Showing posts with label tempered. Show all posts
Showing posts with label tempered. Show all posts

Saturday, May 9, 2009

singkat dan senteng

Baru-baru ini saya menerima e-mel dari seorang rakan saya. E-mel itu bagaimanapun bukanlah beliau sendiri yang menulisnya, tetapi sekadar meneruskan rantaian e-mel yang telah bermula entah bila dan dari siapa. Emel itu juga bukanlah yang pertama saya terima seumpamanya. Saya gagal untuk menyalahkan beliau kerana menghantar e-mel tersebut. Kata-kata di penghujung e-mel tersebut tidak memberikan beliau sebarang pilihan secara implisit, yakni pilihan untuk tidak meneruskan rantaian penyebaran e-mel itu kepada rakan-rakannya yang lain, termasuklah saya. Maka saya cuba untuk memahami situasinya. Baiklah, cukup untuk pendahuluan.

Kandungan e-mel tersebut saya tidak perlulah saya petik di sini, kerana saya mengandaikan hampir semua orang turut pernah menerima emel-emel yang hampir serupa makna dan tujuannya. Isu yang dibawa emel ini bagaimanapun terlalu lemah pada saya. Mengapa perlu kita bimbang dengan penggunaan singkatan perkataan yang membawa maksud kurang baik dalam bahasa lain? Hal ini menghairankan, lebih-lebih lagi apabila singkatan itu digunakan untuk berkomunikasi dengan orang yang rata-ratanya menggunakan bahasa ibunda yang sama. Jika dilihat semula kepada asas-asas komunikasi, elemen yang penting dan perlu ada ialah penghantar mesej, medium penghantaran dan penerima mesej. Proses pengekodan berlaku bagi penghantar mesej sebelum melalui medium penghantaran. Penerima mesej pula perlu menyahkod mesej tersebut untuk difahami. Sebagai sampingan, terdapat gangguan yang kekadang berlaku yang sering diistilahkan sebagai gangguan semantik. Gangguan yang boleh menyebabkan salah tafsir kepada mesej yang hendak disampaikan ini bagaimanapun boleh diatasi dengan bertanyakan soalan semula kepada penghantar mesej untuk mendapat kepastian maksud mesej. Komunikasi dianggap berkesan apabila kedua-dua pihak memahami mesej yang dihantar dan diterima tersebut. Proses ini mudah, walaupun diterjemahkan dalam bahasa yang mandul. Buktinya, anda boleh memahami proses yang saya ceritakan.

Selain itu, tiada asas yang kukuh untuk menyokong hujah dan tuduhan mereka mengatakan sedemikian, yakni berkaitan maksud yang kurang baik tersebut. Tidak salah sekiranya mereka menyatakan atau menyertakan sumber-sumber seperti kamus bahasa Ibrani yang sering menjadi mangsa tuduhan ini. Memang betul, bangsa Israel tidak lekang dari dendam mereka terhadap umat Islam, namun hal ini tidak menghalalkan tuduhan-tuduhan palsu dibuat untuk memburuk-burukkan mereka. Jika tidak, apakah bezanya umat Islam dengan bangsa Yahudi yang sering bohong dan mungkir dalam kata dan janji-janji mereka kepada Tuhan, apatahlagi sesama manusia. Untuk rekod, dalam emel tersebut, "akum" dikatakan adalah akronim untuk "Avde Kokhavim U Mazzalot", bermaksud "hamba-hamba binatang dan orang-orang sesat" yakni gelaran bangsa Yahudi kepada bangsa-bangsa selain mereka. Petikan ini adalah salah satu contoh daripada berpuluh-puluh lagi perkataan lain yang saya terima. Ironinya, orang yang mula-mula menggunakan singkatan "akum" untuk "assalamualaikum" bukanlah dari bangsa Yahudi. Singkatan ini telah diintegrasikan menjadi frasa Ibrani yang saya sebutkan di atas dan secara kebetulan digunakan oleh umat Islam semasa memberi salam. Pendapat saya secara peribadi adalah, singkatan ini tidaklah menjadi masalah asalkan niat kita adalah untuk mendoakan kesejahteraan sesama Muslim, bukan untuk menyumpah.

Perkara yang saya pandang serius selain daripada tuduhan-tuduhan tersebut ialah frasa-frasa yang digunakan oleh pengirim emel untuk memastikan emel mereka tersebar luas, terutamanya dalam kalangan umat Islam. Berbekalkan kata-kata "sayang Islam", "selamatkan saudara-saudara se-Islam kita" dan sebagainya, ugutan dibuat secara halus sehingga menggambarkan orang yang tidak menyebarkan emel tersebut akan ditimpa bencana, dan yang paling teruk, seolah-olah kecintaan mereka terhadap agama Islam dipersoalkan tanpa sebarang asas yang kukuh dimana penghantaran emel menjadi kayu pengukur kepada tahap iman penghantar (penerima ). Namun, masih ramai yang tidak cakna kepada isu ini. Seharusnya Mukmin tidak terpengaruh dengan marcapada yang penuh tipu daya dan menimbulkan fitnah ini.

Sebagai penutup, perlu saya tegaskan, penggunaan singkatan tulisan yang sedia telah merosakkan keindahan bahasa mestilah dinilai semula. Akal yang telah dianugerahkan pula mestilah dimanfaatkan sebaiknya bagi mengelakkan Muslim digelar umat yang berakal senteng kerana perkara-perkara yang dianggap remeh ini. Sesungguhnya umat Islam itu adalah umat yang terbaik di atas muka bumi ini.

Friday, April 10, 2009

mencarut

Manusia punya perasaan. Antara perasaan-perasaan yang dimiliki oleh seorang manusia ialah perasaan marah. Mengapa harus marah? Banyak sebabnya. Marah selalunya dipacu oleh perasaan lain seperti rasa kekurangan, kegagalan, rasa tidak suka atau benci, mungkin juga dipacu oleh rasa untuk melindungi pendirian sendiri. Kesan kemarahan juga tidak kurang banyaknya. Ada manusia yang sedang marah suka mencarut. Mencarut? Mencarut merujuk kepada perbuatan menghamburkan kata-kata kesat. Kesat dan kasar. Perkataan bersifat seperti ini dipilih untuk diluahkan bagi mewakili rasa marah yang sedang bersarang dalam hati. Perlukan contoh perkataan ini? Sumpah-seranah ini boleh didengari dalam wayang-wayang gambar dari barat kebiasaannya, sukar untuk didengar dalam drama-drama Melayu seperti drama Gerak Khas ataupun drama animasi Usop Sontorian. Nada tinggi selalu digunakan untuk menampakkan dan memperhebatkan kesan carutan. Pun begitu, dalam wayang-wayang gambar dari barat, diperhatikan untuk mencarut, rasa marah itu tidak diperlukan untuk memicu sumpahan itu terbit dari mulut seseorang. Cukup spontan sumpahan itu keluar. Ada masanya seperti telah menjadi suatu kebiasaan dan kebudayaan. Kebudayaan mencarut barangkali? Kadang-kala carutan itu dieksploitasi untuk menegaskan maksud ayat yang digunakan. Itu adalah penggunaan kata-kata kesat yang biasa didengar dan dilihat. Namun pernahkah anda terfikir, bagaimana jika kemarahan itu diluahkan dengan bahasa yang paling indah, atau sekurang-kurangnya nada yang rendah dan "manja"? Apa akan terjadi kepada kemarahan tersebut? Ingin tahu? Cubalah sendiri.

Monday, March 30, 2009

nilai sebuah entri

Beberapa hari yang lalu saya memulakan perjalanan dari Bangi untuk pulang ke Seremban. Selalunya saya akan sampai ke destinasi selepas memakan masa lebih kurang 25-30 minit jika saya memandu dengan gaya romantis. Mengandaikan jalan termudah, maka saya melalui lebuhraya utara-selatan untuk segera pulang ke Seremban. Hujan yang turun lebat dipertengahan jalan memerlukan saya lebih berhati-hati memandu keseorangan. Saya belum rela untuk dikira dalam statistik kemalangan jalanraya tahunan. Tumpuan dan ketenangan mula dicapai perlahan-lahan.
Kemudian, ketenangan saya mula terganggu selepas saya amati dari jauh bilangan kereta yang semakin banyak. Bukanlah perkara yang menghairankan jika banyak kereta di lebuhraya, tetapi rasa tidak puas itu sedikit terbit dalam hati kerana seolah-olah saya akan membayar tol yang dikenakan untuk "menikmati" perjalanan yang dipenuhi dengan kesesakan trafik termasuk dalam senarai "perkara yang saya tidak suka". Deejay di radio pula kebetulan menyampaikan laporan bahawa berlaku kesesakan lalulintas "di tempat-tempat biasa" pada waktu petang itu. Akur dan pasrah. Memandangkan tiada tempat lain yang boleh saya bolosi untuk mengelak kesesakkan melampau itu kerana jarak saya untuk sampai ke tol Seremban kurang 10 kilometer lagi, maka saya pun mula berfikir, berfikir perkara-perkara yang sering meminta saya fikirkan tapi tidak punya kesempatan yang sesuai. Mungkin inilah masa terbaik untuk melakukannya kerana selain berfikir dan memandu, tiada perkara penting lain lagi yang boleh saya lakukan berseorangan ketika ini. Saya enggan untuk berasa marah dengan pemandu di hadapan saya yang sedang marah kepada pemandu di hadapannya dan seterusnya lantaran kesesakan ini dirasai oleh semua orang yang sedang memandu disitu.
Sesekali guruh dilangit menyentap saya yang kekadang jauh melayang-layang agar kembali menumpukan sepenuh perhatian menikmati kesesakkan jalanraya. Hairan juga, mengapa lebuhraya ini boleh sesak luar biasa pada waktu begini? Bukannya ada perayaan yang akan berlangsung dalam tempoh dua atau tiga hari ini. Takkan pula penguatkuasa sanggup berhujan lebat untuk melakukan sekatan jalanraya. Bukannya ada penjenayah handalan baru saja meloloskan diri dari istana besi mereka baru-baru ini. Masa pun berlalu perlahan. Hiburan saya hanyalah bunyi radio yang sayup-sayup dan bunyi pengelap cermin yang bergerak pantas. Deruan enjin tenggelam dalam titik-titik keras hujan yang menimpa bumbung kenderaan yang saya pandu.
Papan tanda menunjukkan saya hampir sampai ke tol Seremban dalam jarak 500 meter mula kelihatan. Saya perhatikan jarum penanda minyak yang telah condong luarbiasa, tidak seperti kebiasaannya apabila saya memandu dari Bangi ke Seremban ataupun sebaliknya. Sabar masih subur. Saya telahpun menerima laporan radio sebelum ini sebagai alasan menyejukkan hati. Namun ia tidak bertahan lama, kurang dua jam kemudian selepas laporan trafik tersebut dikumandangkan, saya melepasi sebuah kawasan kemalangan. Sebuah lori tangki telah terjun ke dalam longkang, entah mengapa, mungkin untuk mengurangkan muatannya.
Lebih menghangatkan keadaan, kereta-kereta dihadapan saya mula memecut laju sebaik saja melepasi kawasan kemalangan yang sepatutnya langsung tidak mengganggu lalu lintas itu. Jarak dari kawasan kemalangan itu ke plaza tol destinasi saya kurang 500 meter. Kurang 500 meter? Ya, saya sudah menghabiskan perjalanan sejauh hampir 10 kilometer dalam kesesakkan jalanraya untuk mengetahui punca sebenar kesesakkan jalanraya petang itu. Puncanya bukan kemalangan tersebut, tetapi sikap pemandu Malaysia yang suka perlahan-lahan menikmati pemandangan kemalangan jalanraya dalam hujan lebat tanpa memperdulikan keperluan pemandu-pemandu lain yang perlu sampai cepat ke destinasi masing-masing dengan selamat selepas bersetuju untuk membayar kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya.
Berbalik kepada tajuk entri, apa kaitan cerita saya dengan tajuk entri ini? Apa pula nilai entri ini? Kaitannya, jelas bahawa segala yang berlaku ada harganya, bergantung kepada unit dan nilai yang kita gunakan untuk mengukurnya. Pada saya, nilai entri ini perlu dihitung dengan memasukkan segala nilai-nilai yang berkaitan. Maka, entri ini sekurang-kurangnya bernilai 10 kilometer, 10 liter petrol, 1 jam 25 minit, segunung kesabaran, sebukit rasa sakit hati, dan tol sebanyak RM4.60. Terima kasih PLUS, terima kasih pemandu-pemandu Malaysia!

Tuesday, February 24, 2009

siri berpantun dengan apon...dan..?

berlari-lari si anak kucing,
tersembam jatuh tersepak tin,
sambil memotong kuku nan runcing,
sempat jua berpantun-pantin.

lenggang-lenggok tidak berpada,
"gadis" seksi siapa yang punya,
lembutnya gaya cuba menggoda,
bersuara kasar kantoi jantannya.

bersiar-siar dilorong gelap,
jalan taib diberi nama,
bawah lampu yang makin malap,
yang muda menggatal yang tua pun sama?

sepak bola sampai ke langit,
jatuh bertepek menghempas guli,
walaupun ketiak berbau hangit,
tapi sitolol tak pernah peduli.

menduga laut tak pernah seorang,
arah dicari berpandukan bintang,
memang rupa dah macam orang,
tapi perangai serupa binatang.

menggantung baju didalam almari,
baju lama berwarna biru,
dari jauh kau datang ke mari,
mengikis duit pasangan yang baru.

senyum simpul dah dapat gaji,
terus diborong biskut meri,
kalau datang sang abang haji,
kelam kabut kau cabut lari.

sakit pun sakit takut pun takut,
disebat rotan direjam batu,
kenapalah asyik muka kau yang sangkut,
kerja kosong takkan itu yang satu?

bermain hujan memanglah rahmat,
kalau demam makanlah ubat,
ingat-ingat dunia nak kiamat,
jangan mati tak sempat bertaubat.

niat dihati nak makan ketupat,
ketupat habis digantikan bahulu,
kalau kau nak mati cepat,
cubalah goda si tok penghulu.

Friday, February 20, 2009

siri berpantun dengan Pin

mangga muda dipetik selalu,
dimakan bersama gula melaka,
izinkan saya menumpang lalu,
kisah dibuka pantun direka.

menanak nasi sehingga hangit,
nasi dibuang ditanak nan baru,
mana nak datang kerajaan langit,
kalau pegangan masih celaru?

panasnya herba bagai melebur,
pupuk dikaki mengubat bisul,
jika pegangan pun masih kabur,
jangan diimpi menjadi rasul.

ayam jantan gagah berkokok,
ayam betina mengeram telur,
cerita bohong jangan ditokok,
bohong tak sudah bersusur-galur.

buah kedondong masam rasanya,
dijeruk pun sedap dijual pun laku,
menasihat jua niatku hanya,
meluah rasa yang lama terbuku.

kelapa baling tegak di sini,
buah disabit kumpul di tepi,
kalau anda terus begini,
pasti hancur dibakar api.

pergi mengail berjoran rotan,
berumpan cacing memancing sembilang,
jangan disesatkan anak watan,
dosa ditanggung tidak terbilang.

tepak sirih adat meminang,
sirih dimakan sirih dijulang,
cerita kecil pun diingat orang,
inikan pula yang diulang-ulang.

Saturday, February 14, 2009

kudapan waktu pagi

Jam yang tidak bosan menunjukkan waktu telah 6.30 pagi. Mata mudaku telah gagal untuk memenuhi tuntutan fitrah malam sebagai manusia. Lalu terpaksa aku tunduk dan memenuhi kehendak mata yang ingin melihat dan menjadi saksi kepada detik-detik yang berlalu dengan harapan. Sesekali airmata bergenang, namun masih tidak cukup untuk memenuhi kehendak jasmani yang sudah lesu melayan jiwa yang meronta mahu menyelesaikan kecelaruan nan bersarang di hati. Hmm... Apakah yang perlu aku lakukan? Sendiri aku berfikir namun jawapan enggan hadir dalam benak pemikiran ku kali ini, tidak seperti kebiasaannya.
Lalu kotak yang memancarkan cahaya dan gambar-gambar yang bergerak menjadi pilihan terakhirku. Mungkin jiwa ini akan merasa bosan dan akan memenuhi fitrah kemanusiaanku. Namun, yang terpapar pada kotak itu bukanlah sesuatu yang membosankan, sekurang-kurangnya tidak kepada paradigma mindaku. Sebuah tayangan yang menjadi lagenda pada masa lampau dan sudahpun menghampiri akhir penceritaan menarik perhatianku. Bukanlah kerana aku adalah peminat kepada tayangan yang diberi nama "Ali Setan 2" itu, namun watakku sebagai pemikir dan pengkarya memerlukanku meneliti dan menilai cerita yang tak pernah dalam ingatanku, habis ku tontoni dari awal hingga ke akhir.
Babak pergaduhan suami isteri menjadi kudapan pagiku kali ini. Ahh..terasa ingin membodohkan penulis cerita itu lantaran babak yang dilakonkan dengan skrip yang tak logik pada norma kehidupan berlatarmasakan cerita itu. Sang suami dan isteri yang gagal mengerti tanggungjawab masing-masing berlumba-lumba menunjukkan kebebalan skrip masing-masing. Topik yang dijadikan landasan perlumbaan ialah perempuan jalang, lelaki jalang, dan segala kejalangan yang wujud disekitar mereka.
Kemudian cerita disambung lagi dengan watak sang isteri lari dan mencari watak hero cerita tersebut dengan alasan menagih keampunan. Maka bermulalah dialog-dialog berunsurkan falsafah kehidupan dan agama namun lucu sekali jika dialog itu dibandingkan dengan perilaku yang dilakonkan. Paradoks demi paradoks dihidangkan sebagai menu utama, nyaris berjaya mengundang amarah dijadikan respon kepadanya dan semakin aku ingin memaki namun tiada berguna.
Babak disingkap dan terus kepada dialog yang lebih bangang. Kasihan pula tumbuh subur di hati mengenangkan tahap pemikiran penonton-penonton lalu yang terlalu terdesak dan asyik untuk melayani keinginan bercinta dan asmara sehingga lalai untuk menilai kualiti cerita dan penceritaan. Namun, terima kasih kepada mereka juga kerana sokongan tidak berdasar itu memberi peluang kepada golongan kritikal meneruskan survival pemikiran kami. Babak si suami yang tertipu dengan kematian olok-olok isterinya lalu insaf dan mencuba segala fatwa-fatwa sesat si pengacau rumahtangga mendatangkan rasa lucu, sekali lagi kepadaku. Sebaik saja dia menyedari dirinya tertipu, lakonan amarahnya ingin membunuh kedua-dua penipu namun keputusan untuk meneruskan pembunuhan pula ditamatkan dengan alasan pendidikan tingginya menghalangnya dari meneruskan niat itu. Hahaha! Kalau pendidikan agama yang menghalangnya, mungkin lebih mudah untuk diterima. Pendidikan tinggi? Sejak bila buku rujukan statistik penakbiran mengajar kita jangan membunuh? Hahaha! Pasti faktor kurang rujukan dan sekadar menulis menurut nafsu mendorong kepada kelucuan itu berlaku.
Pengakhiran cerita lebih menunjukkan paradoks dan sifat munafik yang lebih besar, sang isteri tanpa segan silu menyatakan cinta kepada lelaki bukan suaminya melalui kata-kata dan perbuatan dan yang lebih memalukan apabila lelaki tersebut menyahut "seruan cinta suci" itu dengan kata-kata dan perbuatan yang sama. Tunggu sebentar, bukan si lelaki itukah yang menyamar menjadi ustaz dan memberikan fatwa-fatwa sesat sebentar tadi? Dan bukan si isteri orang itukah yang beria-ia mahu menjadi isteri solehah? Diangkat menjadi herokah kedua-duanya itu? Hahahaha! Memang lucu lagi melucukan!
Mungkin pengakhiran itu adalah pengakhiran yang diinginkan penonton, namun pasti tidak perlulah sehingga menafikan keperluannya untuk berdiri diatas fakta sebelum diterjemahkan kepada lakonan yang "bermutu" itu..Masalah-masalah dan perasaan yang bercampur-baur nan telah wujud sedari kegagalanku melelapkan mata telahpun berkonspirasi sehingga tertulisnya pos kali ini. Terima kasih masalah.