Thursday, March 12, 2009

jiwa dan bahasa

Menguasai bahasa berkaitan dengan memahami jiwa sesuatu bahasa itu sendiri. Bagaimanakah cara yang terbaik untuk menguasai jiwa sesuatu bahasa? Menurut pengalaman saya, cara yang terbaik adalah melalui karya-karya sastera yang telah ditulis oleh sasterawan-sasterawan yang diakui ketinggian nilai bahasanya. Hal ini adalah kerana hanya melalui karya-karya sastera yang dijadikan praktis dan amalan boleh membantu penguasaan sesuatu bahasa. Melalui karya sastera juga, jiwa sesuatu bahasa dan bangsa asal pengguna bahasa tersebut dapat difahami, seterusnya dapat mengurangkan prejudis antara satu sama lain. Bermakna, bukanlah waktu permulaan pembelajaran bahasa itu yang menjadi faktor pembatas dalam pengusaan sesuatu bahasa, cuma, mungkin seperti kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya ada kebenaran yang boleh dijadikan iktibar.
Bercakap melalui pengalaman, saya pernah bercampur-gaul dengan pelbagai kaum, dan yang menjadi halangan utama kepada keakraban kami ialah bahasa, mengabaikan faktor kesefahaman yang lahir dari hati yang ikhlas dalam menjalin persahabatan. Hal ini terjadi apabila kegagalan komunikasi yang berlaku akibat gangguan-gangguan semantik dan sebagainya. Sikap prejudis itu melahirkan pandangan yang skeptik kerana faktor bahasa yang diinterpret oleh perspektif-perspektif manusia yang seringkali tidak sama. Ini adalah hakikat. Bukan bahasa pengantar yang menjadi isu sebenar, tetapi interpretasi terhadap bahasa itu sendiri. Jika interpretasi itu adalah sama sepanjang masa, pasti tiada manusia yang berkomunikasi dalam bahasa yang sama akan tersalah faham ucapan yang disampaikan kepadanya.
Saya akui, sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa asing, namun melalui kaedah-kaedah yang tertentu, yakni bijak dan berhemah, maka, saya yakin, selaku salah seorang yang pernah mempelajari pelbagai bahasa, usaha berterusan ini akan membuahkan hasil yang diidam-idamkan. Di Malaysia, sudah enam tahun dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dijalankan. Dasar ini pada asal-asalnya, mengikut kefahaman saya, adalah untuk mengatasi masalah jurang kebolehan berbahasa asing yang menjadi isu dalam pasaran kerja graduan-graduan dan penganggur yang lain untuk bersaing mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan masing-masing.
Persoalannya, adakah dengan menjadikan semua pembelajaran diajarkan dalam bahasa asing boleh menjadikan generasi yang baru menguasai bahasa asing tertentu dengan lebih baik? Pada pengamatan saya, memang logik dan boleh dilakukan. Tetapi hukum alam ini menyatakan sesuatu kejayaan itu perlulah ada pengorbanan yang tertentu, samaada setimpal atau tidak, terserah kepada diri sendiri untuk penilaian secara kritikal. Pada pandangan saya, yang akan dipelajari oleh pelajar apabila proses pembelajaran sesuatu bahasa itu dilakukan dalam subjek-subjek tertentu adalah bahasa asing tersebut, bukannya isi kandungan subjek terbabit. Dasar ini saya lihat, secara peribadi, adalah terlalu berisiko terutamanya untuk anak-anak sekolah yang tidak mempunyai ibubapa yang menguasai bahasa Inggeris untuk memberikan bimbingan kepada anak-anak meraka terutamanya, yang dengan mudah boleh didapati di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Hal ini kerana bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertuturan utama di rumah. Kesannya, meskipun anak-anak sekolah dapat menguasai bahasa Inggeris dalam karangan dan boleh menjawab soalan bertulis dalam bahasa asing, tetapi sasaran asal dasar iaitu mahu melahirkan generasi yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris masih kabur dan samar-samar. Kesan yang paling teruk boleh berlaku kepada golongan ini adalah penguasaan terhadap disiplin-disiplin ilmu yang lain turut terjejas. Hal ini berlaku kerana terdapat halangan baru yang wujud kepada mereka dalam memahami konsep-konsep dan aplikasi disiplin-disiplin ilmu sains dan matematik yang memerlukan daya pemahaman yang tinggi. Sekiranya bahasa pengantar yang digunakan pun sudah sukar difahami, apatahlagi mahu memahami isi kandungan pelajaran mereka. Situasi ini secara tidak langsung boleh mengakibatkan tekanan kepada pelajar, dalam senario paling buruk, mereka hilang minat untuk mempelajari disiplin-disiplin ilmu yang diajar dalam bahasa Inggeris.
Fungsi bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan penting, namun yang menjadi isu ialah kaedah pembelajaran dan pengajaran bahasa tersebut. Jika kita lihat, terdapat kamus-kamus bahasa Inggeris kepada bahasa lain dibukukan khas untuk istilah-istilah yang sukar ditemui dalam kamus Inggeris-Melayu (contohnya) yang biasa, atau sekurang-kurangnya diasingkan kepada satu bahagian yang khusus dalam kamus tersebut. Tujuan saya menulis kali ini bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pihak atau membangkang hujah-hujah mereka yang mempertahankan atau menyokong dasar ini tetapi sekadar ingin berkongsi pendapat saya sebagai rakyat di negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara ini. Semoga pembaca juga mempunyai pandangan dan pendapat masing-masing yang boleh dikongsi bersama demi kebaikan masa depan generasi di negara kita.

6 comments:

  1. haha! hopefully la kan..
    isu tengah panas sekarang nih..
    xmemasal je kang..
    haha!

    ReplyDelete
  2. Haha… masih perlu belajar bahasa inggeris ke?

    Dulu mungkin la.. zaman mat salleh menakluk dunia. Tapi dunia sekarang dah berubah. Kekayaan dunia sekarang dah beralih balik ke timur- China.. India… Negara2 Timur Tengah..

    Dasar pendidikan sepatutnya memandang kehadapan. Sepatutnya anak2 kita diajar bahasa mandrin. Malah anak mat salleh pun skrg diajar bahasa mandrin. Kite je yang terhegeh2 ajar anak kite bahasa inggeris- biar dah nak masuk 52 merdeka. Mungkin kite patut ajar sains dan matematik dalam bahasa mandrin atau dalam bahasa tamil. Dengan cara itu, barulah kita boleh memastikan anak2 kita benar2 bersedia menghadapi cabaran masa depan.

    ReplyDelete
  3. mempelajari bahasa tu adalah satu pelaburan yang akan takkan merugikan di masa sekarang ataupun masa depan.
    tak jadi masalah nak belajar bahasa ingeris, mandarin mahupun tamil sekalipun, tetapi, mengapa harus dirisikokan masa depan anak2 kita dengan mewujudkan jurang komunikasi dalam penyampaian ilmu, lebih-lebih lagi sains dan matematik?
    sedangkan halnya kalau pengajaran dan pembelajaran disiplin2 terbabit dalam bahasa ibunda pun tak begitu memuaskan hasilnya, apatahlagi dalam bahasa2 asing ni?
    anyway, thanks for your constructive comment. :)

    ReplyDelete
  4. Hehe.. I was being sarcastic. =)

    But let’s think about it for a while. The teaching of science and math in English was based on the premise that the most effective way to fortify a student’s command of English is by teaching them science and math in English.

    So based on the same premise, the best way to teach somebody Arabic for example (or any other language for that matter) is not by exposing them more to Arabic. Rather, we should be teaching them math and science in Arabic.

    To carry the argument further, we shouldn’t be emphasising on English anymore as the new super powers of the global economy mostly resides in the east. Ergo, we should stop teaching math and science in English and should start teaching the subjects in tamil instead. And no, in case the art of reading between the lines has lost its appeal among today’s young minds, I am in no way supportive of PPSMI, but merely highlighting the ridiculousness of the underlying premise. ;-p

    Hence why, as it is, I’m not very optimistic about the future of this country.

    ReplyDelete

It may take me hours, days or even months, but I WILL reply to your comment(s). Godwilling.