Beberapa hari yang lalu saya memulakan perjalanan dari Bangi untuk pulang ke Seremban. Selalunya saya akan sampai ke destinasi selepas memakan masa lebih kurang 25-30 minit jika saya memandu dengan gaya romantis. Mengandaikan jalan termudah, maka saya melalui lebuhraya utara-selatan untuk segera pulang ke Seremban. Hujan yang turun lebat dipertengahan jalan memerlukan saya lebih berhati-hati memandu keseorangan. Saya belum rela untuk dikira dalam statistik kemalangan jalanraya tahunan. Tumpuan dan ketenangan mula dicapai perlahan-lahan.
Kemudian, ketenangan saya mula terganggu selepas saya amati dari jauh bilangan kereta yang semakin banyak. Bukanlah perkara yang menghairankan jika banyak kereta di lebuhraya, tetapi rasa tidak puas itu sedikit terbit dalam hati kerana seolah-olah saya akan membayar tol yang dikenakan untuk "menikmati" perjalanan yang dipenuhi dengan kesesakan trafik termasuk dalam senarai "perkara yang saya tidak suka". Deejay di radio pula kebetulan menyampaikan laporan bahawa berlaku kesesakan lalulintas "di tempat-tempat biasa" pada waktu petang itu. Akur dan pasrah. Memandangkan tiada tempat lain yang boleh saya bolosi untuk mengelak kesesakkan melampau itu kerana jarak saya untuk sampai ke tol Seremban kurang 10 kilometer lagi, maka saya pun mula berfikir, berfikir perkara-perkara yang sering meminta saya fikirkan tapi tidak punya kesempatan yang sesuai. Mungkin inilah masa terbaik untuk melakukannya kerana selain berfikir dan memandu, tiada perkara penting lain lagi yang boleh saya lakukan berseorangan ketika ini. Saya enggan untuk berasa marah dengan pemandu di hadapan saya yang sedang marah kepada pemandu di hadapannya dan seterusnya lantaran kesesakan ini dirasai oleh semua orang yang sedang memandu disitu.
Sesekali guruh dilangit menyentap saya yang kekadang jauh melayang-layang agar kembali menumpukan sepenuh perhatian menikmati kesesakkan jalanraya. Hairan juga, mengapa lebuhraya ini boleh sesak luar biasa pada waktu begini? Bukannya ada perayaan yang akan berlangsung dalam tempoh dua atau tiga hari ini. Takkan pula penguatkuasa sanggup berhujan lebat untuk melakukan sekatan jalanraya. Bukannya ada penjenayah handalan baru saja meloloskan diri dari istana besi mereka baru-baru ini. Masa pun berlalu perlahan. Hiburan saya hanyalah bunyi radio yang sayup-sayup dan bunyi pengelap cermin yang bergerak pantas. Deruan enjin tenggelam dalam titik-titik keras hujan yang menimpa bumbung kenderaan yang saya pandu.
Papan tanda menunjukkan saya hampir sampai ke tol Seremban dalam jarak 500 meter mula kelihatan. Saya perhatikan jarum penanda minyak yang telah condong luarbiasa, tidak seperti kebiasaannya apabila saya memandu dari Bangi ke Seremban ataupun sebaliknya. Sabar masih subur. Saya telahpun menerima laporan radio sebelum ini sebagai alasan menyejukkan hati. Namun ia tidak bertahan lama, kurang dua jam kemudian selepas laporan trafik tersebut dikumandangkan, saya melepasi sebuah kawasan kemalangan. Sebuah lori tangki telah terjun ke dalam longkang, entah mengapa, mungkin untuk mengurangkan muatannya.
Lebih menghangatkan keadaan, kereta-kereta dihadapan saya mula memecut laju sebaik saja melepasi kawasan kemalangan yang sepatutnya langsung tidak mengganggu lalu lintas itu. Jarak dari kawasan kemalangan itu ke plaza tol destinasi saya kurang 500 meter. Kurang 500 meter? Ya, saya sudah menghabiskan perjalanan sejauh hampir 10 kilometer dalam kesesakkan jalanraya untuk mengetahui punca sebenar kesesakkan jalanraya petang itu. Puncanya bukan kemalangan tersebut, tetapi sikap pemandu Malaysia yang suka perlahan-lahan menikmati pemandangan kemalangan jalanraya dalam hujan lebat tanpa memperdulikan keperluan pemandu-pemandu lain yang perlu sampai cepat ke destinasi masing-masing dengan selamat selepas bersetuju untuk membayar kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya.
Berbalik kepada tajuk entri, apa kaitan cerita saya dengan tajuk entri ini? Apa pula nilai entri ini? Kaitannya, jelas bahawa segala yang berlaku ada harganya, bergantung kepada unit dan nilai yang kita gunakan untuk mengukurnya. Pada saya, nilai entri ini perlu dihitung dengan memasukkan segala nilai-nilai yang berkaitan. Maka, entri ini sekurang-kurangnya bernilai 10 kilometer, 10 liter petrol, 1 jam 25 minit, segunung kesabaran, sebukit rasa sakit hati, dan tol sebanyak RM4.60. Terima kasih PLUS, terima kasih pemandu-pemandu Malaysia!
KISAH MENULIS: PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH
4 years ago