Showing posts with label complicated. Show all posts
Showing posts with label complicated. Show all posts

Sunday, July 26, 2009

aku, kau dan kita; demi kata-kata

Jangan kau bimbang, aku telah dan akan setia berterus-terang. Tiada sangsi tiada pembohongan. Jangan kau bimbang, aku masih sayang. Tulus dari hati biar kekadang disulam puisi rekaan. Kita meniti kata-kata, menanamkan puisi rindu lalu mekar menjadi kuntuman mawar yang indah. Dan demi kata-kata juga aku bicara, kau mendengarnya dengan hati. Pahit bukan jadi benci tapi jadi hiasan kembara hidup kita. Rindu ini milik kita. Jangan terhapus dengan masa dan suasana duka. Masa memang jadi benteng untuk kita bersama. Tapi, jangan kau bimbang, hari masih terang. Masih ada masa untuk merancang. Biar tenang hati yang sendu. Biar kukuh sayang dan rindu. Percayalah, demi kata-kata aku yang aku bicarakan, dan demi kata-kata yang kau ungkapkan, janji setia kita teguh atas nama keredhaan.

Saturday, July 25, 2009

anak marhaenis

Tatkala insan-insan disangka agung sedang diukirkan dalam lipatan sejarah dengan kemegahan, dia masih dilupakan. Dia bukan insan pujaan, dahagakan pujian. Ketika manusia lain sedang kagum memandang pencakar langit yang bertebaran, dia masih memikirkan cara untuk dia mendapatkan sesuap rezeki diceruk-ceruk longgokan batuan. Dia bukan anak hartawan. Semasa manusia lain sedang terlepak kekenyangan, dia masih derita kelaparan, dan dengan air hujan dia menahan. Dia tidak mengenal manusia dermawan. Sedang manusia lain dipuja dan diberi penghormatan, dia masih terus-menerus dihina seperti pengemis jalanan. Dia bukan pencuri mahupun penyamun. Apabila manusia lain sedang enak dibuai mimpi dan fantasi malam, dia masih berkeliaran mencari teduhan dari embun jantan. Disaat manusia lain sedang leka dan bersenang-senang, dia masih dihimpit dunia yang penuh derita dan ketidakadilan. Namun dia redha. Dia bukan hakim untuk menghukum kekurangan. Dia bukan dewa-dewa untuk memberikan kemewahan dalam sekerdip pandangan. Dia juga bukan seniman yang dapat melukiskan puitis mewarnai kehidupan. Dia manusia biasa. Anak seorang marhaenis. Manusia yang sering dilupakan. Namun dia masih punya hak dan keinginan mengecap kendi kebahagiaan.

Friday, July 3, 2009

dengarkanlah

Bacakanlah, untuk semua manusia yang tidak mampu membaca, agar mereka mengetahui hakikat.
Dengarkanlah, kepada mereka yang tidak mampu melihat agar mereka dapat berfikir dan memahami suasana.
Tunjukkanlah, kepada manusia yang tidak mampu mendengar agar mereka tidak ketinggalan. Ajarkan kepada mereka erti sebenar hakikat kejadian ini.
Kongsikan keindahan dunia ini kepada mereka, biar wajah yang suram dan muram jadi tenang dan gembira. Jangan bezakan mereka kerana berpakaian kusam dan koyak. Kita semua hampir sama biar tidak serupa seluruhnya.
Khabarkan keperitan jiwa yang terseksa agar mereka yang bisu dapat membuka mulut dan berbicara. Dengarkanlah kepada semua. Pekikkan kepada mereka yang berpura-pura tidak mendengar.
Teriakkan kebenaran itu agar mereka jangan sampai leka dibuai dunia dan fantasi.
Dunia ini kita kongsikan bersama. Keadilan itu kita tegakkan bersama. Yang benar kita teguhkan, yang batil kita binasakan.
Bersatu bukan perkara enteng. Kita berbeza. Namun, biarlah berlainan idea dan pendirian, biarlah berlainan budaya dan pakaian, yang penting tujuan kita sama. Demi anak-anak kita, demi pewaris keagungan agama.
Bantulah anak-anak kecil itu. Jangan dibiarkan masa depan mereka turut hancur dimusnahkan bom, seperti saudara-saudara dan harta mereka. Belalah mereka, jangan sampai kita gagal lagi membela, seperti kita gagal membela saudara-saudara mereka yang sudah kembali.

Thursday, May 28, 2009

alkisah...cinta agungkah?

Siapa ada di sana? Carik baju menjadi saksi buta. Siapa yang mampu bicara? Carik baju tuli dan bisu. Keadilan ditendang jatuh dari tempatnya. Siapa tahu? Cinta sunyi bakal disyairkan menjadi cinta agung. Siapa terpesona? Darah dan mata menjadi saksi. Tajam pisau tak dihiraukan. Siapa lihat? Mata yang sunyi dari kasih. Siapa yang merasa? Hati yang lemas dengan pelukan asmara. Siapa mangsa? Sang jujur lagi bijaksana, tidak terpedaya, namun tidak berdaya. Tipu dusta seorang wanita menghambatnya ke sana. Sangkar besi jadi pilihan hatinya. Khianat jauh dari benak dan pemikirannya. Rela terkurung dari dihurung kebebasan tanpa makna. Diburu cinta terlarang menjadi ketakutannya. Lalu dia lari dan bersembunyi di balik istana besi, kukuh dan kalis dari api asmara. Ratusan tahun kisahnya dinukilkan, disyairkan. Disolek menjadi cinta agung meski tiada yang berdiri menyokong hakikat kejadian. Bayang-bayang dan igauan memacu tulisan, memberi inspirasi cereka.

Wednesday, April 15, 2009

berjalan dan memandang

Beberapa waktu yang agak lama dahulu, saya berkesempatan untuk melakukan sesuatu yang sudah lama saya sukai. Berjalan dan memandang. Apa yang saya anggap istimewa dalam perjalanan ini ialah, saya berjalan dan memandang dalam hujan lebat. Pada saya pemandangan semasa hujan mempunyai daya tarikan yang tersendiri, yang sukar diperolehi semasa hari cerah.

Sebelum saya keluar rumah, saya memandang ke belakang. Setelah saya memastikan tiada barang alah hujan yang saya bawa, saya pun meneruskan perjalanan dengan langkah pertama dan seterusnya. Sendirian saya berjalan, dan sudah pasti saya kebasahan. Ada juga yang memandang saya dengan perasaan hairan. Mungkin mereka terfikir apalah yang saya cari dalam hujan, sedang mereka semua berlindung dari rahmat ini.

Saya tidak menganggap perjalanan ini suatu yang sia-sia, jauh sekali mencari bala kerana mungkin saya akan diserang demam selsema, ataupun senario terburuk yang boleh berlaku dalam hujan lebat, dipanah petir. Muhasabah diri, seperti yang sering saya lakukan dalam waktu lapang saya, saya menyanggah pendapat yang berkata, "Usahlah kamu memandang kebelakang. Hidup ini mesti diteruskan..Lupakan kisah silam, mulakanlah penghidupan yang baru."

Memang, saya akui, terdapat kebenaran dalam nasihat itu, tetapi tidak kesemuanya benar belaka. Sejarah lalu yang kita lalui dan pelajarilah yang membentuk kita hari ini. Jika tidak, bagaimana rakyat Palestin sehingga hari ini masih berdendam dengan Israel laknatullah, sudah pasti kerana sejarah mereka bersengketa berebutkan tanah Palestin masih belum bernoktah dan terus menerus berlaku sehingga hari ini.

Begitupun, mereka masih mengejar kemajuan duniawi dari segi ekonomi dan politik terutamanya sebagai mengahadapi cabaran dunia yang semakin hebat. Mereka masih mampu untuk memandang kehadapan walaupun terus-menerus dihantui oleh kenangan silam. Saya akui kurang arif tentang kegiatan ekonomi seharian mereka selain berniaga dibazar-bazar ataupun menjaga pesakit-pesakit di rumah-rumah sakit dan kem-kem pelarian, saya lebih mengenali Syeikh Ahmad Yasin yang dibom oleh helikopter Israel sewaktu subuh, begitu juga Abdel Aziz Rantisi yang menerima akibat yang sama, dibom kerana menjadi pemimpin Hamas untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin yang sekian lama ditindas dan dinafikan oleh Zionis Israel.

Berbalik kepada isu utama, berjalan dan memandang. Bagi saya, hidup yang diumpamakan sebagai suatu perjalanan oleh ahli-ahli filusuf ini mestilah sentiasa diteruskan, walau susah, walau senang yang kita hadapi, kerana kedua-duanya adalah sama, dugaan duniawi. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, ada yang diuji dengan kesenangan hidup. Mana satu yang lebih mudah? Jawapannya sama, kedua-duanya tidak semudah yang disangkakan.

Hidup mesti diteruskan dengan menjadikan sejarah sebagai pedoman agar kita dapat memperbaiki kesilapan yang berlaku dalam sejarah. Kesilapan-kesilapan itu hanya dapat ditebus dengan memandang kebelakang dan menilai semula sejarah yang telah berlaku. Bagaimana penilaian yang berkesan hendak dilakukan jika sejarah diabaikan, manusia enggan pandang kebelakang? Tidak mustahil boleh dilakukan, tetapi memerlukan usaha yang lebih dan berterusan. Ironinya, akhirnya golongan ini akan kembali mencuri-curi memandang kebelakang untuk mencari petunjuk melengkapkan penilaian mereka untuk masa depan, yang mereka istilahkan sebagai berpandangan jauh.

Perlukah kita melalui nasib yang sama sebelum berubah? Berjalanlah terus kehadapan dan jangan lupa memandang kebelakang kerana suatu hari nanti kita akan sampai jua ke penghujung jalan. Jangan disia-siakan peluang memandang kebelakang kerana kekadang, hal itulah yang membawa senyuman kejayaan.

Saturday, April 11, 2009

berperang; wira perang

NAH, panglima gah di depan mata. Pedang kilat menyilau mata terhunus, menyapa leher. Menawarkan pilihan. Hidup atau mati. Kosong, sunyi. Alam dan zaman pantas meninggalkan. Suria sudah sembunyi. Rembulan bertamu. Bintang hilang menyepi. Sesekali guruh menyergah, kilat memancar. Hujan belum turun membasahi tandus ini. Angin berderu, entahkan hiba entahkan tidak. Habuk dan debu menyelimuti jasad. Debu ikhtiar yang gugur satu demi satu. Tunggangan tidak lagi berlari. Tumbang, rebah ke bumi. Perisai tidak kelihatan lagi. Kota hanya tinggal debu. Hilang dalam tiupan angin deru. Siap sudah dihisab diri. Siap sudah pengadilan diberi. Pedang tumpul dan patah, tinggal setengah, jadi tongkat untuk berdiri. Kudrat sudah tenat, parah. Dihujung pedang nyawa terserah. Biarlah bumi terbelah menelan diri. Biarlah langit runtuh menindih tubuh. Pasrah dan redha. Fitrah singgah, menunai janji. Alam lain menanti. Tenang, rasa senang. Senyuman yang mengakhiri, senyuman memulakan perjalanan baru. Sesalan tiada bertandang. Perang ini terlalu hebat ditanggung seorang diri. Syukur dan redha dimunajatkan. Perang ini mengajarkan erti sebuah kehidupan. Perang ini mengajarkan harga sebuah keegoan. Hancur jasad tidak dihiraukan. Gugur bukan sebagai si kecundang. Gugur sebagai adiwira perang. Tiada meminta untuk dikenang. Airmata tiada bergenang. Berseru sudah semboyan, memanggil pulang. Tuju cahaya terang.

Sunday, March 22, 2009

hei

Hei, jangan lari-lari. Tak perlu kau sembunyi-sembunyi. Aku tahu kau di sini. Menyerahlah kau ke mari. Jangan buat aku ternanti-nanti. Jangan buat aku tercari-cari. Pasti ada yang menyesal nanti.

Hei, aku berseru. Dari belakang kau datang meluru. Menghambur andaian macam peluru, bertalu-talu, berderu-deru. Tinggalkan janji-janji palsu. Itukah periuk nasimu?

Hei, lukaku masih berdarah. Tapi mengapa pula aku nak marah? Jangan risau aku takkan sesah. Jangan risau aku dah cukup susah. Kau takkan dapat jadikan ia lebih parah.

Hei, mengaku sajalah kau bersalah. Jangan tunggu bumi terbelah. Sebelum pekungmu terserlah. Doaku kau sedarlah. Sedar bukan bermakna kau kalah.

Friday, March 20, 2009

mendahului masa

Masa wujud sejak alam semesta ini diciptakan. Masa digunakan untuk menandakan permulaan, pengakhiran dan jarak waktu atau selang masa dari satu kejadian kepada satu kejadian yang lain, samada berlaku sebelumnya ataupun berlaku selepas waktu yang ditetapkan sebagai paksi kepada permulaan masa. Manusia mulai mengenal masa daripada perubahan sekeliling dan fenomena alam yang berlaku setiap hari, seperti datangnya malam selepas siang dan datangnya siang menandakan berakhirnya kegelapan malam. Manusia yang terus leka akan ditinggalkan masa. Manusia yang terus alpa tidak tahu dan adakalanya tidak mahu menghargai masa yang diberikan untuk mereka. Ditinggalkan masa pasti perkara yang dilalui semua orang. Mendahului masa pula bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi sukar dilakukan. Mendahului masa secara fizikal hanya berlaku dalam karya-karya fiksyen sains dan fantasi. Begitu juga kembali kepada masa lampau secara fizikal. Masa, pada pendapat saya adalah sesuatu yang relatif tetapi mengalir pada satu arah berterusan sehinggalah ke penghujung masa, yang masih belum diketahui bila. Namun mendahului masa secara bukan fizikal adalah tidak mustahil dilakukan. Minda dan pemikiran boleh mendahului masa. Manusia, secara sendirian tidak akan mampu meramal atau menentukan apakah yang akan terjadi pada masa depan, namun jika mereka dapat berfikir melalui aliran yang betul, disokong dengan input-input yang mencukupi, maka manusia mampu membuat jangkaan apakah yang akan berlaku pada masa hadapan. Namun jangkaan ini masih terbatas kepada jangkaan kasar, maka jangkaan tersebut tidak mempunyai ketepatan yang jitu dan persis keadaan sebenar yang bakal berlaku. Soal mampu atau tidak untuk mendahului masa bukanlah isu sebenar, tetapi menghargai masa yang telah dan sedang dikurniakan kepada manusia adalah yang lebih penting untuk diberikan perhatian. Adakah disia-siakan masa tanpa sebarang usaha ke arah kebaikan? Bermuhasabahlah, berfikirlah.

Thursday, March 19, 2009

beku

Beku. Mudah dikaitkan dengan sesuatu yang sejuk, keras, tidak fleksibel, rigid, dan tidak bergerak. Berlawanan dengan sesuatu yang bergerak. Mungkin seperti aliran sungai. Ada masa ia bergerak dan mengalir. Ada masanya ia tidak. Mengapa? Ia beku. Manusia juga begitu. Ada masanya bergerak dan menghasilkan sesuatu, tanpa mengira apakah hasil itu adalah yang baik ataupun tidak. Bagaimana pula manusia yang beku? Sejukkah? Keraskah? Rigidkah? Mungkin kesemuaya. Namun yang jadi perhatian kali ini adalah manusia yang tidak bergerak. Mengapa? Mungkin kerana disekat, terhalang oleh faktor-faktor luaran dan dalaman. Apa pula faktor itu? Jika faktor luaran mungkin berbentuk ancaman, tekanan politik, kurang dorongan dan seumpamanya. Jika faktor dalaman, yang membekukan pergerakan itu juga mungkin adalah tekanan yang bersifat destruktif atau terjemahan literalnya bersifat memusnahkan. Mungkin juga beku itu adalah sesuatu yang direncanakan untuk menjayakan rancangan. Mungkin juga kebekuan itu adalah disebabkan sifat malas manusia. Malas memang membekukan. Fikiran boleh jadi beku jika kekurangan input berguna untuk diproses, atau boleh jadi kerana malas untuk berfikir. Malas, sekali lagi, memang membekukan. Usaha langsung tidak dijalankan untuk menyelesaikan masalah yang menduga kemampuan akal fikiran dan pendirian. Idea akan kekal hanya sebagai satu idea selagi tiada usaha menjayakannya. Mutiara kata tidak bermakna jika hanya kekal sebagai mutiara kata. Sinarnya akan malap tak bermaya jika tidak sirna. Jika aliran sungai yang jadi perumpamaan, sungai yang beku tidak lagi mampu untuk menghakis tebing-tebing usaha untuk dibawa bersama ke lautan kejayaan, sedangkan sungai yang mengalir, walaupun tidak tahu kemana dan apakah yang akan diharungi tetap akan sampai dahulu ke lautan berbanding yang beku. Beku, beku, oh beku..pergilah kau dari fikiran, pergilah kau dari perbuatan dan tingkahlaku, pergilah kau, jangan terus beraja dalam hati, jangan terus beraja dalam diri.

Friday, March 6, 2009

berperang; belum berakhir

Tunggangan kian letih. Terlalu jauh berlari laju mempertahankan kubu. Dimana air sakti penghilang dahaga? Pedang kian tumpul. Terlalu banyak yang sudah dipenggal. Jika punya masa pasti sudah dipertajamkan kembali. Yang menyerang tidak pedulikan waktu. Tiada rehat dalam peperangan ini. Perisai kian terlerai satu persatu, menampakkan jasad yang semakin lesu. Calar dan luka tidak terkira. Sakit tidak tergambar dengan kata-kata dari seribu bahasa. Namun tiada kelihatan darah yang mengalir. Sememangnya peperangan ini tidak akan menumpahkan darah. Yang wujud hanya hidup atau mati. Kubu yang gagah berdiri menyokong kehidupan, mempertahankan diri semakin reput. Keegoan itu semakin bolos. Perlu diperbaharui dengan bata dari syurga. Tiada masa untuk semua itu. Panji masih tegak dipegang erat. Pedang masih terhunus garang. Biar mati, asal saja panji tetap tegak berdiri. Berundur tidak terlintas. Biarlah mati di sini. Biarlah mati dari tidak berdaya mempertahankan diri. Panglima lawan mara dengan gah dan angkuh. Mahu melenyapkan biar tiada sisa walau sebesar zarah. Rela ditelan bumi menjadi debu dari menyerah dan ditawan. Mati bukanlah tanda kekalahan. Hidup bukan beerti kebebasan.

Tuesday, March 3, 2009

kembara

Panas, penat dan letih. Itulah yang dirasakan. Debu-debu jalanan kian menyesakkan. Tubuh kian lesu. Amarah langsung tidak singgah di fikiran. Lapar dan dahaga untuk diteruskan perjalanan. Mahu saja dihumbankan tubuh itu ke dalam lautan madu. Mahu saja digapai dan diperah awan agar hujan turun menghilangkan dahaga. Di luar kemampuan. Sedar dengan kekurangan. Terjatuh lagi mencium bumi yang kering kontang. Perlahan-lahan bangkit. Terlalu lama berehat. Keletihan belum lagi pudar. Terik mentari membakar tubuh. Awan-gemawan seakan lari, bersembunyi. Sejuk malam menikam tulang-belulang. Bulan bintang meski setia meneman, sekadar bisu memerhatikan. Sepi dilagukan, jadi hiburan. Berbekal satu tekad mencari kepastian. Menyisih dari sesak himpit kota. Berpaling dari keindahan pantai dan lautan. Begitulah perjalanan dimulakan. Bahang mentari tak mampu melekang impian. Waktu yang berlalu tidak mampu melapukkan. Hidup tidak pernah menjanjikan ketenangan, kemewahan, kegembiraan. Perlu dicari dan diusahakan. Perlu dihargai supaya berpanjangan. Pun disedari tiada yang akan berkekalan. Fitrah yang dijanjikan Pencipta alam. Sesekali ombak perasaan menerkam, menghanyut, menenggelamkan dalam lautan perasaan. Fikiran mulai kabur. Sinar cahaya menipu mata, memesongkan hakikat, menampakkan telaga di sebelah sana. Lari-lari kecil, terdesak untuk menemukan akhir penderitaan. Angin bertiup kencang, mahu saja ditumpangi biar lekas sampai ke hadapan. Biar lekas temukan penghujung jalanan. Perjalanan ini walau menderitakan, tidak pernah terbit kekesalan kerana memulakan. Tidak pernah diratapi, dirintihkan rasa terpenjara antara ruang dan masa. Bernafaskan cinta tidak pernah terlintas difikiran. Yang dirayu bukan belas kasihan. Yang dipinta sekadar secangkir kasih dari kesayangan. Buat mengisi bejana impian. Mencorak takdir mewarnakan ketentuan.

Sunday, March 1, 2009

wahai wajah kau senyumlah

Wahai wajah kau senyumlah
Biarpun yang direjamkan kepadamu
Kata-kata nista yang membenci dirimu
Merobek hati dan jiwa nuranimu
Cuba merenggut nyawa akal fikiranmu
Kau senyumlah
Kerana setiap rasa yang bergelora
Telah kau cuba menenangkannya
Tiap rasa yang membakar
Telah kau cuba memadamkannya
Kau senyumlah
Seolah-olah rasa itu satu nikmat
Mungkin rasa itulah
Yang menjadikanmu seorang insan
Mengajarkanmu erti satu kehidupan

Wahai wajah kau senyumlah
Biarpun yang terpampang dihadapanmu
Pembohongan yang berterusan
Biarpun yang cuba disuapkan kepadamu
Satu lagi kebejatan pemikiran
Sedangkan kau sedar akan kebenaran
Kau senyumlah
Biarpun terasa pahit
Biarpun berasa benci
Teruskanlah tersenyum
Ingatkanlah saat-saat indah
Menyejukkan rasa yang panas membara
Membiuskan rasa yang terluka

Wahai wajah kau senyumlah
Atas satu kesedaran
Tiada yang lebih menyakitkan musuhmu
Dari satu senyuman yang terkuntum diwajahmu
Wahai wajah
Kau teruslah tersenyum.

berperang

Semboyan dibunyikan. Panjang seruannya. Telinga yang berjaga-jaga, bangkit. Segera memanggil roh yang sedang dalam pengembaraan. Mata kembali segar. Fikiran perlahan-lahan menjadi satu. Bertekad. Mati bukanlah sesuatu yang ditakuti lagi. Selangkah demi selangkah maju. Di manakah perisai? Di manakah pedang? Di manakah tunggangan? Di manakah medan perang? Tidak..tidak.. Bukan itu yang diperlukan. Yang akan diperangi ini bukan manusia. Yang menjadi medan peperangan bukan gurun sahara. Yang ingin dikecapi bukan darah musuh. Sekadar menundukkannya. Sudah cukup. Iman menjadi perisai. Kata-kata menjadi pedang. Fikiran 'kan menjadi tunggangan. Siapa musuh? Bukan manusia. Bukan haiwan. Tapi gelora satu rasa. Kuat ingin menguasai. Harus hadapi tentangan dahulu. Hati bakal jadi medan untuk peperangan ini. Yang hendak ditewaskan adalah rasa itu. Menundukkannya menjadi harapan. Memeranginya adalah usaha. Mampukah? Mati bukan jadi pilihan. Hidup bukan tanda kemenangan.

Sunday, February 15, 2009

paksi pemikiran

Paksi membawa maksud yang berlainan bergantung kepada konteks ia digunakan, sama ada konteks matematik, anatomi, botani, dan pelbagai lagi. Paksi yang saya maksudkan di sini secara amnya membawa erti suatu titik tengah atau garisan yang menjadi pembahagi kepada dua atau lebih sifat-sifat tertentu. Berfikir pula adalah kata kerja untuk menghasilkan suatu pemikiran, yakni pemikiran adalah hasil atau output daripada perbuatan berfikir setelah melalui proses mempertimbangkan input-input atau idea-idea yang masuk atau terilham dalam fikiran. Maka, istilah paksi pemikiran saya interpretasikan sebagai suatu kekangan atau pegangan semasa proses berfikir untuk melahirkan suatu bentuk pemikiran yang boleh diterjemahkan dalam perbuatan. Dalam penulisan ini, saya merujuk kepada agama, moral dan kematangan serta keutamaan sebagai paksi-paksi kepada pemikiran.

Persoalan yang mendorong saya untuk menulis tentang paksi kepada pemikiran ini ialah;
1. Apa itu paksi pemikiran?
2. Bagaimana yang dikatakan paksi kepada pemikiran?
3. Mengapa harus ada paksi kepada pemikiran?
4. Apa pula kesan ketiadaan paksi pemikiran?
5. Bolehkah fungsi paksi pemikiran dinafikan?

Begitu banyak sekali soalan yang boleh diwujudkan, namun adakah sama banyak dengan jawapan yang boleh diberikan? Paksi pemikiran, pada pendapat saya melalui pengalaman dan pembelajaran adalah suatu elemen yang penting dalam memberikan buah fikiran atau membuat keputusan yang baik. Diberi contoh seorang yang sedang dalam dilema untuk memilih antara dua perkara yang bertentangan sifatnya antara satu sama lain, maka paksi pemikiran yang adil perlu diwujudkan dan menjadi hakim untuk menentukan yang mana satu perkara tersebut adalah lebih baik dan perlu dipilih. Contohnya dua orang yang sedang bercinta mestilah menjadikan agama sebagai batasan atau had kepada pergaulan mereka. Sejauhmana had tersebut hanya boleh ditentukan melalui proses berfikir dengan menjadikan agama sebagai paksi pemikiran mereka. Jika tidak, maka, berkemungkinan besar kes-kes pengguguran, pembuangan dan pembunuhan bayi-bayi yang tidak mengerti apa-apa akan berlaku terus-menerus dalam masyarakat akhir zaman ini.

Sebaik-baik paksi kepada pemikiran adalah agama/moral dan kematangan serta keutamaan, yang telah saya pilih awal-awal sebagai isi kepada perbincangan ini. Jika ditanya mengapa saya memilih isu ini sebagai topik, saya dengan senang hati menjawab kerana masih ramai yang tidak menyedari mengapa mereka membuat kesilapan demi kesilapan tanpa ada sebarang pembetulan. Dalam satu permasalahan, yang terpenting untuk diselidiki bukanlah siapa yang bersalah, tetapi adalah kaedah penyelesaian kepada masalah tersebut. Dalam hal ini, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa setiap kaedah, samaada kaedah saintifik, empirik dan sebagainya, memerlukan kepada kewujudan suatu paksi bagi memastikan kaedah yang dipilih adalah tepat dan berkesan, yakni selepas permasalahan itu dimasukkan ke dalam kategori yang sesuai.

Hampir semua orang mempunyai paksi kepada pemikiran mereka, soalnya sama ada mereka sedar ataupun tidak sahaja. Seperti yang dinyatakan, bukan semua orang yang boleh berfikir, jauh sekali untuk memiliki dan menggunakan paksi dalam hal berfikir. Hal ini dapat dijelaskan dengan kewujudan kelompok manusia yang melakukan sesuatu tanpa membuat pertimbangan yang sewajarnya seperti membunuh diri sebagai senario yang terburuk. Dimana telah mereka campakkan akal yang diberi untuk berfikir sebelum mengambil "jalan penyelesaian" yang hakikatnya sentiasa gagal menyelesaikan masalah ini dan terpengaruh dengan pujukan emosi yang keterlaluan setakat ini masih sukar untuk ditentukan dengan tepat. Kebiasaannya pembunuhan akal ini dikaitkan dengan masalah depresi dan sebagainya. Nilai-nilai agama dan moral telah diketepikan daripada menjadi paksi kepada pemikiran mereka menyebabkan berlakunya hal-hal yang sebodoh ini dan sudah pasti, kematangan dan keutamaan telahpun dilemaskan dalam lopak pemikiran yang cetek awal-awal lagi. Saya memberikan contoh mangsa-mangsa lintah darat yang tertekan sehingga membunuh diri kerana senario inilah yang sering berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Begitulah serba ringkas kupasan tentang isu kali ini. Sebelum itu, bagi menjawab soalan terakhir, kesal untuk saya katakan ya, fungsi paksi pemikiran sememangnya boleh dinafikan dan diabaikan oleh manusia. Pencemaran terhadap diri sendiri dan alam sekeliling menjadi bukti dan alasan kepada jawapan yang saya berikan. Maka, saya dengan rendah diri mempersilakan anda untuk menilai diri sendiri apakah perkara-perkara yang anda gunakan sebagai paksi kepada pemikiran anda dan adakah perkara tersebut relevan anda jadikan sebagai paksi pemikiran anda. Semoga selepas membaca tulisan ini anda akan mendapat kesedaran tentang apa yang berlaku semasa proses berfikir berlangsung dalam minda anda.

Friday, February 13, 2009

kematangan

"In any situation, the best thing you can do is the right thing, the next best thing you can do is the wrong thing and the worst thing you can do is nothing..."

Isu yang ingin diketengahkan kali ini adalah berkaitan dengan kematangan dalam konteks membuat keputusan. Matang atau dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai "mature" bermaksud perilaku berdasarkan pertimbangan yang berhati-hati. Sememangnya sifat matang ini perlu wujud dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi bagi manusia yang semakin meningkat umurnya dari tahap kanak-kanak kepada dewasa bagi membuat keputusan dan menghadapi ranjau kehidupan yang serba mencabar dalam zaman kontemporari. Tahap umur yang semakin meningkat juga dikaitkan dengan tahap kematangan yang (diharapkan) semakin berkembang dimana dikatakan semakin berusia seseorang itu, maka semakin matang pemikiran mereka kerana usia meingkat seiring dengan pengalaman, yang membolehkan kematangan dicapai secara berperingkat-peringkat. Pun begitu, kesal untuk dinyatakan, masih terdapat golongan yang gagal untuk memperolehi jauh sekali mengaplikasikan tahap kematangan yang sesuai dengan umur mereka walaupun mereka diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap pendidikan pertengahan dan tinggi.

Namun bagaimana atau apakah sebenarnya yang boleh dan akan berlaku jika kematangan ini dinafikan fungsinya dalam kehidupan seharian? Persoalan yang mungkin akan menerjah pintu kebijaksanaan anda jika difikirkan secara mendalam. Adakah anda matang? Apa buktinya? Di masa kini, kematangan seolah-olah telah menjadi prasyarat yang tidak tertulis dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam mewujudkan atau mengekalkan hubungan, pekerjaan dan sebagainya. Saya sendiri telah menyaksikan kesan terhadap situasi yang boleh berlaku apabila sifat kematangan telah dinafikan daripada menjadi faktor penentu dalam membuat keputusan yang bijak, dalam kes ini, situasi "terdesak" dimana manusia yang gagal memiliki kematangan cenderung untuk melakukan tindakan yang dianggap kurang bijak dalam ukuran norma-norma kehidupan dan golongan ini juga sering bertidak sekadar untuk melepaskan diri dari kancah masalah walaupun hakikatnya mereka tetap akan dikejar dan dihurung oleh masalah yang mereka lari daripadanya. Mungkin saja mereka terlalu cuai untuk memahami kenyataan ini. Pengalaman mereka yang lalu mungkin telah gagal untuk mengajar atau mereka sendiri yang gagal untuk belajar dari pengalaman demi mencapai tahap kematangan yang sesuai. Hal ini boleh dikatakan sebagai "If the lessons of history teach us anything it is that nobody learns the lessons that history teaches us..". Mungkin sedikit lucu, namun itulah yang sering berlaku.

Seperti yang dinyatakan dalam petikan di awal-awal tulisan ini, "perkara terbaik yang boleh anda lakukan dalam apa-apa situasi ialah tindakan yang betul, sedang yang kedua terbaik ialah tindakan yang salah, dan perkara terburuk yang boleh anda lakukan ialah tidak berbuat apa-apa.." pada pandangan saya mungkin adalah lebih bersifat untuk mengajar manusia supaya berfikiran positif dan cuba untuk melakukan yang lebih baik, JIKA diberikan peluang yang sama pada masa mendatang. Walaupun begitu, sentiasa masih ada peluang untuk mengasah dan menunjukkan kematangan selagi hayat dikandung badan. Kematangan sentiasa boleh dicapai melalui pengalaman sendiri dan juga melalui pengalaman orang lain ataupun tamadun-tamadun terdahulu. Maka, hargailah setiap detik yang dikurniakan dalam kehidupan dalam usaha mencapai tahap kematangan dan ketamadunan yang tinggi.

Monday, February 2, 2009

berlari ke langit tersembam ke bumi

Malam yang sunyi tak memberikan jawapan walau untuk satu soalan apatah lagi untuk seribu pertanyaan. Biar didesak, takkan dipedulikan. Tahun baru yang menjelang diraikan walau kesengsaraan manusia terus jadi isu dan persoalan. Bangsa manusia memang fitrahnya begitu. Kompleks dan ego mengakui kesalahan masing-masing, jauh sekali untuk membetulkan keadaan. Apakah terus bangsa manusia mengikut hawa nafsu yang ingkar kepada Tuhan. Mungkin rasa malas waktu pagi mendesak diberikan harapan dan kejayaan. Dan penulisan tanpa tajuk dan tujuan mungkinkah memberikan kesedaran dan renungan.

Angin lalu dingin seperti meniupkan salju yang berterbangan menyapa insan yang dalam kesepian. Kenangan-kenangan silam terpancar satu persatu dan menuntut penyesalan. Sedang siaran-siaran televisyen yang dipancarkan membawa manusia yang hilang arah dan pedoman terus dibuai dan dibelenggu fantasi yang mengasyikkan. Minda yang dimanjakan dengan teknologi dan kemewahan semakin enggan mentafsir keadaan. Kita adakah hamba kemajuan?

Sang Jebat si hamba keadilan terus menjerit dan meronta dalam pasung-pasung kezaliman sang sultan yang dirajakan oleh rakyat yang disuap dengan harapan kemajuan dan keadilan. Walau keamanan yang dijanjikan, selimut kepalsuan terus melenakan rakyat yang enggan bangun lantaran selesa dibuai mimpi-mimpi kemenangan hakikatnya satu lagi igauan.

Jari dan semangat bergerak seiringan cuba memanjangkan tulisan, walau didendangkan dengan lagu-lagu suara senada dari kugiran yang sumbang dibaling botol-botol dan dihamburkan dengan makian terus menjadi peneman. Lebih baik sunyi dari membiarkan sampah masuk menembusi kubu kebijaksanaan yang semakin terlopong tanpa pengetahuan yang membina keinsanan dan kerohanian.

Bahagia yang dicari derita yang dijumpai. Berlari ke langit tapi tersembam ke bumi apakah maksud perlu dicari, difahami. Api kekeliruan semakin membakar diri semahunya menjadi abu dan debu. Dibiarkan begitu pasti tak mahu, perlukan air sakti memadamkan tapi entahkan siapa yang menjadi penjaganya. Entahkan si naga lagenda atau pak tua penghuni gua.

Cari, cari dan terus mencari. Harapan tak muncul tanpa impian di depan. Biar langit gugur, bumi menyembur, terus mencari asal nanti pertanyaan Ilahi dapat dijawab oleh iman dalam hati. Beri, beri dan terus memberi kerana itu yang menjadi tali antara yang hidup dengan yang mati.