Wednesday, June 24, 2009

bahasa bernafas, bangsa yang lemas

Bahasa jiwa bangsa, itu kata pepatah yang sering digunakan untuk melambangkan ketinggian nilai sesuatu bahasa, yakni sehingga mampu menjadi menifestasi sesebuah bangsa. Masih, isu yang sama diputar-putarkan di dada-dada media cetak dan juga media eletronik. Apakah tiada penyelesaian kepada isu ini? Perbalahan masih terus menerus berlaku, seakan-akan tidak akan berakhir dengan suatu penyelesaian yang berkesan.

Bukan sedikit yang memberikan pandangan, bermula dari yang paling berkuasa sehinggalah insan yang paling tidak signifikan dalam negara. Masing-masing berebut peluang melontarkan idea dan pandangan yang difikirkan logik dan menguntungkan semua pihak. di segenap ruang yang mereka perolehi, dari media arus perdana sehinggalah blog-blog peribadi dan warung-warung kopi. Pandangan pakar bahasa dan pengajaran yang bertentangan seolah-olah dibuang begitu sahaja. Terus menerus juga eksperimen-demi-eksperimen dijalankan bagaikan tidak ambil kisah siapa yang bakal menjadi mangsa. Hal eksperimentasi ini bukanlah yang pertama berlaku dalam sejarah pendidikan negara, sepertimana pelajar-pelajar PPSMI bukan mangsa pertama eksperimen dasar pendidikan negara. Kita hairan, adakah mereka tidak menghargai masa depan anak-anak yang bakal mewarisi negara?

Bukan sekadar pandangan pakar-pakar, bahkan juga hasil kajian yang dijalankan oleh badan-badan dunia juga dipandang sepi. Pelbagai solekan digunakan untuk menutup kelemahan dasar ini. Bukankah ini merugikan? Mengapa harus tergesa-gesa mengejar kemajuan yang sukar dibayangkan? Bukankah realistik (berdasarkan situasi semasa) itu salah satu kriteria perancangan yang berkesan? Soalan-soalan yang berkeliaran di bibir-bibir insan yang prihatin tiada yang menjawabnya. Kasihan. Bahasa itu ternoda dengan idea yang kononnya berpandangan jauh. Kesannya, bangsalah yang menderita. Kemudian kita merasa tersinggung apabila generasi mendatang tidak mampu berkomunikasi dan berkarya dengan berkesan dalam bahasa ibunda, bagaimana hendak mereka lakukan sedemikian jika jati diri kebangsaan tiada lagi dipupuk dengan ketinggian bahasa ibunda, tetapi dengan bahasa asing? Lucu, bukan? Rasa bangga terhadap bahasa ibunda sendiri juga telah terhakis sejak mereka mengenali ilmu secara formal.

Baru-baru ini, perkembangan yang menarik telah dapat diperhatikan. Orang yang mula-mula bertanggungjawab ke atas dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) telah mengakui bahawa sememangnya lebih mudah untuk memahami konsep subjek kritikal itu dengan menggunakan bahasa ibunda. Pun begitu, beliau masih cuba menegaskan bahawa kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut dengan menyatakan bahawa terdapat istilah-istilah bahasa asing yang tidak tepat untuk diterjemahkan dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PnP). Sepanjang ingatan saya, bukan itu yang disebutkan semasa dasar ini mula-mula dijalankan. Di samping itu, jika alasan beliau dahulu menegakkan dasar ini adalah kerana kononnya disiplin ilmu-ilmu tersebut berasal dari baahsa Inggeris, bukankah sebenarnya matematik dikembangkan sejak tamadun Yunani dan diperkemaskan semasa zaman keemasan Islam menggunakan bahasa Yunani dan Arab atau Parsi masing-masing? Jika buku-buku rujukan pula yang menjadi isu, saya yakin, negara ini mempunyai badan bertanggungjawab berkaitan hal-hal penterjemahan yang masih wujud.

Apakah paradoks ini masih tidak cukup untuk para pembuat dasar semasa memberikan suatu kesimpulan dan penyelesaian unik lagi mutlak kepada isu ini? Sewajarnya kesilapan pembuat dasar yang lalu diberikan pertimbangan semula, demi kepentingan negara, bukan dibiarkan untuk menjaga ego sebagai pemerintah. Soalnya, dapatan kajian sendiri telah menolak keberkesanan dasar ini. Didapati bahawa perkembangan sekadar 2-3% sahaja diperolehi sejak dasar ini diperkenalkan. Ahli-ahli statistik terbabit, adakah tidak mahir dan sambil lewa semasa menjalankan tugas mereka? Terlalu kecil kemungkinan tersebut untuk dijadikan alasan.

Selain itu juga, saya secara peribadi melihat terdapat pembelitan isu dalam hal ini, di mana sepatutnya dasar ini diperkenal dan dijalankan untuk meningkatkan kemahiran bahasa asing (Inggeris) dalam kalangan anak-anak sekolah. Namun kini, apa yang saya lihat, seolah-olah dasar ini telah diubah tujuannya untuk memudahkan anak-anak malang tersebut mempelajari sains dan matematik dengan lebih mudah dan berkesan. Masuk akalkah tujuan ini? Negara-negara yang diakui maju dalam kedua-dua bidang tersebut didapati tidak menggunakan bahasa asing sebagai pengantar semasa mengajarkan konsep asas kepada anak-anak bangsa mereka sebaliknya menggunakan bahasa ibunda mereka yang lebih mudah difahami oleh pelajar. Mengapa tidak kita juga begitu? Terlalu sempitkah bahasa Melayu ini sehingga tidak layak menjadi bahasa ilmu? Berkurun-kurun yang lalu, bahasa Melayulah antara bahasa yang diangkat menjadi lingua franca, tetapi hari ini telah dihina oleh segelintir bangsanya sendiri.

Seperti yang pernah saya sebutkan sebelum ini, konsep asas matematik dan sains perlulah difahami dengan mendalam, dan hanya boleh dicapai dengan menggunakan bahasa ibunda sesebuah kaum. Hal ini jika tidak tercapai dari akar umbi, maka sudah pastilah akan meruntuhkan keyakinan dan minat pelajar-pelajar yang berpotensi dalam kedua-dua bidang tersebut. Mereka akan tertanya-tanya samada cita-cita mereka masih relevankah dengan pencapaian akademik yang tidak memberangsangkan mereka perolehi. Kesan sampingannya, masalah tekanan perasaan berlaku, dan mungkin juga menjerumuskan mereka kepada permasalahan lain yang lebih kronik seterusnya menjejaskan nilai mereka sebagai "modal insan".

Bercakap melalui pengalaman saya sendiri, bahasa Inggeris bukanlah satu matapelajaran yang sukar untuk difahami, cuma kekadang pengajar tidak menyatakan secara eksplisit dan terus terang objektif pengajaran mereka kepada pelajar, atau kata lainnya apakah yang akan diajar serta apakah yang perlu dipelajari. Pengajar juga semakin dibebani tugas-tugas tambahan yang sepatutnya bukan milik mereka menjadikan situasi ini semakin sukar ditangani. Mereka lebih mementingkan objektif menghabiskan sukatan pelajaran dalam masa yang dirancang berbanding untuk memastikan pelajar memahami sekurang-kurangnya 70% daripada isi pengajaran mereka. Saya sendiri mempelajari bahasa Inggeris secara kendiri dan terus menerus mempelajarinya sehingga hari ini, dan jarang mengalami masalah dalam berkomunikasi menggunakannya. Penguasaan saya dalam konsep asas bidang sains, matematik, statistik, ekonomi dan lain-lain langsung tidak signifikan kaitannya dengan bahasa Inggeris, dan saya masih mampu mempelajarinya walaupun buku-buku rujukan diberikan dalam bahasa Inggeris. Bermakna, jika konsep asas itu sudah kukuh, tiada masalah besar untuk kita mempelajari lanjutannya yang lebih mendalam.

Sebagai solusinya, saya mencadangkan supaya badan-badan yang bertanggungjawab dalam hal-hal penterjemahan supaya bekerja lebih keras untuk memberikan terjemahan tepat kepada konsep-konsep dan isitilah-istilah dari bahasa asing yang kononnya akan memberi impak negatif, seandainya hal itulah yang benar-benar menjadi isu pokok kepada permasalahan ini. Selain itu juga, rombakan sukatan pelajaran bahasa asing (Inggeris khususnya) mestilah dijalankan supaya bahasa tersebut diasah bukan sekadar di sekolah tetapi juga dalam kehidupan seharian. Jika pemerintah benar-benar tulus berhasrat mahu memperkasakan bahasa Inggeris, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sahajalah yang wajar diberikan penilaian semula, dalam kes ini, reformasi dan transformasi teknik pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting demi kejayaan dalam semua pelajaran yang diambil oleh pelajar. Saya percaya, sastera adalah medium yang paling sesuai untuk menguasai bahasa asing dengan sempurna.

Saya masih belum lupa dasar pandang ke timur yang diperkenalkan suatu masa dahulu. Namun kini dasar tersebut seolah-oleh lebih sesuai dipanggil dasar "meng-amerika-kan" negara jika bukan dasar "mem-britain-kan" negara. Ketahuilah, saya bukan menentang idea memperkukuhkan penguasaan bahasa asing, tetapi menentang idea yang menyusahkan pelajar dalam memahami konsep-konsep asas matepelajaran kritikal yang dapat mencorak dan menentukan masa depan mereka sebagai penggerak kemajuan negara suatu hari nanti. Janganlah bahasa yang ingin bernafas segar, tetapi bangsa yang terkapai-kapai kelemasan dalam arus pembangunan global.

Friday, June 19, 2009

cermin

Cermin kaca di depan mata. Kilauannya sederhana. Wajah yang terpancar membisu. Tiada suara meski bibirnya seakan bicara. Lantang atau tidak bukan jadi kehendak. Renung ke dalam cermin, mahu lihat diri, mahu kenal diri. Tanyalah sahabat di sana. Tanyakan juga pada musuh di mana. Cermin diri pada wajah mereka. Buruk pada sifat atau rupa, ada yang menilainya. Bila ada yang menghina, jangan dibalas dengan cacian. Terimalah sebagai dorongan. Cermin tak mampu memberi kesempurnaan. Sekadar mahu jadi teman, kekadang terpaksa menjadi lawan. Jangan dipedulikan. Ada yang cemburu merejamkan kata nista, ada yang memuja menghadiahi pujian mulia. Kedua-duanya sama? Kedua-duanya adalah cermin; cermin diri. Yang paling penting bukan meninggi diri, tapi jujur pada hati, cermin diri sendiri.

Thursday, June 18, 2009

malam

Jari-jari terhenti, kehilangan arah. Alam ini hampir habis diterokai. Mata yang menyala terang masih enggan tertutup. Sesekali terbit sinar membasahi, namun tak memadamkan. Detik jam memenuhi corong telinga, memohon agar diberikan pengisian sewajarnya. Bukan tak mahu, tapi tak mampu. Degup ini masih kencang. Apa yang menghanyutkan fikiran masih tiada jawapan. Rasa risau mencuri ketenangan, membelenggu akal. Fikiran tak bertumpu. Tunggu esok yang lagi satu. Ribut-ribut yang melanda sudah memakan separuh dari nyawa. Sabar, sabar, sabar, ujar fikiran. Tawakal sajalah kata hati. Kain kapas yang membalut diri terasa berat dan berbahang. Esok sudah menanti dengan seribu misteri. Sudah tiba masanya, barangkali, untuk berhenti...

Wednesday, June 17, 2009

selepas kelmarin

Semalam aku lihat ada pejuang di barisan hadapan. Berani kerana benar, gagah kerana hujah.
Hari ini aku lihat sudah bergelimpangan, ada yang gugur, ada yang bertempiaran.

Semalam aku lihat anak kecil itu tersenyum indah, seperti tiada azab yang menyelimutinya.
Hari ini aku hairan, mengapa senyuman seindah itu membawa tangisan dalam hati yang melihatnya.

Semalam aku mendengar manusia berhujah, berdegar bunyinya, bergegar hati dibuatnya.
Hari ini aku lihat tiada yang berubah, masih ada tangisan diceruk-ceruk batuan buruk tinggalan hujan dari sebelah. Mujur ada yang berani berdiri atas kata-kata sendiri, sayang, bukan dari bangsa ku sendiri.

Semalam, aku masih teringat akan barah yang memusnahkan kepercayaan, meninggalkan parut kekal lagi dalam.
Hari ini aku terkilan melihat ada yang bermain mata dengan kebinasaan. Sudah lupakah hari semalam? Aku diam, menyimpan jawapan.

Teropong mata ini mahu melihat jauh ke hujung dunia, mencari kesilapan. Harap ku agar tak terleka, jika yang membinasakan itu wujud dari dalam.

Semalam aku diberikan ujian, hujan ribut datang bertandang. Aku biarkan ia lalu tanpa rasa benci dan sakit hati.
Hari ini aku tersenyum, lihat kehidupan yang dijanakan. Aku yakin, masih ada waktu dan kesempatan untuk mengatasi segala rintangan.

Monday, June 8, 2009

bukan bukan-bukan

Terlentang, terkena tamparan. Wajah tenang jadi tercengang. Mata hitam mula buntang. Ini bukan bukan-bukan. Ini bukan satu cubaan. Ini bukan ujian penglihatan. Ini bukan bukan-bukan. Bangkit, mahu lari menyendiri. Malu diwajah bukan bukan-bukan, itu malu lagi memalukan. Tak keruan akal fikiran. Mahu lari, menjauh dari teman.Yang setia tak makan saman. Yang durjana teruja, bagai tercapai impian. Hei, jangan tambah benci. Jangan lupa langit bergantung tak bertali, tak berjejak ditongkat dengan jari. Bila-bila masa boleh jatuh menimpa diri. Ingat kawan ingat, ini bukan satu permainan, ini bukan bukan-bukan.

yang sayang...

yang berlalu sudah jadi sejarah, sudah dirakamkan
yang dirakam sudah banyak yang ditulis
yang tertulis sudah banyak diterbitkan
sayang, cuma sedikit orang yang mahu membaca dan mengambil iktibar.

yang terleka masih terlena
yang menyedari hakikat sudah berbicara
yang berbicara sudah lantang dan jelas hujah-hujahnya
sayang, cuma sedikit orang yang mahu mendengar dan memahaminya.

yang gopoh-gelojoh sudah bertenang
yang bertenang sudah merancang
yang dirancang sudah lengkap dan teliti
sayang, cuma sedikit orang yang mahu mengikutinya.

Sunday, June 7, 2009

sempurna

Apakah kesempurnaan? Tiada cacat cela itu dikatakan sempurna? Setiap waktu, manusia mengejar kesempurnaan dalam kehidupan. Ironinya, kebanyakan yang mencari kesempurnaan itu sendiri masih jauh dari sempurna. Namun mereka masih tidak silu mengangankan kesempurnaan. Sebut sahaja, apakah bidangannya, pasti ada yang sedang memburu kesempurnaan di sana. Rupa paras, sifat, cinta, harta, kuasa, kesemuanya memiliki nilai yang dikatakan sempurna. Isunya, tiada garis tertentu digunakan untuk mengukur kesempurnaan tersebut. Ada yang berpendapat, sempurna itu bermaksud jauh dari cacat dan cela. Ada pula yang berkata kesempurnaan dicapai tatkala tiada tokok tambah lagi yang diperlukan ke atas sesuatu. Tafsiran tepat kesempurnaan itu tidak keterlaluan jika saya katakan adalah sama banyaknya dengan orang yang mencari kesempurnaan tiu sendiri.

Secara peribadi, saya berpendapat kecacatan itu sebahagian dari kesempurnaan ciptaan. Sifat terlalu mengejar kesempurnaan itu sendiri adalah suatu kecacatan. Kesilapan menjadikan manusia itu benar-benar manusia.Persoalan timbul, wajarkah manusia mengejar kesempurnaan? Jawapan saya, wajar dan wajib manusia mengejar kesempurnaan, meski ia kekadang hanyalah ilusi yang tidak boleh dicapai biarpun dalam mimpi paling indah. Namun usaha untuk mengejar kesempurnaan itu tidak seharusnya disia-siakan demi mengejar kesempurnaan yang tiada ertinya meskipun tercapai. Kehidupan ini terlalu pendek untuk mengejar kesempurnaan dalam segala bidang. Maka, fikirkanlah, jika ada perkara yang ingin anda kecapi dengan sempurna, pilihlah yang benar-benar memberikan kebahagiaan. Perlu juga saya ingatkan bahawa hal terpenting dalam mencapai kesempurnaan ialah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat susah dan senang dalam kehidupan.

Saturday, June 6, 2009

memuaskan kebuasan

Makhluk yang bergelar manusia itu lemah. Serba kekurangan. Serba ketiadaan. Tiada kudrat, jauh sekali iradat. Dipinjamkan kepadanya segala nikmat dan diuji kesyukurannya dengan dugaan kehidupan. Ada yang disenangkan hidupnya hingga terleka. Ada yang disukarkan jalannya sehingga berpaling dari kebenaran yang hakiki. Dikurniakan juga kepada manusia itu makhluk paling mulia, yang diawal-awal penciptaannya sudah sedia patuh dan menyedari hakikat penciptaannya. Turut juga dilengkapkan ke dalam diri manusia itu makhluk yang paling degil sedari penghadapannya yang pertama kepada Maha Pencipta, sebagai ujian terbesar dalam diri manusia itu sendiri. Makhluk ini digelarkan nafsu. Tidak pernah rela patuh kepada sesuatu. Tidak pernah rasa cukup dengan nikmat. Jauh sekali untuk bersyukur. Derhaka adalah nama samarannya. Buas, tidak pernah puas. Godaan manisnya menjadikan penderhakaan sebagai suatu lagi nikmat yang mesti dikecapi setiap masa. Yang lemah imannya terpedaya. Ada yang sudah hebat amalannya tergoda. Kisah kebusukan sifatnya sudah diceritakan beribu tahun, namun masih ada yang enggan mengambil pengajaran. Menjadi raja dalam diri, memerintah tubuh, halus bicaranya tiada yang jelas mendengar namun masih ada yang menjadi hamba. Akal dan keadilan dihumban ke dalam istana khayalan. Mujur ada petunjuk kurniaan Tuhan, khas untuk hamba pilihanNya. Bangkitlah akal memberontak, berperang tak henti-henti, demi membebaskan diri, membersihkan hati dan jiwa, menegakkan keadilan dalam diri. Ada yang berjaya, ada yang syahid dalam perjuangannya. Begitulah manusia, begitulah kisahnya, hidup sentiasa dalam ujian, menilai ketaqwaan.

Friday, June 5, 2009

eh, dah jun ke?

salam 'alaik..

segala pujian dan syukur dimunajatkan kepada Ilahi, serta selawat dan salam untuk junjungan besar s.a.w. semoga para pembaca dalam keadaan sihat akal dan tubuh badan di samping yang tersayang, ditabahkan hati serta iman bagi menghadapi dugaan sukar dan senang dalam kehidupan marcapada yang kian mencabar.

saya sedang melihat-lihat kalendar dalam telefon sel saya sebelum saya menulis entri ini.
kehairanan, terasa sesuatu yang kekurangan, saya pun menjenguk kembali blog ini, untuk mendapatkan kembali memori yang saya bekukan dalam masa di blog ini.
lantas saya menyedari, bulan jun sudah menjelma, dan seakan menjadi rutin pula untuk saya bagi menulis perutusan bagi setiap bulan; yakni kata-kata terus dari saya untuk para pembaca yang dihormati.

kebelakangan ini saya sering dihurung kesibukan yang diluar rencana kehidupan saya, membataskan masa untuk saya menulis dan berkongsi idea dan pengalaman yang saya kira signifikan bersama pembaca sekalian. jutaan kemaafan saya pohon atas perkara ini.

sedari entri perutusan mei yang lepas, saya dapati pelbagai perkara penting berlaku di sekeliling kita, memerlukan kita untuk banyak berfikir bagi memberikan penilaian yang paling adil untuk situasi-situasi tersebut. saya tidak bercadang untuk menjadikan blog ini sebagai wadah berpolitik, namun sesekali saya kira perlu untuk saya memberikan pandangan saya berkenaan isu-isu terbabit, dan sudah pasti dengan cara saya yang tersendiri. samaada para pembaca memahami atau bersetuju dengan pandangan dan kiasan tersebut, saya serahkan keputusan tersebut kepada pembaca sekalian. jika ada sebarang respons peribadi atau pertanyaan, boleh dihantarkan kepada emel saya iaitu mindajiwamerdeka@gmail.com. InsyaAllah saya akan segera membalasnya sebaik sahaja saya membacanya.

baiklah, saya tidak mahu menulis terlalu panjang bagi entri selingan seperti ini, maka saya akhiri dengan ucapan jutaan terima kasih. semoga saya akan terus dipinjamkan kudrat dan kematangan fikiran untuk menulis di blog ini. selamat membaca.
sekian, terima kasih.

-thinkaholic-

Thursday, June 4, 2009

ramadhan al-murtabak

Baiklah, maaf. Pertamanya kerana bulan Ramadhan masih belum muncul, dan keduanya kerana terdapat kesilapan yang disengajakan dalam tajuk. Serius, bukan niat saya mencemari keindahan nama Ramadhan dengan menukarkan al-mubarak kepada al-murtabak. Saya terganggu dengan perkataan tersebut sejak beberapa jam yang lalu. Jadi, untuk memuaskan hati, saya pun menulis dengan kapasiti sebagai Muslim dan juga sebagai seorang pelajar jurusan ekonomi.

Jika kita perhatikan pada bulan Ramadhan, pelbagai keajaiban berlaku. Hal ini termasuklah Lailatulqadr. Namun yang ingin saya ketengahkan di sini adalah sikap manusia dalam menyambut dan melalui bulan yang penuh kerahmatan ini, contohnya urusan jual beli di bazar-bazar ramadhan. Majoriti pengguna, Muslim terutamanya cenderung untuk membeli murtabak, selain dari air-air minuman tahap luar biasa, ada yang tidak pernah didengari namanya seperti air katira sari, air selasih wangi dan sebagainya. Nama-nama tersebut diberi dan ditokok tambah untuk menarik minat pengunjung bazar-bazar seumpama itu. Air-air tersebut juga mengandungi pelbagai macam warna dan isian bagi menjadikan ia lebih menarik hati pengunjung. Secara peribadi, seumur hidup saya, saya hanya berpeluang menyaksikan air-air sakti penghilang dahaga tersebut di bazar-bazar Ramadhan beberapa tahun yang lalu sewaktu saya tersesat ke sana.

Mengapa perkara ini dibangkitkan menjadi suatu isu yang besar? Mudah saja. Bulan Ramadhan seharusnya menjadi bulan peperangan antara manusia dan hawa nafsu masing-masing. Hal ini termasuklah nafsu untuk makan, minum, berbelanja, dan sebagainya. Kelebihan berpuasa tidak perlulah disebutkan di sini kerana saya kira sudah terlalu banyak kajian saintifik yang dilakukan mengesahkan kelebihan berpuasa, ditambah lagi, sebagai Muslim, dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amal kebaikan yang dilakukan pada bulan ini. Namun dalam keghairahan umat Islam menyambut Ramadan ini, seringkali kita terleka kepentingan dan tujuan sebenar ibadat puasa tersebut, selain daripada manfaatnya untuk kesihatan kita, tidak lupa turut mengukuhkan pegangan akidah sebagai Muslim. Hal ini dapat diterangkan dengan contoh-contoh yang pelbagai dalam masyarakat sekeliling kita sewaktu bulan Ramadhan menjelma dan diakhiri dengan permulaan bulan Syawal atau mudah dirujuk sebagai EidulFitr.

Pelbagai jualan murah ditawarkan, pesta-pesta berlangsung pada siang dan malam hari bagi meraikan kemenangan yang tidak jelas bagi kebanyakan orang. Kemenangan ke atas apakah yang diraikan? Siapa pula yang berperang? Bila? Di mana? Bagaimana? Siapa pula yang layak meraikan kemenangan ini? Kesemua persoalan ini mengundang rasa untuk memerhati dengan lebih teliti demi menghasilkan jawapan yang dapat memuaskan hati. Jawapan beserta ulasan ringkas sempat saya muatkan dalam entri kali ini.

Bukanlah niat saya mencerca fitrah manusia yang suka kepada keraian, berhibur dan sebagainya. Namun jika dipandang dari sudut positif, kemeriahan Ramadhan yang sepatutnya disuburkan dengan amal dan kebajikan telah semakin hilang serinya lantaran tenggelam dengan pelbagai tawaran istimewa puak kapitalis yang bijak memanipulasi situasi demi keuntungan berlipat kali ganda persis banjir yang menenggelamkan daratan. Hal ini diburukkan lagi dengan pelbagai sambutan yang tidak bercirikan Islam seperti rancangan-rancangan hiburan yang bukan sahaja melalaikan, tetapi juga tidak memberikan manfaat kepada penonton. Hal ini, secara peribadi saya lihat adalah sekadar suatu menifestasi kapitalis untuk mengaut keuntungan, berselindung di sebalik nama memberikan "rehat" dan peluang "bersantai" untuk Muslim yang penat berpuasa.

Berbicara soal sambutan juga, tidak lengkap sekiranya tidak disebutkan sekali amalan Muslim selepas berakhirnya bulan penuh hikmah ini. Disiplin bangun pagi yang terbentuk sepanjang bulan Ramadhan, bersederhana dalam hal-hal seperti berbelanja, makan-minum, memperbanyakkan amalan-amalan baik seolah-olah turut berlalu pergi bersama Ramadhan yang menyinggah selama sebulan. Yang tinggal hanya sisa-sisa sahaja, yakni amalan yang diwajibkan. Apabila keadaan ini berlaku, persoalan yang perlu ditimbulkan dan difikirkan ialah, apakah sebenarnya nilai dan fungsi bulan Ramadhan ini kepada umat manusia?

Sambutan terhadap bulan Ramadhan dan pasca-Ramadhan perlulah diberi suatu nafas baru, atau sekurang-kurangnya bantuan pernafasan berdasarkan situasi yang kian menyengat ini. Tiada masalah bagi yang mampu untuk melalui bulan yang mulia ini, namun sejak akhir-akhir ini, objektif utama kewajipan berpuasa di bulan tersebut kian tenat dengan pelbagai dugaan. Kadang-kala saya lihat, di bulan Ramadhan lebih banyak orang yang tertewas berbanding bulan-bulan yang lain. Kesempatan ini saya ambil untuk mengajak pembaca di samping mengingatkan diri saya sendiri untuk menilai semula perbuatan dan amalan yang telah dilakukan, janganlah suatu hari nanti, Ramadhan al-Mubarak benar-benar menjadi Ramdhan al-Murtabak.