yang paling berkuasa sehinggalah insan yang paling tidak signifikan dalam negara. Masing-masing berebut peluang melontarkan idea dan pandangan yang difikirkan logik dan menguntungkan semua pihak. di segenap ruang yang mereka perolehi, dari media arus perdana sehinggalah blog-blog peribadi dan warung-warung kopi. Pandangan pakar bahasa dan pengajaran yang bertentangan seolah-olah dibuang begitu sahaja. Terus menerus juga eksperimen-demi-eksperimen dijalankan bagaikan tidak ambil kisah siapa yang bakal menjadi mangsa. Hal eksperimentasi ini bukanlah yang pertama berlaku dalam sejarah pendidikan negara, sepertimana pelajar-pelajar PPSMI bukan mangsa pertama eksperimen dasar pendidikan negara. Kita hairan, adakah mereka tidak menghargai masa depan anak-anak yang bakal mewarisi negara?

Bukan sekadar pandangan pakar-pakar, bahkan juga hasil kajian yang dijalankan oleh badan-badan dunia juga dipandang sepi. Pelbagai solekan digunakan untuk menutup kelemahan dasar ini. Bukankah ini merugikan? Mengapa harus tergesa-gesa mengejar kemajuan yang sukar dibayangkan? Bukankah realistik (berdasarkan situasi semasa) itu salah satu kriteria perancangan yang berkesan? Soalan-soalan yang berkeliaran di bibir-bibir insan yang prihatin tiada yang menjawabnya. Kasihan. Bahasa itu ternoda dengan idea yang kononnya berpandangan jauh. Kesannya, bangsalah yang menderita. Kemudian kita merasa tersinggung apabila generasi mendatang tidak mampu berkomunikasi dan berkarya dengan berkesan dalam bahasa ibunda, bagaimana hendak mereka lakukan sedemikian jika jati diri kebangsaan tiada lagi dipupuk dengan ketinggian bahasa ibunda, tetapi dengan bahasa asing? Lucu, bukan? Rasa bangga terhadap bahasa ibunda sendiri juga telah terhakis sejak mereka mengenali ilmu secara formal.

Baru-baru ini, perkembangan yang menarik telah dapat diperhatikan. Orang yang mula-mula bertanggungjawab ke atas dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah mengakui bahawa sememangnya lebih mudah untuk memahami konsep subjek kritikal itu dengan menggunakan bahasa ibunda. Pun begitu, beliau masih cuba menegaskan bahawa kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut dengan menyatakan bahawa terdapat istilah-istilah bahasa asing yang tidak tepat untuk diterjemahkan dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PnP). Sepanjang ingatan saya, bukan itu yang disebutkan semasa dasar ini mula-mula dijalankan. Di samping itu, jika alasan beliau dahulu menegakkan dasar ini adalah kerana kononnya disiplin ilmu-ilmu tersebut berasal dari baahsa Inggeris, bukankah sebenarnya matematik dikembangkan sejak tamadun Yunani dan diperkemaskan semasa zaman keemasan Islam menggunakan bahasa Yunani dan Arab atau Parsi masing-masing? Jika buku-buku rujukan pula yang menjadi isu, saya yakin, negara ini mempunyai badan bertanggungjawab berkaitan hal-hal penterjemahan yang masih wujud.

Apakah paradoks ini masih tidak cukup untuk para pembuat dasar semasa memberikan suatu kesimpulan dan penyelesaian unik lagi mutlak kepada isu ini? Sewajarnya kesilapan pembuat dasar yang lalu diberikan pertimbangan semula, demi kepentingan negara, bukan dibiarkan untuk menjaga ego sebagai pemerintah. Soalnya, dapatan kajian sendiri telah menolak keberkesanan dasar ini. Didapati bahawa perkembangan sekadar 2-3% sahaja diperolehi sejak dasar ini diperkenalkan. Ahli-ahli statistik terbabit, adakah tidak mahir dan sambil lewa semasa menjalankan tugas mereka? Terlalu kecil kemungkinan tersebut untuk dijadikan alasan.

Selain itu juga, saya secara peribadi melihat terdapat pembelitan isu dalam hal ini, di mana sepatutnya dasar ini diperkenal dan dijalankan untuk meningkatkan kemahiran bahasa asing (Inggeris) dalam kalangan anak-anak sekolah. Namun kini, apa yang saya lihat, seolah-olah dasar ini telah diubah tujuannya untuk memudahkan anak-anak malang tersebut mempelajari sains dan matematik dengan lebih mudah dan berkesan. Masuk akalkah tujuan ini? Negara-negara yang diakui maju dalam kedua-dua bidang tersebut didapati tidak menggunakan bahasa asing sebagai pengantar semasa mengajarkan konsep asas kepada anak-anak bangsa mereka sebaliknya menggunakan bahasa ibunda mereka yang lebih mudah difahami oleh pelajar. Mengapa tidak kita juga begitu? Terlalu sempitkah bahasa Melayu ini sehingga tidak layak menjadi bahasa ilmu? Berkurun-kurun yang lalu, bahasa Melayulah antara bahasa yang diangkat menjadi lingua franca, tetapi hari ini telah dihina oleh segelintir bangsanya sendiri.

Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, konsep asas matematik dan sains perlulah difahami dengan mendalam, dan hanya boleh dicapai dengan menggunakan bahasa ibunda sesebuah kaum. Hal ini jika tidak tercapai dari akar umbi, maka sudah pastilah akan meruntuhkan keyakinan dan minat pelajar-pelajar yang berpotensi dalam kedua-dua bidang tersebut. Mereka akan tertanya-tanya samada cita-cita mereka masih relevankah dengan pencapaian akademik yang tidak memberangsangkan mereka perolehi. Kesan sampingannya, masalah tekanan perasaan berlaku, dan mungkin juga menjerumuskan mereka kepada permasalahan lain yang lebih kronik seterusnya menjejaskan nilai mereka sebagai "modal insan".

Bercakap melalui pengalaman saya sendiri, bahasa Inggeris bukanlah satu matapelajaran yang sukar untuk difahami, cuma kekadang pengajar tidak menyatakan secara eksplisit dan terus terang objektif pengajaran mereka kepada pelajar, atau kata lainnya apakah yang akan diajar serta apakah yang perlu dipelajari. Pengajar juga semakin dibebani tugas-tugas tambahan yang sepatutnya bukan milik mereka menjadikan situasi ini semakin sukar ditangani. Mereka lebih mementingkan objektif menghabiskan sukatan pelajaran dalam masa yang dirancang berbanding untuk memastikan pelajar memahami sekurang-kurangnya 70% daripada isi pengajaran mereka. Saya sendiri mempelajari bahasa Inggeris secara kendiri dan terus menerus mempelajarinya sehingga hari ini, dan jarang mengalami masalah dalam berkomunikasi menggunakannya. Penguasaan saya dalam konsep asas bidang sains, matematik, statistik, ekonomi dan lain-lain langsung tidak signifikan kaitannya dengan bahasa Inggeris, dan saya masih mampu mempelajarinya walaupun buku-buku rujukan diberikan dalam bahasa Inggeris. Bermakna, jika konsep asas itu sudah kukuh, tiada masalah besar untuk kita mempelajari lanjutannya yang lebih mendalam.

Sebagai solusinya, saya mencadangkan supaya badan-badan yang bertanggungjawab dalam hal-hal penterjemahan supaya bekerja lebih keras untuk memberikan terjemahan tepat kepada konsep-konsep dan isitilah-istilah dari bahasa asing yang kononnya akan memberi impak negatif, seandainya hal itulah yang benar-benar menjadi isu pokok kepada permasalahan ini. Selain itu juga, rombakan sukatan pelajaran bahasa asing (Inggeris khususnya) mestilah dijalankan supaya bahasa tersebut diasah bukan sekadar di sekolah tetapi juga dalam kehidupan seharian. Jika pemerintah benar-benar tulus berhasrat mahu memperkasakan bahasa Inggeris, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sahajalah yang wajar diberikan penilaian semula, dalam kes ini, reformasi dan transformasi teknik pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting demi kejayaan dalam semua pelajaran yang diambil oleh pelajar. Saya percaya, sastera adalah medium yang paling sesuai untuk menguasai bahasa asing dengan sempurna.

Saya masih belum lupa dasar pandang ke timur yang diperkenalkan suatu masa dahulu. Namun kini dasar tersebut seolah-oleh lebih sesuai dipanggil dasar "meng-amerika-kan" negara jika bukan dasar "mem-britain-kan" negara. Ketahuilah, saya bukan menentang idea memperkukuhkan penguasaan bahasa asing, tetapi menentang idea yang menyusahkan pelajar dalam memahami konsep-konsep asas matepelajaran kritikal yang dapat mencorak dan menentukan masa depan mereka sebagai penggerak kemajuan negara suatu hari nanti. Janganlah bahasa yang ingin bernafas segar, tetapi bangsa yang terkapai-kapai kelemasan dalam arus pembangunan global.

4 comments:

It may take me hours, days or even months, but I WILL reply to your comment(s). Godwilling.