Saturday, January 30, 2010

jamban

AMARAN: Anda tidak digalakkan membaca satira ini sebelum makan, selepas makan, lebih-lebih lagi ketika makan. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan emosi dan fizikal yang disebabkan oleh pembacaan satira ini. Viewer discretion is highly recommended.


Dumm! Bunyi pintu dihempas kuat. Tanda ada orang yang sedang marah, atau mungkin juga sedang dalam kecepatan. Namun mengetahui bahawa pintu yang dihempas itu adalah pintu jamban, maka lebih masuk akal orang yang menghempasnya sedang dalam kecepatan, terdesak mahu mengeluarkan segala isi-isi perut yang sudah dihadam menjadi buangan dalam badan.

**

Wajah berkeriut-keriut meneran perut. Nafas ditarik dalam-dalam dan diteran. Entah apa yang dimakan sehingga begitu sekali buruk rupanya. Bermacam-macam ekspresi tergambar di wajah. Fikiran entah kemana. Yang pasti cuma ada satu yang sedang menguasai kesentengan akal itu. Mahu berak dengan cepat dan lekas rasa selesa. Crett crett crett! Bunyinya sahaja sudah memberikan watak busuk kepada perbuatan itu. Menyahtinja begitu memualkan. Namun tetap sebahagian dari sifat hidupan, ada yang masuk, tentulah ada yang keluar.

Kemudian kedengaran pula bunyi kentut yang seakan terompet, tanda sudah selesai najis-najis yang bergelut dalam ususnya diberakkan keluar. Air kencing yang kuning pekat dipancutkan. Lantas dia menarik nafas kelegaan sedalam-dalamnya sebagai mercu kelegaan dan kepuasan. Dia tersenyum sendirian. Puas! Tiada lagi rasa terdesak meluap-luap dalam dada.

Tali pam ditarik sebaik saja dia meludahkan kahak hijau yang bertakung di tekak. Pintu perlahan-lahan dibuka. Terlihatlah seorang yang gemuk, berperut boroi menapak keluar dengan wajah separa tegas. Rambut putihnya yang jarang-jarang itu menceritakan ketuaan usianya. Cermin mata tebal yang dipakai pula memberitahu betapa dia rabun untuk melihat meski dalam cahaya. Bajunya belum lagi dikemaskan, tali pinggangnya yang terlindung bawah boyotan perut boroi itu juga masih lagi belum betul-betul diketatkan.

**

Lubang jamban yang ternganga, tidak pernah tertutup itu hanya mampu menelan sahaja segala apa yang dibuangkan, diberakkan ke dalamnya. Tahi, air kencing, ludah-ludah berkahak, lampin dewasa, ahh, namakan sahaja! Bayi pun sudah ada yang dipamkan ke dalam lubang jamban yang sungguh kotor itu.

Tatkala pintu jamban ditarik dan dihempas semula, sudah boleh diagak nasib yang akan menimpa. Oh, bukan nasib, tapi kumbahan yang bakal menimpanya. Jamban bukan dicipta untuk meluahkan semula apa-apa yang disumbatkan ke dalam lubangnya. Jamban hanya dicipta untuk menerima saja, tanpa sekatan, tanpa tapisan setiap sesuatu yang disumbatkan kedalam lubangnya. Dengan sekali pam, dan semuanya akan kembali seperti biasa sehinggalah ada watak lain yang melakukan kumbahan di tempat yang sama.

 Jamban takkan sesekali mengeluh biar sebusuk manapun tahi yang diberakkan ke permukaan licin  seramiknya. Biar sehijau manapun kahak-kahak berlendir yang diludahkan kelubang tekaknya. Biar sekuning apa pun kencing yang disiram kepadanya. Jamban akan berdiam dan telan sahaja. Itu sifat jamban yang diinginkan manusia. Kasihan, jika ada manusia yang fikiran dan sifatnya seperti jamban. Celaka, jika ada manusia yang inginkan insan berakal yang lain menjadi seperti jamban!




Nota: Sila muntah di tempat lain. Terima kasih.

2 comments:

It may take me hours, days or even months, but I WILL reply to your comment(s). Godwilling.