Showing posts with label coincidence. Show all posts
Showing posts with label coincidence. Show all posts

Thursday, October 29, 2009

jika dunia tanpa pujian

kerdipkan matamu dan buka semula
pandanglah dunia ini dengan kerdipan baru setiapkalinya

nescaya kau akan dapat melihat
jika dunia tanpa mentari dan rembulan
siang tawar malam tak berseri
akal kelu rasa tak keruan
penglipur bisu pemuisi pun kudung

jika dunia tanpa pujian
sanggupkah kau hidup dalam kutukan?
caci, maki dan nista jadi makanan
meragut jiwa hati dan perasaan

oh, kejamnya rasa

dibelenggu tanpa kuncinya diciptakan
kasihan..kasihan..
jika dunia sunyi dari pujian

Tuesday, October 20, 2009

kecundang

siapa sangka
pagi yang bersinar indah
sebenarnya adalah senja rasa gah

siapa dapat menahan
bila diterajang dengan apokalips hidup
yang tidak kenal erti peduli

mungkinkah
hari semalam yang terkunci tanpa pintu
adalah tanda neraka hari ini

oh kata-kata
tidak lagi bermakna
oh puisi cinta
tidak sanggup mengubat nestapa

dihambat dan dirembat alam nyata
pada siapa hendak mengadu
siapalah mampu membantu

retaklah kaca retak seribu
retaklah hati menanggung pilu
siapa tahu rasa yang melemaskan jiwa
bila diredam dalam puitis kata

mencari teduh dibawah rimbun disangka rendang
sebenarnya adalah kayu api yang bertimbunan
kecil api cukup menyambar meragut segala harapan

hendak dirintih pun tiada mampu lagi
hendak dibaiki peluang belum tercipta lagi
apalah rasa yang membelit diri

berserah bukan menyerah
merelakan bukan mengalah
cubalah, siapa tahu pelangi akan muncul
mengukirkan senyum mengikis rasa kalah
selepas apokalips menimpa semalam.

-ditulis untuk yang merasa kecundang hari semalam. semoga berpeluang memperbaiki hari ini untuk esok yang lebih baik.

Friday, September 11, 2009

aku, kau dan kita; angin masa

Sungguhkah
kata hatimu yang bertanya,
cukupkah
sekadar kau menatap wajahku
untuk menjawabnya.

Aku tahu
kau berfikir begitu.
Aku tahu
kau merasakan begitu.

Sungguh,
sedetikpun tidak terlintas
untuk membuat kau keliru.

Sungguh,
yang ku semaikan dahulu
adalah sesuatu yang suci
dan ia masih subur
dalam hati yang kontang
suatu masa dahulu
sebelum kau singgah
dan membajai dengan keikhlasan

Jauhkanlah
ragu-ragu yang kau siramkan itu
aku bukan angin masa
yang singgah dalam hidupmu
dan berlalu.

Sunday, September 6, 2009

senyum-senyum ramadhan

berdebar-debar dalam dada,
bila terdengar ramadhan nak tiba,
mengapa sebab, orang bertanya,
jawabnya nanti; qadha tak sempurna.

sebelum subuh makanlah sahur,
jangan lupa niat dan syukur,
lepas kenyang ada yang tertidur,
jikalau pengsan terlepas zuhur.

kuali berbunyi periuk digendang,
masakan si chef bukan kepalang,
apakan daya dugaan memandang,
di depan mata sajian terhidang.

bila puasa banyakkan bersabar,
jangan menggarang kerana lapar,
amal ditambah ilmu disebar,
moga nanti tak terkapar-kapar.

berbuai-buai di depan rumah,
singgah pula jiran sebelah,
bertukar juadah bukan sedekah,
pulangkanlah bekasan bila dah sudah.

baca doa sebelum berbuka,
tanda syukur pada Yang Esa,
kalau taknak masuk neraka,
jangan ditinggal fardhu yang biasa.

tunggang motor laju-laju,
sebab dah hujan teringatkan baju,
alahai saudara bukan selalu,
makan melintang patah membujur lalu.

air kelapa air tebu,
semua diborong keringlah saku,
bila perut dah rasa sebu,
murtabak enak jadi tak laku.

ayam kampung dibuat gulai,
daging muda dibuat salai,
terawih malam mula terbarai,
bila dah makan sampai terkulai.

masa moreh makan tapai,
masam manis nikmat dicapai,
rangkap akhir sudahpun sampai,
salam diucap dan juga bye-bye.

Sunday, July 26, 2009

aku, kau dan kita; demi kata-kata

Jangan kau bimbang, aku telah dan akan setia berterus-terang. Tiada sangsi tiada pembohongan. Jangan kau bimbang, aku masih sayang. Tulus dari hati biar kekadang disulam puisi rekaan. Kita meniti kata-kata, menanamkan puisi rindu lalu mekar menjadi kuntuman mawar yang indah. Dan demi kata-kata juga aku bicara, kau mendengarnya dengan hati. Pahit bukan jadi benci tapi jadi hiasan kembara hidup kita. Rindu ini milik kita. Jangan terhapus dengan masa dan suasana duka. Masa memang jadi benteng untuk kita bersama. Tapi, jangan kau bimbang, hari masih terang. Masih ada masa untuk merancang. Biar tenang hati yang sendu. Biar kukuh sayang dan rindu. Percayalah, demi kata-kata aku yang aku bicarakan, dan demi kata-kata yang kau ungkapkan, janji setia kita teguh atas nama keredhaan.

Tuesday, July 14, 2009

jurubina dari langit

Dikisahkan, di suatu negeri berbumbungkan awan ditemui seorang jurubina, dikhabarkan beliau turun dari langit. Cantik wajahnya meliurkan gadis-gadis yang memandang. Manis bahasanya membuatkan lebah jantan memberontak kepada ratu lebah.

Diceritakan juga jurubina ini pada suatu hari bertitah kepada sang raja, beliau mahu baginda memperkenankan hasratnya untuk membina monumen terindah di muka bumi yang bergunung-ganang ini. Hebat kata-katanya menundukkan sang raja yang semakin kehilangan kuasa.

Adapun binaan itu sifat-sifatnya amatlah luar biasa, sehingga tak mampu diselami oleh kedangkalan akal jurubina manusia biasa. Bumbung binaan itu mahu dibuat dari awan yang redup tapi cukup hangat. Dindingnya dibuat dari angin taufan. Lutsinar tetapi kukuh. Temboknya pula mahu dibuat dari api nirmala. Biar binasa setiap yang mahu merosakkannya.

Selepas raja dititahkan memperkenankan permintaan jurubina dari langit itu, maka sekelian rakyat pun dipaksa mencangkul gunung-gunung dan batu-batu. Sungguhpun rakyat jelata sedar usaha mereka itu tidak membawa makna, tetapi demi kesetiaan membuta-tuli, masih mereka patuhi juga.

Bangkit pula seorang nelayan semasa sidang kerja dijalankan, memahukan kepastian kebaikan apakah yang akan mereka capai dengan usaha yang gila itu. Terkejut nelayan tua itu bila dijawab mereka juga langsung tidak tahu. Bagi mereka, cukup sekadar mereka patuh, soal lain usah dipedulikan. Sang nelayan tua itu pun berundur.

Saat si pemerintah mengetahui tentang persoalan yang dibangkitkan itu, segaralah dia dihukum tanpa bicara. Sekelian rakyat memuji keadilan yang dilaksanakan oleh sultan boneka itu. Amanlah negeri itu membina monumen, tanda kebejatan minda masing-masing.

**

Bertahun-tahun kemudian, si putera raja menaiki takhta menggantikan ayahandanya. Ketika itu barulah rakyat tersedar bahawa usaha mereka membina monumen itu masih lagi belum selesai sekalipun sudah bertahun-tahun dikerjakan. Sang raja pun membatalkan misi gila yang cuba dicapai sebelum ini.

Hairannya, dengan tidak semena-mena rakyat bergembira, memuji-muji kebijaksanaan sultan muda menghapuskan bebanan yang mereka pikul. Raja baru dijulang-julang menjadi wira penyelamat mereka. Barulah mereka tersedar, bahawa idea jurubina dari langit yang sudah hilang entah ke mana itu tidak terlaksana dengan kudrat manusia. Nelayan tua yang sudah lama terhukum pula dilupakan jasanya menafikan kebejatan pemikiran tersebut. Bijak sungguh rakyat negeri itu.

Wednesday, June 24, 2009

bahasa bernafas, bangsa yang lemas

Bahasa jiwa bangsa, itu kata pepatah yang sering digunakan untuk melambangkan ketinggian nilai sesuatu bahasa, yakni sehingga mampu menjadi menifestasi sesebuah bangsa. Masih, isu yang sama diputar-putarkan di dada-dada media cetak dan juga media eletronik. Apakah tiada penyelesaian kepada isu ini? Perbalahan masih terus menerus berlaku, seakan-akan tidak akan berakhir dengan suatu penyelesaian yang berkesan.

Bukan sedikit yang memberikan pandangan, bermula dari yang paling berkuasa sehinggalah insan yang paling tidak signifikan dalam negara. Masing-masing berebut peluang melontarkan idea dan pandangan yang difikirkan logik dan menguntungkan semua pihak. di segenap ruang yang mereka perolehi, dari media arus perdana sehinggalah blog-blog peribadi dan warung-warung kopi. Pandangan pakar bahasa dan pengajaran yang bertentangan seolah-olah dibuang begitu sahaja. Terus menerus juga eksperimen-demi-eksperimen dijalankan bagaikan tidak ambil kisah siapa yang bakal menjadi mangsa. Hal eksperimentasi ini bukanlah yang pertama berlaku dalam sejarah pendidikan negara, sepertimana pelajar-pelajar PPSMI bukan mangsa pertama eksperimen dasar pendidikan negara. Kita hairan, adakah mereka tidak menghargai masa depan anak-anak yang bakal mewarisi negara?

Bukan sekadar pandangan pakar-pakar, bahkan juga hasil kajian yang dijalankan oleh badan-badan dunia juga dipandang sepi. Pelbagai solekan digunakan untuk menutup kelemahan dasar ini. Bukankah ini merugikan? Mengapa harus tergesa-gesa mengejar kemajuan yang sukar dibayangkan? Bukankah realistik (berdasarkan situasi semasa) itu salah satu kriteria perancangan yang berkesan? Soalan-soalan yang berkeliaran di bibir-bibir insan yang prihatin tiada yang menjawabnya. Kasihan. Bahasa itu ternoda dengan idea yang kononnya berpandangan jauh. Kesannya, bangsalah yang menderita. Kemudian kita merasa tersinggung apabila generasi mendatang tidak mampu berkomunikasi dan berkarya dengan berkesan dalam bahasa ibunda, bagaimana hendak mereka lakukan sedemikian jika jati diri kebangsaan tiada lagi dipupuk dengan ketinggian bahasa ibunda, tetapi dengan bahasa asing? Lucu, bukan? Rasa bangga terhadap bahasa ibunda sendiri juga telah terhakis sejak mereka mengenali ilmu secara formal.

Baru-baru ini, perkembangan yang menarik telah dapat diperhatikan. Orang yang mula-mula bertanggungjawab ke atas dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah mengakui bahawa sememangnya lebih mudah untuk memahami konsep subjek kritikal itu dengan menggunakan bahasa ibunda. Pun begitu, beliau masih cuba menegaskan bahawa kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut dengan menyatakan bahawa terdapat istilah-istilah bahasa asing yang tidak tepat untuk diterjemahkan dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PnP). Sepanjang ingatan saya, bukan itu yang disebutkan semasa dasar ini mula-mula dijalankan. Di samping itu, jika alasan beliau dahulu menegakkan dasar ini adalah kerana kononnya disiplin ilmu-ilmu tersebut berasal dari baahsa Inggeris, bukankah sebenarnya matematik dikembangkan sejak tamadun Yunani dan diperkemaskan semasa zaman keemasan Islam menggunakan bahasa Yunani dan Arab atau Parsi masing-masing? Jika buku-buku rujukan pula yang menjadi isu, saya yakin, negara ini mempunyai badan bertanggungjawab berkaitan hal-hal penterjemahan yang masih wujud.

Apakah paradoks ini masih tidak cukup untuk para pembuat dasar semasa memberikan suatu kesimpulan dan penyelesaian unik lagi mutlak kepada isu ini? Sewajarnya kesilapan pembuat dasar yang lalu diberikan pertimbangan semula, demi kepentingan negara, bukan dibiarkan untuk menjaga ego sebagai pemerintah. Soalnya, dapatan kajian sendiri telah menolak keberkesanan dasar ini. Didapati bahawa perkembangan sekadar 2-3% sahaja diperolehi sejak dasar ini diperkenalkan. Ahli-ahli statistik terbabit, adakah tidak mahir dan sambil lewa semasa menjalankan tugas mereka? Terlalu kecil kemungkinan tersebut untuk dijadikan alasan.

Selain itu juga, saya secara peribadi melihat terdapat pembelitan isu dalam hal ini, di mana sepatutnya dasar ini diperkenal dan dijalankan untuk meningkatkan kemahiran bahasa asing (Inggeris) dalam kalangan anak-anak sekolah. Namun kini, apa yang saya lihat, seolah-olah dasar ini telah diubah tujuannya untuk memudahkan anak-anak malang tersebut mempelajari sains dan matematik dengan lebih mudah dan berkesan. Masuk akalkah tujuan ini? Negara-negara yang diakui maju dalam kedua-dua bidang tersebut didapati tidak menggunakan bahasa asing sebagai pengantar semasa mengajarkan konsep asas kepada anak-anak bangsa mereka sebaliknya menggunakan bahasa ibunda mereka yang lebih mudah difahami oleh pelajar. Mengapa tidak kita juga begitu? Terlalu sempitkah bahasa Melayu ini sehingga tidak layak menjadi bahasa ilmu? Berkurun-kurun yang lalu, bahasa Melayulah antara bahasa yang diangkat menjadi lingua franca, tetapi hari ini telah dihina oleh segelintir bangsanya sendiri.

Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, konsep asas matematik dan sains perlulah difahami dengan mendalam, dan hanya boleh dicapai dengan menggunakan bahasa ibunda sesebuah kaum. Hal ini jika tidak tercapai dari akar umbi, maka sudah pastilah akan meruntuhkan keyakinan dan minat pelajar-pelajar yang berpotensi dalam kedua-dua bidang tersebut. Mereka akan tertanya-tanya samada cita-cita mereka masih relevankah dengan pencapaian akademik yang tidak memberangsangkan mereka perolehi. Kesan sampingannya, masalah tekanan perasaan berlaku, dan mungkin juga menjerumuskan mereka kepada permasalahan lain yang lebih kronik seterusnya menjejaskan nilai mereka sebagai "modal insan".

Bercakap melalui pengalaman saya sendiri, bahasa Inggeris bukanlah satu matapelajaran yang sukar untuk difahami, cuma kekadang pengajar tidak menyatakan secara eksplisit dan terus terang objektif pengajaran mereka kepada pelajar, atau kata lainnya apakah yang akan diajar serta apakah yang perlu dipelajari. Pengajar juga semakin dibebani tugas-tugas tambahan yang sepatutnya bukan milik mereka menjadikan situasi ini semakin sukar ditangani. Mereka lebih mementingkan objektif menghabiskan sukatan pelajaran dalam masa yang dirancang berbanding untuk memastikan pelajar memahami sekurang-kurangnya 70% daripada isi pengajaran mereka. Saya sendiri mempelajari bahasa Inggeris secara kendiri dan terus menerus mempelajarinya sehingga hari ini, dan jarang mengalami masalah dalam berkomunikasi menggunakannya. Penguasaan saya dalam konsep asas bidang sains, matematik, statistik, ekonomi dan lain-lain langsung tidak signifikan kaitannya dengan bahasa Inggeris, dan saya masih mampu mempelajarinya walaupun buku-buku rujukan diberikan dalam bahasa Inggeris. Bermakna, jika konsep asas itu sudah kukuh, tiada masalah besar untuk kita mempelajari lanjutannya yang lebih mendalam.

Sebagai solusinya, saya mencadangkan supaya badan-badan yang bertanggungjawab dalam hal-hal penterjemahan supaya bekerja lebih keras untuk memberikan terjemahan tepat kepada konsep-konsep dan isitilah-istilah dari bahasa asing yang kononnya akan memberi impak negatif, seandainya hal itulah yang benar-benar menjadi isu pokok kepada permasalahan ini. Selain itu juga, rombakan sukatan pelajaran bahasa asing (Inggeris khususnya) mestilah dijalankan supaya bahasa tersebut diasah bukan sekadar di sekolah tetapi juga dalam kehidupan seharian. Jika pemerintah benar-benar tulus berhasrat mahu memperkasakan bahasa Inggeris, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sahajalah yang wajar diberikan penilaian semula, dalam kes ini, reformasi dan transformasi teknik pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting demi kejayaan dalam semua pelajaran yang diambil oleh pelajar. Saya percaya, sastera adalah medium yang paling sesuai untuk menguasai bahasa asing dengan sempurna.

Saya masih belum lupa dasar pandang ke timur yang diperkenalkan suatu masa dahulu. Namun kini dasar tersebut seolah-oleh lebih sesuai dipanggil dasar "meng-amerika-kan" negara jika bukan dasar "mem-britain-kan" negara. Ketahuilah, saya bukan menentang idea memperkukuhkan penguasaan bahasa asing, tetapi menentang idea yang menyusahkan pelajar dalam memahami konsep-konsep asas matepelajaran kritikal yang dapat mencorak dan menentukan masa depan mereka sebagai penggerak kemajuan negara suatu hari nanti. Janganlah bahasa yang ingin bernafas segar, tetapi bangsa yang terkapai-kapai kelemasan dalam arus pembangunan global.

Thursday, May 28, 2009

alkisah...cinta agungkah?

Siapa ada di sana? Carik baju menjadi saksi buta. Siapa yang mampu bicara? Carik baju tuli dan bisu. Keadilan ditendang jatuh dari tempatnya. Siapa tahu? Cinta sunyi bakal disyairkan menjadi cinta agung. Siapa terpesona? Darah dan mata menjadi saksi. Tajam pisau tak dihiraukan. Siapa lihat? Mata yang sunyi dari kasih. Siapa yang merasa? Hati yang lemas dengan pelukan asmara. Siapa mangsa? Sang jujur lagi bijaksana, tidak terpedaya, namun tidak berdaya. Tipu dusta seorang wanita menghambatnya ke sana. Sangkar besi jadi pilihan hatinya. Khianat jauh dari benak dan pemikirannya. Rela terkurung dari dihurung kebebasan tanpa makna. Diburu cinta terlarang menjadi ketakutannya. Lalu dia lari dan bersembunyi di balik istana besi, kukuh dan kalis dari api asmara. Ratusan tahun kisahnya dinukilkan, disyairkan. Disolek menjadi cinta agung meski tiada yang berdiri menyokong hakikat kejadian. Bayang-bayang dan igauan memacu tulisan, memberi inspirasi cereka.

Wednesday, May 27, 2009

Alkisah...rajuk sang harimau

Alam riang itu kehairanan. Sangkaan mereka meleset. Si ahlilnujum alam yang paling kehairanan. Bagaimana mungkin sang harimau merajuk? Tidak pernah terbayang dalam bola kaca permainannya. Haiwan yang tampak gagah itu semakin hilang garangnya. Reputasinya sebagai raja di rimba kian tercalar. Pengikut-pengikutnya pasti akan mentertawakan keanak-anakkannya itu. Taringnya yang tajam seakan meratah keegoan dirinya sendiri. Ngaumannya yang menggegarkan langit dan menggerunkan musuh sudah menjadi mainan penghuni-penghuni alam riang itu. Di sana sini ngauman sindiran kedengaran. Sang harimau berlakon pekak, bisu tak mahu menawarkan jawapan. Sejak sang harimau mencampakkan gambar rakannya yang enggan menuruti kemahuannya, kebijaksanaannya dipersoalkan, kematangannya dipertikaikan. Perkara yang sekecil itu menjadi punca rajuknya yang belum reda, bahkan kian parah. Sang harimau enggan berjumpa dengan rakan seperjuangannya itu, jauh sekali mahu mendengar penjelasan rakannya mengapa dia berbuat demikian. Tindakan melulu sang harimau seolah-olah meminta si gajah yang gagah memijak-mijak kepalanya dan merampas gelaran raja di rimba. Siapa sangka, sang harimau yang garang pada rupa memiliki hati selembut kapas dalam dirinya.

Thursday, May 14, 2009

hukum hakam hakim

Sejak manusia mula menghargai peranan akal, pelbagai perkara dan kemajuan telah dicapai termasuk dari segi politik, sosial dan ekonomi secara amnya. Turut tidak dilupakan, kemajuan dalam sains dan teknologi juga berkembang dengan pesat sejajar dengan perkembangan akal dan ilmu. Kemajuan tersebut dicapai hasil pemikiran dan penilaian terhadap sesuatu. Isu kali ini bukanlah berdasarkan teori-teori ekonomi ataupun hukum-hukum fizik nuklear, tetapi berkaitan dengan soal penghakiman dan menghukum.

Lebih seribu tahun dahulu, telah diwahyukan hukum-hakam yang memenuhi fitrah manusia yang kekadang masih keliru dengan fitrahnya sendiri. Buat suatu jangka masa yang agak panjang, hukum-hakam wahyu itu telah diimplementasikan oleh pemerintah dan berjaya mencapai tujuan untuk mendidik manusia daripada melakukan kezaliman dan kemaksiatan serta menyeru kepada kebaikan. Namun, manusia tetap adalah manusia, makhluk yang tidak sepi daripada melakukan kesilapan. Masih ada yang berani melanggar sempadan perilaku yang telah diwahyukan.

Bagaimanapun kini, hukum-hakam ini bukan sahaja dipandang sepi, malah diperlekehkan dan ditolak oleh golongan-golongan yang terlalu beriman kepada akal masing-masing. Penolakan secara total oleh golongan ini telah disolek dan dipercantikkan dengan hukuman ciptaan mereka yang kononnya dapat menandingi kebijaksanaan Maha Pencipta. Sedikit demi sedikit manusia terpesona dan terpedaya dengan wajah palsu itu. Kebejatan pemikiran ini akhirnya telah mengundang pelbagai masalah dalam memberikan penghakiman yang seadil-adilnya. Mujurlah masih ada yang sanggup bersusah payah untuk menegakkan hukum wahyu ini. Soalnya, masih ramai yang enggan membenarkan pintu hati mereka diketuk oleh kebenaran yang hakiki.

Berbicara soal hukum tidak lengkap jika tidak menyentuh serba sedikit berkenaan hakim, yakni orang yang ditauliahkan untuk mengadili satu-satu kes yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Hakim pada masa kini, saya lihat dari perspektif peribadi, mempertimbangkan kepentingan sendiri dan kekadang turut dipengaruhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan ke atas keputusan pengadilan sesuatu kes. Hal ini, apabila terbongkar telah menjejaskan reputasi institusi kehakiman di mata rakyat. Kepercayaan mereka terhadap sistem kehakiman tercalar dan dinodai oleh perbuatan hakim yang curang ini. Keadilan yang mereka cari tidak lagi boleh diperolehi daripada sistem ini, maka mereka bangkit dan memberontak memahukan sistem ini diperbaiki semula kecacatannya. Ironinya, sistem ciptaan manusia ini tidak pernah pun mencapai kesempurnaan, apatah lagi mahu memperbaiki kecacatannya yang sudah pasti banyak. Perlu dinyatakan, tidak semua hakim cenderung menyelewengkan kuasa yang diamanahkan kepada mereka.

Para peguam dan pendakwaraya juga tidak terlepas daripada kecacatan sistem ini. Adat bertanding, pasti ada yang menang dan yang kalah. Hanya kebijaksanaan dan kelicikan mereka menghujahkan fakta dapat memberikan kelebihan kepada mereka. Hal menang atau kalah ini sekali lagi menyebabkan keadilan tertindas di sebalik keghairahan mereka mahu memenangi kes-kes mereka, atau kata lain, hanya yang bijak dapat memperolehi "keadilan" untuk klien mereka.

Isu yang dibangkitkan ini sudahpun mendapat perhatian dari banyak pihak sedari mereka tersedar akan kepentingan keadilan dilaksanakan, dan ketelusan dalam pelaksanaan keadilan itu sendiri perlu dijaga dan dipertahankan. Usah jadi seperti kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi, harapkan sokong, sokong membawa rebah. Jangan ditunggu retak menjadi belah, masih belum terlambat untuk berubah.

Tuesday, May 12, 2009

hitam lagi haram

Gegak gempita tanah yang sedia bergolak. Laksana bumi mahu terbelah dan menelan kebatilan dan kejahilan. Ombak-ombak keadilan menerpa susuk-susuk hitam dengan garang. Lantas terpekik terlolong si hitam yang hina mencari rendangan untuk selamat. Entah dari mana asalnya, sekonyong-konyongnya dia diangkat menjadi raja dan dewa untuk kaum-kaum jahil di sana. Berperang dengan keadilan, namun tewas dan dimalukan. Sekalian yang menyembah dan mencium duli busuknya itu mula bertempiaran lari mencari gua-gua sepi bagi menutup malu. Aib sungguh mereka ketika itu. Si hitam yang dipuja-puja sebenarnya berdiri bersokongkan penipuan, keharaman. Mereka tengelam dalam bumi hak, ditimpa pula langit keadilan. Di balik kemelut itu, masih ada yang jahil mempertahankan si hitam yang semakin haram. Memutarkan kenyataan, menodai kebenaran. Lebih haram perilaku mereka, lebih hitam hati mereka. Langit tinggi mahu ditongkat dengan tangan. Benang yang basah mahu ditegakkan dengan paksaan. Kasihan nasib si hitam, bukan saja hitam, bahkan juga haram.

Saturday, May 9, 2009

singkat dan senteng

Baru-baru ini saya menerima e-mel dari seorang rakan saya. E-mel itu bagaimanapun bukanlah beliau sendiri yang menulisnya, tetapi sekadar meneruskan rantaian e-mel yang telah bermula entah bila dan dari siapa. Emel itu juga bukanlah yang pertama saya terima seumpamanya. Saya gagal untuk menyalahkan beliau kerana menghantar e-mel tersebut. Kata-kata di penghujung e-mel tersebut tidak memberikan beliau sebarang pilihan secara implisit, yakni pilihan untuk tidak meneruskan rantaian penyebaran e-mel itu kepada rakan-rakannya yang lain, termasuklah saya. Maka saya cuba untuk memahami situasinya. Baiklah, cukup untuk pendahuluan.

Kandungan e-mel tersebut saya tidak perlulah saya petik di sini, kerana saya mengandaikan hampir semua orang turut pernah menerima emel-emel yang hampir serupa makna dan tujuannya. Isu yang dibawa emel ini bagaimanapun terlalu lemah pada saya. Mengapa perlu kita bimbang dengan penggunaan singkatan perkataan yang membawa maksud kurang baik dalam bahasa lain? Hal ini menghairankan, lebih-lebih lagi apabila singkatan itu digunakan untuk berkomunikasi dengan orang yang rata-ratanya menggunakan bahasa ibunda yang sama. Jika dilihat semula kepada asas-asas komunikasi, elemen yang penting dan perlu ada ialah penghantar mesej, medium penghantaran dan penerima mesej. Proses pengekodan berlaku bagi penghantar mesej sebelum melalui medium penghantaran. Penerima mesej pula perlu menyahkod mesej tersebut untuk difahami. Sebagai sampingan, terdapat gangguan yang kekadang berlaku yang sering diistilahkan sebagai gangguan semantik. Gangguan yang boleh menyebabkan salah tafsir kepada mesej yang hendak disampaikan ini bagaimanapun boleh diatasi dengan bertanyakan soalan semula kepada penghantar mesej untuk mendapat kepastian maksud mesej. Komunikasi dianggap berkesan apabila kedua-dua pihak memahami mesej yang dihantar dan diterima tersebut. Proses ini mudah, walaupun diterjemahkan dalam bahasa yang mandul. Buktinya, anda boleh memahami proses yang saya ceritakan.

Selain itu, tiada asas yang kukuh untuk menyokong hujah dan tuduhan mereka mengatakan sedemikian, yakni berkaitan maksud yang kurang baik tersebut. Tidak salah sekiranya mereka menyatakan atau menyertakan sumber-sumber seperti kamus bahasa Ibrani yang sering menjadi mangsa tuduhan ini. Memang betul, bangsa Israel tidak lekang dari dendam mereka terhadap umat Islam, namun hal ini tidak menghalalkan tuduhan-tuduhan palsu dibuat untuk memburuk-burukkan mereka. Jika tidak, apakah bezanya umat Islam dengan bangsa Yahudi yang sering bohong dan mungkir dalam kata dan janji-janji mereka kepada Tuhan, apatahlagi sesama manusia. Untuk rekod, dalam emel tersebut, "akum" dikatakan adalah akronim untuk "Avde Kokhavim U Mazzalot", bermaksud "hamba-hamba binatang dan orang-orang sesat" yakni gelaran bangsa Yahudi kepada bangsa-bangsa selain mereka. Petikan ini adalah salah satu contoh daripada berpuluh-puluh lagi perkataan lain yang saya terima. Ironinya, orang yang mula-mula menggunakan singkatan "akum" untuk "assalamualaikum" bukanlah dari bangsa Yahudi. Singkatan ini telah diintegrasikan menjadi frasa Ibrani yang saya sebutkan di atas dan secara kebetulan digunakan oleh umat Islam semasa memberi salam. Pendapat saya secara peribadi adalah, singkatan ini tidaklah menjadi masalah asalkan niat kita adalah untuk mendoakan kesejahteraan sesama Muslim, bukan untuk menyumpah.

Perkara yang saya pandang serius selain daripada tuduhan-tuduhan tersebut ialah frasa-frasa yang digunakan oleh pengirim emel untuk memastikan emel mereka tersebar luas, terutamanya dalam kalangan umat Islam. Berbekalkan kata-kata "sayang Islam", "selamatkan saudara-saudara se-Islam kita" dan sebagainya, ugutan dibuat secara halus sehingga menggambarkan orang yang tidak menyebarkan emel tersebut akan ditimpa bencana, dan yang paling teruk, seolah-olah kecintaan mereka terhadap agama Islam dipersoalkan tanpa sebarang asas yang kukuh dimana penghantaran emel menjadi kayu pengukur kepada tahap iman penghantar (penerima ). Namun, masih ramai yang tidak cakna kepada isu ini. Seharusnya Mukmin tidak terpengaruh dengan marcapada yang penuh tipu daya dan menimbulkan fitnah ini.

Sebagai penutup, perlu saya tegaskan, penggunaan singkatan tulisan yang sedia telah merosakkan keindahan bahasa mestilah dinilai semula. Akal yang telah dianugerahkan pula mestilah dimanfaatkan sebaiknya bagi mengelakkan Muslim digelar umat yang berakal senteng kerana perkara-perkara yang dianggap remeh ini. Sesungguhnya umat Islam itu adalah umat yang terbaik di atas muka bumi ini.

Saturday, April 11, 2009

berperang; wira perang

NAH, panglima gah di depan mata. Pedang kilat menyilau mata terhunus, menyapa leher. Menawarkan pilihan. Hidup atau mati. Kosong, sunyi. Alam dan zaman pantas meninggalkan. Suria sudah sembunyi. Rembulan bertamu. Bintang hilang menyepi. Sesekali guruh menyergah, kilat memancar. Hujan belum turun membasahi tandus ini. Angin berderu, entahkan hiba entahkan tidak. Habuk dan debu menyelimuti jasad. Debu ikhtiar yang gugur satu demi satu. Tunggangan tidak lagi berlari. Tumbang, rebah ke bumi. Perisai tidak kelihatan lagi. Kota hanya tinggal debu. Hilang dalam tiupan angin deru. Siap sudah dihisab diri. Siap sudah pengadilan diberi. Pedang tumpul dan patah, tinggal setengah, jadi tongkat untuk berdiri. Kudrat sudah tenat, parah. Dihujung pedang nyawa terserah. Biarlah bumi terbelah menelan diri. Biarlah langit runtuh menindih tubuh. Pasrah dan redha. Fitrah singgah, menunai janji. Alam lain menanti. Tenang, rasa senang. Senyuman yang mengakhiri, senyuman memulakan perjalanan baru. Sesalan tiada bertandang. Perang ini terlalu hebat ditanggung seorang diri. Syukur dan redha dimunajatkan. Perang ini mengajarkan erti sebuah kehidupan. Perang ini mengajarkan harga sebuah keegoan. Hancur jasad tidak dihiraukan. Gugur bukan sebagai si kecundang. Gugur sebagai adiwira perang. Tiada meminta untuk dikenang. Airmata tiada bergenang. Berseru sudah semboyan, memanggil pulang. Tuju cahaya terang.

Sunday, April 5, 2009

tafsir

Senyum terukir diwajah. Tampak sinis. Sendirian senyum itu terpancar sepanjang hari. Tak peduli walau ada yang memerhatikan. Teguran tidak memberikan erti. Tidak mengubah suasana. Bayangan demi bayangan seakan terpapar di hadapan. Jadi tontonan minda sendirian. Sekeliling hairan melihat gelagat. Langsung tak dipedulikan. Kehairanan mengundang seribu satu persoalan dan andaian. Memahukan tafsiran yang persis dan tepat. Jatuh cintakah? Atau sudah gila barangkali. Begitu antara yang sampai ditelinga, terang di depan mata. Masih tidak dipedulikan. Dalam fikiran hanya terbayang satu wajah dan sekuntum senyuman. Wajah siapa? Siapa yang tersenyum? Senyuman yang bagaimana? Mungkin wajah kekasih hati yang tersenyum manis bermain diingatan. Mungkin juga senyuman puas sendiri memikirkan wajah musuh yang sedang terseksa. Sapaan disambut dengan senyuman sinis. Tiada kata-kata yang terbit. Renungan menggantikan, seolah bicara, "tafsirlah sendiri..". Tajam pandangan seperti mahu menggugurkan bulan. Siapa yang mampu menafsir fikiran? Siapa yang layak menafsir perbuatan? Benarkah tafsiran itu? Tepatkah ia? Tuduhan yang dilemparkan kembali menerajang wajah penuduh. Salah tafsir. Salah siapa? Salah penafsir? Salah isu yang ditafsir? Salah takdir yang menimbulkan persoalan? Lebih baik tak faham daripada tersalah faham. Lebih baik diam dari menunjukkan kesilapan. Bertanyalah, berfikirlah. Dari situ datangnya jawapan.

Saturday, April 4, 2009

soalan

"Memerhati itu mengetahui sedang melalui itu memahami tetapi bilakah pula untuk mempercayai?"

Mengapa kita perlu mengambil tahu tentang sesuatu? Salah satu jawapannya adalah kerana kita ingin membuat penilaian terhadap pengetahuan atau situasi tertentu. Mungkin juga kerana sifat semulajadi manusia yang sentiasa ingin tahu semua perkara.
Bilakah perlu kita mengambil tahu tentang sesuatu perkara itu? Selalunya apabila kita mempunyai kepentingan atau keperluan terhadap perkara itu.
Di mana pula akan kita ceduk pengetahuan tentang perkara tersebut? Sumber-sumber yang berbagai, termasuk pembacaan secara kritikal, pendapat-pendapat ahli dalam hal tersebut dan juga kajian dan pembelajaran kita sendiri. Ada yang berpendapat kita mesti terlibat atau melalui sendiri sesuatu situasi tersebut sebelum membuat penilaian.

TETAPI...

Kenapa pula kita perlu sentiasa melalui setiap perkara yang ingin kita ketahui? Tidak semua perkara perlu dan boleh kita lalui hanya untuk mengetahuinya, berasaskan prinsip ingin bersikap neutral terhadap pro dan kontra perkara tersebut sebelum membuat kesimpulan terhadap sesuatu pengetahuan dan situasi yang terlibat. Bukankah sudah cukup jika kita sekadar merumuskan pandangan-pandangan daripada tokoh-tokoh yang pelbagai yang diketahui ahli dalam bidang terbabit? Jika kita mengambil contoh untuk memahami dinosour, bagaimana mungkin kita kembali ke masa lampau untuk hidup bersama hidupan lagenda tersebut hanya untuk mendapatkan dan memahami pengetahuan tentangnya? Tidak mungkin berlaku. Jadi ayam pula yang diambil sebagai contoh; sememangnya kita boleh mendapatkan pengetahuan tentang ayam sekiranya kita memerhatikan kehidupan seekor ayam dengan dekat dan teliti, tetapi bukankah lebih mudah dan lebih banyak pengetahuan yang boleh kita perolehi jika kita bertanyakan kepada seorang doktor haiwan mengenai ayam? Pada ketika ini, adakah pemerhatian terhadap ayam itu dengan tujuan yang sama masih relevan? Sila adaptasikan situasi ini dalam perkara lain dan fikirkan jawapan yang lebih anda sukai.

Monday, March 30, 2009

nilai sebuah entri

Beberapa hari yang lalu saya memulakan perjalanan dari Bangi untuk pulang ke Seremban. Selalunya saya akan sampai ke destinasi selepas memakan masa lebih kurang 25-30 minit jika saya memandu dengan gaya romantis. Mengandaikan jalan termudah, maka saya melalui lebuhraya utara-selatan untuk segera pulang ke Seremban. Hujan yang turun lebat dipertengahan jalan memerlukan saya lebih berhati-hati memandu keseorangan. Saya belum rela untuk dikira dalam statistik kemalangan jalanraya tahunan. Tumpuan dan ketenangan mula dicapai perlahan-lahan.
Kemudian, ketenangan saya mula terganggu selepas saya amati dari jauh bilangan kereta yang semakin banyak. Bukanlah perkara yang menghairankan jika banyak kereta di lebuhraya, tetapi rasa tidak puas itu sedikit terbit dalam hati kerana seolah-olah saya akan membayar tol yang dikenakan untuk "menikmati" perjalanan yang dipenuhi dengan kesesakan trafik termasuk dalam senarai "perkara yang saya tidak suka". Deejay di radio pula kebetulan menyampaikan laporan bahawa berlaku kesesakan lalulintas "di tempat-tempat biasa" pada waktu petang itu. Akur dan pasrah. Memandangkan tiada tempat lain yang boleh saya bolosi untuk mengelak kesesakkan melampau itu kerana jarak saya untuk sampai ke tol Seremban kurang 10 kilometer lagi, maka saya pun mula berfikir, berfikir perkara-perkara yang sering meminta saya fikirkan tapi tidak punya kesempatan yang sesuai. Mungkin inilah masa terbaik untuk melakukannya kerana selain berfikir dan memandu, tiada perkara penting lain lagi yang boleh saya lakukan berseorangan ketika ini. Saya enggan untuk berasa marah dengan pemandu di hadapan saya yang sedang marah kepada pemandu di hadapannya dan seterusnya lantaran kesesakan ini dirasai oleh semua orang yang sedang memandu disitu.
Sesekali guruh dilangit menyentap saya yang kekadang jauh melayang-layang agar kembali menumpukan sepenuh perhatian menikmati kesesakkan jalanraya. Hairan juga, mengapa lebuhraya ini boleh sesak luar biasa pada waktu begini? Bukannya ada perayaan yang akan berlangsung dalam tempoh dua atau tiga hari ini. Takkan pula penguatkuasa sanggup berhujan lebat untuk melakukan sekatan jalanraya. Bukannya ada penjenayah handalan baru saja meloloskan diri dari istana besi mereka baru-baru ini. Masa pun berlalu perlahan. Hiburan saya hanyalah bunyi radio yang sayup-sayup dan bunyi pengelap cermin yang bergerak pantas. Deruan enjin tenggelam dalam titik-titik keras hujan yang menimpa bumbung kenderaan yang saya pandu.
Papan tanda menunjukkan saya hampir sampai ke tol Seremban dalam jarak 500 meter mula kelihatan. Saya perhatikan jarum penanda minyak yang telah condong luarbiasa, tidak seperti kebiasaannya apabila saya memandu dari Bangi ke Seremban ataupun sebaliknya. Sabar masih subur. Saya telahpun menerima laporan radio sebelum ini sebagai alasan menyejukkan hati. Namun ia tidak bertahan lama, kurang dua jam kemudian selepas laporan trafik tersebut dikumandangkan, saya melepasi sebuah kawasan kemalangan. Sebuah lori tangki telah terjun ke dalam longkang, entah mengapa, mungkin untuk mengurangkan muatannya.
Lebih menghangatkan keadaan, kereta-kereta dihadapan saya mula memecut laju sebaik saja melepasi kawasan kemalangan yang sepatutnya langsung tidak mengganggu lalu lintas itu. Jarak dari kawasan kemalangan itu ke plaza tol destinasi saya kurang 500 meter. Kurang 500 meter? Ya, saya sudah menghabiskan perjalanan sejauh hampir 10 kilometer dalam kesesakkan jalanraya untuk mengetahui punca sebenar kesesakkan jalanraya petang itu. Puncanya bukan kemalangan tersebut, tetapi sikap pemandu Malaysia yang suka perlahan-lahan menikmati pemandangan kemalangan jalanraya dalam hujan lebat tanpa memperdulikan keperluan pemandu-pemandu lain yang perlu sampai cepat ke destinasi masing-masing dengan selamat selepas bersetuju untuk membayar kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya.
Berbalik kepada tajuk entri, apa kaitan cerita saya dengan tajuk entri ini? Apa pula nilai entri ini? Kaitannya, jelas bahawa segala yang berlaku ada harganya, bergantung kepada unit dan nilai yang kita gunakan untuk mengukurnya. Pada saya, nilai entri ini perlu dihitung dengan memasukkan segala nilai-nilai yang berkaitan. Maka, entri ini sekurang-kurangnya bernilai 10 kilometer, 10 liter petrol, 1 jam 25 minit, segunung kesabaran, sebukit rasa sakit hati, dan tol sebanyak RM4.60. Terima kasih PLUS, terima kasih pemandu-pemandu Malaysia!

Thursday, March 26, 2009

bangsa angkasa

Semua orang sedang sibuk untuk berhimpun. Ada yang sedang dalam perhimpunan agung, ada juga perhimpunan kurang agung. Ada yang sibuk melobi undi dan sokongan, ada yang sibuk melebong sana sini di kedai kopi. Tak kurang juga yang sibuk berhimpunan ditengah jalan.
Tak puashati antara sebab mereka berhimpun, samada secara aman ataupun tidak. Ada juga yang berhimpun untuk meraikan sesuatu yang mereka banggakan.
Di mana-mana di serata dunia manusia turut berhimpun kerana pelbagai sebab.
Mungkin kerana krisis kapitalis yang semakin memuncak membuat mereka semakin terdesak, memahukan satu penyelesaian mutlak kepada isu-isu sejagat.
Baru-baru ini saya terdengar satu istilah yang hebat lagi lebat, lain dari yang lain.
Istilah terbabit disebut sebagai "bangsa angkasa". Hah? Apekebendenye tu?
Tergerak dengan istilah tersebut, saya pun mula berfikir dan mencari apakah pandangan orang lain berkenaannya.
Dan antara hasil yang paling banyak saya temui mereka menyifatkan istilah tersebut sinonim dengan bentuk perhimpunan agung "bangsa angkasa" di bawah:



kuangkuangkuang...!



Disclaimer: The opinions and links of this particular entry do not reflect the opinions of the blog author nor mindajiwamerdeka.blogspot.com

Wednesday, March 25, 2009

bila dah malas

Budak kecik,
Bila dah malas;
Menangis kuat cakap pun dah tak jelas
Bila tak berenti telinga dipulas
Kira untung la tak ditepek dengan buku atlas

Budak sekolah,
Bila dah malas;
Depan makbapak hari-hari beg digalas
Pergi sekolah minum air segelas
Terus hilang kononnya pergi ke tandas
Kalau kantoi memang dirembat tanpa belas

Student U,
Bila dah malas;
Berlakon semangat nak pergi kelas
Tengok muka pun dah tau datang tak ikhlas
Macam salin nota padahal banyak surat cinta nak dibalas

Orang bujang,
Bila dah malas;
Basuh baju dah tak dibilas
Masuk kerja pun pukul sebelas
Bila bos tanya asyik-asyik alasan perut memulas

Blogger,
Bila dah malas;
Tulis lebih kurang bahasa tak beralas
Tak ambil kisah bila diulas
Apa nak peduli komen orang katanya "no class"

Sunday, March 22, 2009

hei

Hei, jangan lari-lari. Tak perlu kau sembunyi-sembunyi. Aku tahu kau di sini. Menyerahlah kau ke mari. Jangan buat aku ternanti-nanti. Jangan buat aku tercari-cari. Pasti ada yang menyesal nanti.

Hei, aku berseru. Dari belakang kau datang meluru. Menghambur andaian macam peluru, bertalu-talu, berderu-deru. Tinggalkan janji-janji palsu. Itukah periuk nasimu?

Hei, lukaku masih berdarah. Tapi mengapa pula aku nak marah? Jangan risau aku takkan sesah. Jangan risau aku dah cukup susah. Kau takkan dapat jadikan ia lebih parah.

Hei, mengaku sajalah kau bersalah. Jangan tunggu bumi terbelah. Sebelum pekungmu terserlah. Doaku kau sedarlah. Sedar bukan bermakna kau kalah.

Friday, March 20, 2009

mendahului masa

Masa wujud sejak alam semesta ini diciptakan. Masa digunakan untuk menandakan permulaan, pengakhiran dan jarak waktu atau selang masa dari satu kejadian kepada satu kejadian yang lain, samada berlaku sebelumnya ataupun berlaku selepas waktu yang ditetapkan sebagai paksi kepada permulaan masa. Manusia mulai mengenal masa daripada perubahan sekeliling dan fenomena alam yang berlaku setiap hari, seperti datangnya malam selepas siang dan datangnya siang menandakan berakhirnya kegelapan malam. Manusia yang terus leka akan ditinggalkan masa. Manusia yang terus alpa tidak tahu dan adakalanya tidak mahu menghargai masa yang diberikan untuk mereka. Ditinggalkan masa pasti perkara yang dilalui semua orang. Mendahului masa pula bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi sukar dilakukan. Mendahului masa secara fizikal hanya berlaku dalam karya-karya fiksyen sains dan fantasi. Begitu juga kembali kepada masa lampau secara fizikal. Masa, pada pendapat saya adalah sesuatu yang relatif tetapi mengalir pada satu arah berterusan sehinggalah ke penghujung masa, yang masih belum diketahui bila. Namun mendahului masa secara bukan fizikal adalah tidak mustahil dilakukan. Minda dan pemikiran boleh mendahului masa. Manusia, secara sendirian tidak akan mampu meramal atau menentukan apakah yang akan terjadi pada masa depan, namun jika mereka dapat berfikir melalui aliran yang betul, disokong dengan input-input yang mencukupi, maka manusia mampu membuat jangkaan apakah yang akan berlaku pada masa hadapan. Namun jangkaan ini masih terbatas kepada jangkaan kasar, maka jangkaan tersebut tidak mempunyai ketepatan yang jitu dan persis keadaan sebenar yang bakal berlaku. Soal mampu atau tidak untuk mendahului masa bukanlah isu sebenar, tetapi menghargai masa yang telah dan sedang dikurniakan kepada manusia adalah yang lebih penting untuk diberikan perhatian. Adakah disia-siakan masa tanpa sebarang usaha ke arah kebaikan? Bermuhasabahlah, berfikirlah.