Showing posts with label smile. Show all posts
Showing posts with label smile. Show all posts

Thursday, October 29, 2009

jika dunia tanpa pujian

kerdipkan matamu dan buka semula
pandanglah dunia ini dengan kerdipan baru setiapkalinya

nescaya kau akan dapat melihat
jika dunia tanpa mentari dan rembulan
siang tawar malam tak berseri
akal kelu rasa tak keruan
penglipur bisu pemuisi pun kudung

jika dunia tanpa pujian
sanggupkah kau hidup dalam kutukan?
caci, maki dan nista jadi makanan
meragut jiwa hati dan perasaan

oh, kejamnya rasa

dibelenggu tanpa kuncinya diciptakan
kasihan..kasihan..
jika dunia sunyi dari pujian

Monday, July 13, 2009

aku, kita dan mereka ; tarian istimewa untuk kita

Malam-malam itu terang benderang. Tiada sunyi dan suram. Gesek-gesek batu api memercikkan keriangan buat singa-singa muda yang terlepas dari kurungan, dahagakan kebebasan. Awan yang terbentuk dari hembusan kegirangan itu memberikan senyuman. Ikhlas. Tak perlu puitis untuk menggambarkannya. Hujan dan panas bukan lagi penghalang. Aku pun menari untuk suatu keraian, demi kita. Tarian istimewa ini untuk kita. Rancak tarianku persembahkan dengan keghairahan tanpa nafsu berselindung di sebaliknya. Huruf-huruf mula bersusun membentuk kata dan rima, menurut sahaja tarian jemari dan pena. Kita bebas pada saat itu. Masa seakan berhenti bergerak, membekukan waktu, demi kegembiraan yang kita kecapi. Harmoni tanpa duka di hati. Kita tidak perlu jadi luar biasa untuk gembira. Cukup sekadar kita bersama. Tarian sudah sempurna. Kita adalah untuk kita.

Tuesday, March 24, 2009

satu

Wajah tenang sesekali senang lagi girang disapa dedaun halus terbang datang melayang-layang ditiup angin kencang menghembus pergi rasa malang bukan kepalang tatkala bahang terik siang yang terang-benderang mula menghilang sambil menarik nafas jarang-jarang menampakkan dada bidang memainkan derang emas gemilang dalam uncang erat dipegang diwaktu petang bersandar ditiang terbina dari carang nan sudah bergoyang-goyang menongkat pondok usang tempat merehatkan rasa kejang dan keluhan panjang sambil memandang bendang dan padang tanaman kentang subur luas terbentang tak kering-kontang menghapus rasa berang kekadang bangang berperang seorang meski tampak garang bersenjatakan parang setajam pedang namun sekadar bermusuhkan sebarang belalang bukan cengkerang kerang berbelang yang datang bersarang dan menyerang dari jurang seberang tanpa pedulikan kepul asap berbau belerang dari arang dan perangkap lama terpasang.

Thursday, March 12, 2009

berpantun dengan anak sekolah; siri 1

Berbaju putih bertanda nama,
Si gadis berkain, si teruna berseluar,
Mari saudara kita bersama,
Menatap pantun sebelum keluar.

Pergi sekolah naik basikal,
Bungkus ubi jadikan bekal,
Doa ibu si anak cekal,
Jauh dari perbuatan nakal.

Loceng berbunyi bingitkan telinga,
Berlenggang-lenggang kumpul disana,
Di depan berbahasa yang belakang ternganga,
Tak dengar kata alamat nak kena.

Lagu dipasang nyanyian bermula,
Suara tak sedap tidak mengapa,
Jangan adik mengurat pula,
Kalau kantoi rotan menyapa.

Salam diberi ucap diterima,
Kelas sejarah hendak bermula,
Tabiat semua hampir sama,
Cikgu bercakap kita pun lena.

Besar pun besar panjang pun panjang,
Banyaknya rotan tidak terbilang,
Memang dulu rasa nak terajang,
Bila tersua berani pun hilang.

Dirotan salah dimarah pun salah,
Budak sekolah semakin manja,
Bila bapa datang berbalah,
Yang salah cikgu sahaja.

Terkinja-kinja semacam kera,
Masuk kelas gurunya tiada,
Sabarlah menungu wahai saudara,
Sambungannya nanti InsyaAllah ada.

Thursday, March 5, 2009

reply kepada komen untuk entry "kembara"

baru-baru ini seorang sahabat saya telah meninggalkan komen yang berbentuk idea dan persoalan di previous entry bertajuk kembara. berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan untuk komen yang membina itu.
sebgai menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan, saya menulis puisi "cinta canggih" ini.
maka,
mahadewaratna_sari, yang saya maksudkan semacam ini;

jika aku adalah username,
kaulah passwordnya.
jika aku adalah laptop,
kaulah kabel power supply ku.
cinta mu ibarat kuasa eletrik yang menjana laptop,
tanpamu, hapus terpadamlah jiwa ini.
wajahmu ibarat skrin laptop yang bercahaya,
tak pernah bosan ku tatapi setiap hari.
kemana pun ku pergi, kau sentiasa ku bawa dalam hati,
seperti bateri laptop sentiasa dalam beg laptop ini,
sebagai bekalan dalam kembara cinta kita.

duhai kasihku,
hadirmu dalam hidupku
bagai antivirus yang melenyapkan segala virus kesunyian,
yang memenjarakan ku dalam archive hidup ini.
kau ibarat task manager,
yang mengatur gerak langkah.
denganmu, segala persoalan hati ku terjawab
seperti google yang setia memberikan jawapan.
setialah bersamaku wahai kekasih
kerana kau lah internal HDD dalam diriku ini
kerana kau lah OS dalam hidupku ini....


haha! macam lebih2 pulak reply nih!
siap ada kaler-kaler lagi..hahaha!
apa2 pun, hopefully persoalan anda terjawab,
dan idea "cinta canggih" ini menjadi satu perspektif baru untuk anda dan pembaca sekalian.

Tuesday, March 3, 2009

sepintas lalu dari blog author

Salam 'Alaik..

Terlebih dahulu satu quadrillion quintillion dan sextillion terima kasih saya ucapkan kat pengunjung2 blog ni.
banyak tu..lebih dari 1 tera-giga tu....
cakap sama2 cepat..!
tanpa kalian yg baca, saya tetap menulis jugak..heheh!
tapi kurang motivasi sikit la..kot..? ;p
Err...agaknya ni yg terrrpertama kali saya menulis yang macam ni.
Eh, ade lak..kali yang kedua...atau yang ketiga kot?
baru teringat entry2 yg lama2 sket.
tak kesahlah..kali keberapa pun, apedehal kan?
biaq pi la kata orang kedah nun.
saya tak heran kalau ada yang rasa heran dengan blog ni.
ye la, entry dah la pening lagi memeningkan,
pastu nyaris2 semua macam seriusss je butirannya.
mungkin cara saya mengolah bahasa "abstract" yang buat jadi camtu..ek eleh eksyen pulak!
tapi best kalau semua paham..kankan?
kalau entry2 ni memeningkan/membelitkan otak kalian,
saya susun semua jari2 yg saya ada ni memohon kemaafan,
tapi kalau sebaliknya content ni bagi impak positive,
sy menyusun jari2 yg sy ade ni jugak,
menadah mintak upah
haha!
sekali dapat pelempang kang tau la.. acik ngelakkk!
asal2nye saya ni org yang suka memudahkan sesuatu
but of course,
"simplicity is the ultimate sophistication"
bukan senang nak jadi simple ni nampaknye kan
kena lalui proses2 yang rumit dulu jugak
perbuatan yang jadi menifestasi pemikiran tu nampak lebih mudah, kan? tapi macam dalam kes saya ni,
hasil pemikiran yg kadang2 terlebih kritikal pulak
sebab tu bile diinterpretasi guna keyboard ni jadi la hasil macam yang telah/belum kalian baca.
memang tujuan asal blog ni pun untuk berkongsi buah fikiran
kalau dapat buah tangan tu, kire bonus hujung bulan la tu.
saya memang mengalu2kan any response,
tak kisah pun berbentuk cadangan/kritikan/ape2 je lah.
nak bagi yang berbentuk tenuk pun boleh jugak
tapi sape yg nk bela nnt?
sape nk bg dia makan?
haa..jawab jawab?!
baru2 ni contents of blog nampak macam......
em..macam layan perasaan lebih pulak kan..haha!
malu pulak nak ngaku!
tapi serius, bukan apa, tapi ilham ni kalau nak datang,
bukan nak buat appointment, tetiba je dah sampai dalam kepala
time cari, takde pulak tu..berbulu je celah lengan dibuatnye!
kena la tulis cepat2..sebelum dia blah pegi kat orang lain..
jadi kebanyakan entry tu adalah raw dari ilham.
yang berunsurkan ilmiah tu ade la jugak rujukan sikit2..
takdela main hentam je tulis.
em..bebel pun dah panjang,
jadi saya sambung lain kali je lah bebelan nih.
enjoy reading!

best regards,
thinkaholic

Sunday, March 1, 2009

wahai wajah kau senyumlah

Wahai wajah kau senyumlah
Biarpun yang direjamkan kepadamu
Kata-kata nista yang membenci dirimu
Merobek hati dan jiwa nuranimu
Cuba merenggut nyawa akal fikiranmu
Kau senyumlah
Kerana setiap rasa yang bergelora
Telah kau cuba menenangkannya
Tiap rasa yang membakar
Telah kau cuba memadamkannya
Kau senyumlah
Seolah-olah rasa itu satu nikmat
Mungkin rasa itulah
Yang menjadikanmu seorang insan
Mengajarkanmu erti satu kehidupan

Wahai wajah kau senyumlah
Biarpun yang terpampang dihadapanmu
Pembohongan yang berterusan
Biarpun yang cuba disuapkan kepadamu
Satu lagi kebejatan pemikiran
Sedangkan kau sedar akan kebenaran
Kau senyumlah
Biarpun terasa pahit
Biarpun berasa benci
Teruskanlah tersenyum
Ingatkanlah saat-saat indah
Menyejukkan rasa yang panas membara
Membiuskan rasa yang terluka

Wahai wajah kau senyumlah
Atas satu kesedaran
Tiada yang lebih menyakitkan musuhmu
Dari satu senyuman yang terkuntum diwajahmu
Wahai wajah
Kau teruslah tersenyum.