Showing posts with label fairy-tales. Show all posts
Showing posts with label fairy-tales. Show all posts

Thursday, October 29, 2009

jika dunia tanpa pujian

kerdipkan matamu dan buka semula
pandanglah dunia ini dengan kerdipan baru setiapkalinya

nescaya kau akan dapat melihat
jika dunia tanpa mentari dan rembulan
siang tawar malam tak berseri
akal kelu rasa tak keruan
penglipur bisu pemuisi pun kudung

jika dunia tanpa pujian
sanggupkah kau hidup dalam kutukan?
caci, maki dan nista jadi makanan
meragut jiwa hati dan perasaan

oh, kejamnya rasa

dibelenggu tanpa kuncinya diciptakan
kasihan..kasihan..
jika dunia sunyi dari pujian

Friday, October 23, 2009

hikayat ; bingkisan dari celah kayangan

mari, aku khabarkan satu lagenda
cerita gagak dipinang garuda
satu kayangan gegak gempita
banyak yang mencaci tak kurang yang gembira

sudahlah hitam, kerdil pula
manakan saing terbang bersama
apakan daya dibenci dihina
celakalah nurani diukur rupa

biasalah, lidah suka bersembang gebang
tentang cereka yang hangat terpampang
lampu di kamar barangkali tak terang
kelam, samar-samar kaki yang tempang

hutan rimba cuba diredah
ah, banyaknya duri bersepah-sepah
tercucuk terguris hingga berdarah
luka kecil tak jadi masalah

pengeji gelisah diasah resah
bila gagak buat tak endah
kerana mereka cuma berkisah
akan hikayat yang tidak sah

melodi nostalgia hinggap di telinga
mematuk keluar memori lama
ada yang pedih ada yang bahagia
haruskah semua diulang semula?

akal setitik cerita setempayan
ditokok tambah oleh si polan
bagaimana hendak merentas zaman
jika perangai bertitah syaitan.

begitulah sedikit dari bingkisan
bunyinya hairan tapi dari kayangan
terkasar bahasa bukan disengajakan
tercuit hati ku pohon keampunan.

Tuesday, July 14, 2009

jurubina dari langit

Dikisahkan, di suatu negeri berbumbungkan awan ditemui seorang jurubina, dikhabarkan beliau turun dari langit. Cantik wajahnya meliurkan gadis-gadis yang memandang. Manis bahasanya membuatkan lebah jantan memberontak kepada ratu lebah.

Diceritakan juga jurubina ini pada suatu hari bertitah kepada sang raja, beliau mahu baginda memperkenankan hasratnya untuk membina monumen terindah di muka bumi yang bergunung-ganang ini. Hebat kata-katanya menundukkan sang raja yang semakin kehilangan kuasa.

Adapun binaan itu sifat-sifatnya amatlah luar biasa, sehingga tak mampu diselami oleh kedangkalan akal jurubina manusia biasa. Bumbung binaan itu mahu dibuat dari awan yang redup tapi cukup hangat. Dindingnya dibuat dari angin taufan. Lutsinar tetapi kukuh. Temboknya pula mahu dibuat dari api nirmala. Biar binasa setiap yang mahu merosakkannya.

Selepas raja dititahkan memperkenankan permintaan jurubina dari langit itu, maka sekelian rakyat pun dipaksa mencangkul gunung-gunung dan batu-batu. Sungguhpun rakyat jelata sedar usaha mereka itu tidak membawa makna, tetapi demi kesetiaan membuta-tuli, masih mereka patuhi juga.

Bangkit pula seorang nelayan semasa sidang kerja dijalankan, memahukan kepastian kebaikan apakah yang akan mereka capai dengan usaha yang gila itu. Terkejut nelayan tua itu bila dijawab mereka juga langsung tidak tahu. Bagi mereka, cukup sekadar mereka patuh, soal lain usah dipedulikan. Sang nelayan tua itu pun berundur.

Saat si pemerintah mengetahui tentang persoalan yang dibangkitkan itu, segaralah dia dihukum tanpa bicara. Sekelian rakyat memuji keadilan yang dilaksanakan oleh sultan boneka itu. Amanlah negeri itu membina monumen, tanda kebejatan minda masing-masing.

**

Bertahun-tahun kemudian, si putera raja menaiki takhta menggantikan ayahandanya. Ketika itu barulah rakyat tersedar bahawa usaha mereka membina monumen itu masih lagi belum selesai sekalipun sudah bertahun-tahun dikerjakan. Sang raja pun membatalkan misi gila yang cuba dicapai sebelum ini.

Hairannya, dengan tidak semena-mena rakyat bergembira, memuji-muji kebijaksanaan sultan muda menghapuskan bebanan yang mereka pikul. Raja baru dijulang-julang menjadi wira penyelamat mereka. Barulah mereka tersedar, bahawa idea jurubina dari langit yang sudah hilang entah ke mana itu tidak terlaksana dengan kudrat manusia. Nelayan tua yang sudah lama terhukum pula dilupakan jasanya menafikan kebejatan pemikiran tersebut. Bijak sungguh rakyat negeri itu.

Wednesday, May 27, 2009

Alkisah...rajuk sang harimau

Alam riang itu kehairanan. Sangkaan mereka meleset. Si ahlilnujum alam yang paling kehairanan. Bagaimana mungkin sang harimau merajuk? Tidak pernah terbayang dalam bola kaca permainannya. Haiwan yang tampak gagah itu semakin hilang garangnya. Reputasinya sebagai raja di rimba kian tercalar. Pengikut-pengikutnya pasti akan mentertawakan keanak-anakkannya itu. Taringnya yang tajam seakan meratah keegoan dirinya sendiri. Ngaumannya yang menggegarkan langit dan menggerunkan musuh sudah menjadi mainan penghuni-penghuni alam riang itu. Di sana sini ngauman sindiran kedengaran. Sang harimau berlakon pekak, bisu tak mahu menawarkan jawapan. Sejak sang harimau mencampakkan gambar rakannya yang enggan menuruti kemahuannya, kebijaksanaannya dipersoalkan, kematangannya dipertikaikan. Perkara yang sekecil itu menjadi punca rajuknya yang belum reda, bahkan kian parah. Sang harimau enggan berjumpa dengan rakan seperjuangannya itu, jauh sekali mahu mendengar penjelasan rakannya mengapa dia berbuat demikian. Tindakan melulu sang harimau seolah-olah meminta si gajah yang gagah memijak-mijak kepalanya dan merampas gelaran raja di rimba. Siapa sangka, sang harimau yang garang pada rupa memiliki hati selembut kapas dalam dirinya.

Tuesday, May 12, 2009

hitam lagi haram

Gegak gempita tanah yang sedia bergolak. Laksana bumi mahu terbelah dan menelan kebatilan dan kejahilan. Ombak-ombak keadilan menerpa susuk-susuk hitam dengan garang. Lantas terpekik terlolong si hitam yang hina mencari rendangan untuk selamat. Entah dari mana asalnya, sekonyong-konyongnya dia diangkat menjadi raja dan dewa untuk kaum-kaum jahil di sana. Berperang dengan keadilan, namun tewas dan dimalukan. Sekalian yang menyembah dan mencium duli busuknya itu mula bertempiaran lari mencari gua-gua sepi bagi menutup malu. Aib sungguh mereka ketika itu. Si hitam yang dipuja-puja sebenarnya berdiri bersokongkan penipuan, keharaman. Mereka tengelam dalam bumi hak, ditimpa pula langit keadilan. Di balik kemelut itu, masih ada yang jahil mempertahankan si hitam yang semakin haram. Memutarkan kenyataan, menodai kebenaran. Lebih haram perilaku mereka, lebih hitam hati mereka. Langit tinggi mahu ditongkat dengan tangan. Benang yang basah mahu ditegakkan dengan paksaan. Kasihan nasib si hitam, bukan saja hitam, bahkan juga haram.

Tuesday, March 24, 2009

satu

Wajah tenang sesekali senang lagi girang disapa dedaun halus terbang datang melayang-layang ditiup angin kencang menghembus pergi rasa malang bukan kepalang tatkala bahang terik siang yang terang-benderang mula menghilang sambil menarik nafas jarang-jarang menampakkan dada bidang memainkan derang emas gemilang dalam uncang erat dipegang diwaktu petang bersandar ditiang terbina dari carang nan sudah bergoyang-goyang menongkat pondok usang tempat merehatkan rasa kejang dan keluhan panjang sambil memandang bendang dan padang tanaman kentang subur luas terbentang tak kering-kontang menghapus rasa berang kekadang bangang berperang seorang meski tampak garang bersenjatakan parang setajam pedang namun sekadar bermusuhkan sebarang belalang bukan cengkerang kerang berbelang yang datang bersarang dan menyerang dari jurang seberang tanpa pedulikan kepul asap berbau belerang dari arang dan perangkap lama terpasang.

Saturday, February 14, 2009

kudapan waktu pagi

Jam yang tidak bosan menunjukkan waktu telah 6.30 pagi. Mata mudaku telah gagal untuk memenuhi tuntutan fitrah malam sebagai manusia. Lalu terpaksa aku tunduk dan memenuhi kehendak mata yang ingin melihat dan menjadi saksi kepada detik-detik yang berlalu dengan harapan. Sesekali airmata bergenang, namun masih tidak cukup untuk memenuhi kehendak jasmani yang sudah lesu melayan jiwa yang meronta mahu menyelesaikan kecelaruan nan bersarang di hati. Hmm... Apakah yang perlu aku lakukan? Sendiri aku berfikir namun jawapan enggan hadir dalam benak pemikiran ku kali ini, tidak seperti kebiasaannya.
Lalu kotak yang memancarkan cahaya dan gambar-gambar yang bergerak menjadi pilihan terakhirku. Mungkin jiwa ini akan merasa bosan dan akan memenuhi fitrah kemanusiaanku. Namun, yang terpapar pada kotak itu bukanlah sesuatu yang membosankan, sekurang-kurangnya tidak kepada paradigma mindaku. Sebuah tayangan yang menjadi lagenda pada masa lampau dan sudahpun menghampiri akhir penceritaan menarik perhatianku. Bukanlah kerana aku adalah peminat kepada tayangan yang diberi nama "Ali Setan 2" itu, namun watakku sebagai pemikir dan pengkarya memerlukanku meneliti dan menilai cerita yang tak pernah dalam ingatanku, habis ku tontoni dari awal hingga ke akhir.
Babak pergaduhan suami isteri menjadi kudapan pagiku kali ini. Ahh..terasa ingin membodohkan penulis cerita itu lantaran babak yang dilakonkan dengan skrip yang tak logik pada norma kehidupan berlatarmasakan cerita itu. Sang suami dan isteri yang gagal mengerti tanggungjawab masing-masing berlumba-lumba menunjukkan kebebalan skrip masing-masing. Topik yang dijadikan landasan perlumbaan ialah perempuan jalang, lelaki jalang, dan segala kejalangan yang wujud disekitar mereka.
Kemudian cerita disambung lagi dengan watak sang isteri lari dan mencari watak hero cerita tersebut dengan alasan menagih keampunan. Maka bermulalah dialog-dialog berunsurkan falsafah kehidupan dan agama namun lucu sekali jika dialog itu dibandingkan dengan perilaku yang dilakonkan. Paradoks demi paradoks dihidangkan sebagai menu utama, nyaris berjaya mengundang amarah dijadikan respon kepadanya dan semakin aku ingin memaki namun tiada berguna.
Babak disingkap dan terus kepada dialog yang lebih bangang. Kasihan pula tumbuh subur di hati mengenangkan tahap pemikiran penonton-penonton lalu yang terlalu terdesak dan asyik untuk melayani keinginan bercinta dan asmara sehingga lalai untuk menilai kualiti cerita dan penceritaan. Namun, terima kasih kepada mereka juga kerana sokongan tidak berdasar itu memberi peluang kepada golongan kritikal meneruskan survival pemikiran kami. Babak si suami yang tertipu dengan kematian olok-olok isterinya lalu insaf dan mencuba segala fatwa-fatwa sesat si pengacau rumahtangga mendatangkan rasa lucu, sekali lagi kepadaku. Sebaik saja dia menyedari dirinya tertipu, lakonan amarahnya ingin membunuh kedua-dua penipu namun keputusan untuk meneruskan pembunuhan pula ditamatkan dengan alasan pendidikan tingginya menghalangnya dari meneruskan niat itu. Hahaha! Kalau pendidikan agama yang menghalangnya, mungkin lebih mudah untuk diterima. Pendidikan tinggi? Sejak bila buku rujukan statistik penakbiran mengajar kita jangan membunuh? Hahaha! Pasti faktor kurang rujukan dan sekadar menulis menurut nafsu mendorong kepada kelucuan itu berlaku.
Pengakhiran cerita lebih menunjukkan paradoks dan sifat munafik yang lebih besar, sang isteri tanpa segan silu menyatakan cinta kepada lelaki bukan suaminya melalui kata-kata dan perbuatan dan yang lebih memalukan apabila lelaki tersebut menyahut "seruan cinta suci" itu dengan kata-kata dan perbuatan yang sama. Tunggu sebentar, bukan si lelaki itukah yang menyamar menjadi ustaz dan memberikan fatwa-fatwa sesat sebentar tadi? Dan bukan si isteri orang itukah yang beria-ia mahu menjadi isteri solehah? Diangkat menjadi herokah kedua-duanya itu? Hahahaha! Memang lucu lagi melucukan!
Mungkin pengakhiran itu adalah pengakhiran yang diinginkan penonton, namun pasti tidak perlulah sehingga menafikan keperluannya untuk berdiri diatas fakta sebelum diterjemahkan kepada lakonan yang "bermutu" itu..Masalah-masalah dan perasaan yang bercampur-baur nan telah wujud sedari kegagalanku melelapkan mata telahpun berkonspirasi sehingga tertulisnya pos kali ini. Terima kasih masalah.

Thursday, February 5, 2009

Alkisah Nate-nate

Arakian bermulalah satu kisah di negeri yang baru diperintah oleh Sang Singabijaksana, aman damailah negeri itu dibawah pemerintahannya selepas memenangi pilihanraya yang diadakan.
Bersyukurlah seluruh rakyat jelata dengan kemenangan baginda sebelum dirajakan.
Sang Singabijaksana sekalipun tidak pernah bermimpi akan menakluki singgahsana kerajaan negeri yang diberi nama negeri Nate-nate.

Adapun begitu, adat beraja diangkat rakyat, adat bertanding dicemburui saing, Sang Singabijaksana juga mempunyai musuh-musuh baginda, yakni bukan binatang lain melainkan gerombolan pemerintahan kerajaan negeri Nate-nate yang sudah digulingkan selepas berpuluh tahun mengula-gulakan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum seperti semut, katak dan lalat.
Rakyat yang sudah meluat dengan kesombongan dan kebongkakan gerombolan ini akhirnya bersatu dan membantu Sang Singabijaksana menggulingkan mereka dan menakluki takhta pemerintahan negeri Nate-nate. Namun, Sang Singabijaksana masih terus cuba berlaku adil dengan gerombolan yang dianggap sebagai rakyatnya.

Gerombolan yang diketuai oleh Si Heringbotak dan Sang Kerbauraya terus menerus terlolong, terpekik-pekik cuba meraih simpati, laksana artis dibaling botol lagaknya demi mendapatkan sokongan rakyat semutapi marhaen semula. Pelbagai pekung kerajaan dibongkar namun semuanya terlontar tepat ke batang hidung mereka semula kerana pekung yang dibuka adalah pekung mereka sendiri. Lantaran tidak mampu menahan malu, lalu meletak jawatanlah seekor panglima gerombolan ini, yakni Datuk Kudatua.

Adapun Sang Singabijaksana telah membentuk kerajaannya dengan mengambil wakil-wakil hulubalang-hulubalang yang telah membantunya menaiki takhta, bersumpah setia kepadanya sebagai menteri-menterinya. Sang Katakjoli dan Sang Kodokpaya dua sahabat yang telah bersama-sama membantu baginda ditauliahkan menjadi panglima. Lalu naiktocanglah sahabat berdua ini lantaran pangkat yang dimilikinya, berbeza dengan kehidupan lampau mereka di kolam dan paya sahaja. Mereka merasa bebas untuk berbuat apa sahaja, baik amal mulia dan juga onar di negeri tersebut tanpa pengetahuan Sang Singabijaksana.

Gerombolan yang busuk hati yang sentiasa memerhatikan kesilapan hulubalang istana lalu melihat peluang keemasan terbuka untuk menggulingkan takhta Sang Singabijaksana tatkala melihat perilaku angkuh Sang Katakjoli dan Sang Kodokpaya. Lalu bermesyuaratlah kepala-kepala gerombolan untuk merencanakan sesuatu yang amat busuk baunya, lebih busuk dari kentut Sang Kerbauraya dan Si Heringbotak yang sentiasa bermain lumpur dan memakan bangkai itu. Setelah puas gerombolan itu berbincang, maka dipersetujuilah oleh mereka sekalian akan satu rencana menggulingkan kerajaan Sang Singabijaksana.

Satu hari kemudian, maka diutuskanlah oleh baginda Sang Singabijaksana kedua-dua sahabat Sang Katakjoli dan Sang Kodokpaya kepada suatu tempat menyampaikan titah baginda. Puak gerombolan yang sudah lama menanti peluang lalu turut menghantar khadam-khadam mereka menunggu di pertengahan jalan untuk berjumpa dengan utusan berdua itu. Dua sahabat yang mulanya enggan menurut kehendak gerombolan akhirnya terpedaya selepas dijanjikan hadiah yang lumayan, iaitu berupa seekor lalat dan seekor langau bagi setiap mereka, dengan syarat tiada siapa punyang boleh mengetahui perbuatan mereka. Oleh kerana kebebalan mereka yang tidak pernah merasakan nikmat memakan lalat dan langau, mereka pun bersetuju dan terkinja-kinja melompat kesyukuran dengan hadiah yang diberi.

Tatkala mereka sedang enak menikmati hidangan yang istimewa itu, tiba-tiba datang Datuk Ularsawa menerjah dan menangkap mereka yang sedang melakukan kesalahan menerima rasuah ketika menjalankan perintah Sang Singabijaksana. Sang Katakjoli dan Sang Kodokpaya yang terkejut kerana terbongkar rahsia mereka melanggar etika kepanglimaan mereka melutut dan merayu-rayu kepada Datuk Ularsawa,

"Apakah yang kalian lakukan ini?" sergah Datuk Ularsawa sebaik saja sampai.
"Tahukah kalian bahawa menganiaya sesama kaum kita itu adalah salah? Mahu dihukumkah?"
sambungnya lagi.

"Aduhai Datuk Ularsawa yang saksama, kasihanilah hamba berdua pacal yang hina ini. Hamba berdua hanyalah menerima hadiah, bukan melakukan kesalahan." rayu Sang Katakjoli.
"Benar hai Datuk Ularsawa, Hamba berdua tidak melakukan kesalahan apa pun." sokong Sang Kodokraya.

"Cis, kalian berdua memang tidak sedar diri, berasal dari kolam dan paya, baru sehari dua masuk ke istana sudah berani-berani berbuat aniaya kepada lalat dan langau! Bukankah sudah kalian berjanji setia melindungi mereka? Mengapa kalian seperti ini? Hamba akan laporkan kepada Panglima Ulartedung agar kalian diberikan balasan yang setimpal!" bentak Datuk Ularsawa dengan nada marah.

"Kasihanilah hamba berdua wahai Datuk, kami sanggup berbuat apa sahaja asal tidak dihadapkan kepada Panglima Ulartedung!" rayu mereka.

Datuk Ularsawa terdiam seketika. Sememangnya Ularsawa adalah salah satu khadam-khadam gerombolan yang setia, dan dia datang selepas diberitahu oleh khadam-khadam gerombolan yang lain.

"Baiklah kalau begitu, kali ini hamba lepaskan kalian berdua, tapi dengan satu syarat, apabila sampai masanya kalian berdua mesti mengikuti arahan daripada Sang Kerbauraya dan Si Heringbotak! Mahukah kalian berjanji?" ujar Datuk Ularsawa.
"Baiklah kalau begitu kehendak Datuk, asal sahaja kami dilepaskan," balas sahabat berdua itu.

Lalu Datuk Ularsawa pun berlalu pergi dengan senyuman yang lebar terukir diwajahnya. Segera dia mendapatkan Sang Kerbauraya yang sedang kegelisahan mundar mandir di taman dengan Si Heringbotak bertenggek di atas kepalanya. Sebaik sahaja ternampak Datuk Ularsawa hampir, segera mereka berdua mendapatkannya.

"Bagaimanakah semuanya? Berjalan lancarkah rencana kita?" tanya Si Heringbotak yang sudah lama hilang kesabarannya.

"Semuanya berjalan lancar. Pasti lepas ini Sang Singabijaksana akan berhasil kita gulingkan." ujar Ularsawa dengan nada gembira.

"Hahaha! Bagus hai Ularsawa, bagus.. Tak sia-sia beta utuskan khadam-khadam sekalian. Beta akan berikan ganjaran yang lumayan kepada kalian selepas Beta berjaya merampas takhta beta nanti! Pastikan rencana beta yang selebihnya dilaksanakan sebelum hari Singabijaksana bertitah kepada rakyat nanti." ujar Sang Kerbauraya yang masih menganggap dirinya raja di negeri Nate-nate itu.

"Menjunjung kasih tuanku. Titah tuanku patik junjung diatas batu ampar putih. Izinkan patik pulang beristirehat dahulu sebelum melaksanakan rencana tersebut," kata Ularsawa mengangkat sembah sebelum berundur.

Selang beberapa hari kemudian, bertitahlah Sang Singabijaksana kepada rakyatnya seperti kebiasaan yang dilakukannya. Baginda menitahkah agar sekalian rakyatnya agar patuh kepadanya selagi baginda dan menteri-menteri serta hulubalangnya tidak melakukan kezaliman.
Tiba-tiba bangkit Sang Kerbauraya dengan Si Heringbotak yang sentiasa bertenggek di atas kepalanya membentak, menuduh bahawa kerajaan Sang Singabijaksana telah melakukan kezaliman kepada rakyatnya. Tenang Baginda bertanyakan kepada mereka siapakah yang telah melakukan kesalahan dan apakah kesalahan yang telah dilakukan. Lalu Sang Kerbauraya pun menyeru kepada Sang Katakjoli dan Sang Kodokraya. Bangkitlah kedua sahabat itu dan tertunduk malu, mengakui kesalahan masing-masing. Rakyat jelata terkejut menyaksikan mereka, namun tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Tiba-tiba berteriaklah Sang Kerbauraya, menyeru agar Sang Singabijaksana turun dari takhta dan menyerahkan semula kerajaan kepada gerombolan. Rakyat yang masih termangu-mangu sekadar mampu melihat sahaja. Sang Kerbauraya segera naik ke singgahsana dan mengaku diri sebagai raja semula. Lalu Sang Kerbauraya segera berteriak, cuba mempengaruhi rakyat dengan memburuk-burukkan kerajaan Sang Singabijaksana. Rakyat masih berdiam. Hendak disokong pun tidak, hendak dibantak pun tak terlintas dihati mereka.

Penyokong-penyokong gerombolan pun segera bangkit dan menaburkan janji-janji manis serta mendewa-dewakan kerajaan baru yang hendak dibentuk, sedang kerajaan Sang Singabijaksana belumpun sah digulingkan. Namun rakyat masih berdiam. Semut-semut tersenyum lebar selepas mendengar khabar bahawa gula akan diberikan secara percuma dari gudang istana jika kerajaan Sang Kerbauraya di iktiraf dan Si Heringbotak menjadi memanda menterinya.

Maka bermulalah semula penggula-gulaan terhadap rakyat marhaen di negeri Nate-nate. Semuanya gara-gara Sang Katakjoli dan Sang Kodokpaya yang bodoh itu..