Saturday, May 9, 2009

singkat dan senteng

Baru-baru ini saya menerima e-mel dari seorang rakan saya. E-mel itu bagaimanapun bukanlah beliau sendiri yang menulisnya, tetapi sekadar meneruskan rantaian e-mel yang telah bermula entah bila dan dari siapa. Emel itu juga bukanlah yang pertama saya terima seumpamanya. Saya gagal untuk menyalahkan beliau kerana menghantar e-mel tersebut. Kata-kata di penghujung e-mel tersebut tidak memberikan beliau sebarang pilihan secara implisit, yakni pilihan untuk tidak meneruskan rantaian penyebaran e-mel itu kepada rakan-rakannya yang lain, termasuklah saya. Maka saya cuba untuk memahami situasinya. Baiklah, cukup untuk pendahuluan.

Kandungan e-mel tersebut saya tidak perlulah saya petik di sini, kerana saya mengandaikan hampir semua orang turut pernah menerima emel-emel yang hampir serupa makna dan tujuannya. Isu yang dibawa emel ini bagaimanapun terlalu lemah pada saya. Mengapa perlu kita bimbang dengan penggunaan singkatan perkataan yang membawa maksud kurang baik dalam bahasa lain? Hal ini menghairankan, lebih-lebih lagi apabila singkatan itu digunakan untuk berkomunikasi dengan orang yang rata-ratanya menggunakan bahasa ibunda yang sama. Jika dilihat semula kepada asas-asas komunikasi, elemen yang penting dan perlu ada ialah penghantar mesej, medium penghantaran dan penerima mesej. Proses pengekodan berlaku bagi penghantar mesej sebelum melalui medium penghantaran. Penerima mesej pula perlu menyahkod mesej tersebut untuk difahami. Sebagai sampingan, terdapat gangguan yang kekadang berlaku yang sering diistilahkan sebagai gangguan semantik. Gangguan yang boleh menyebabkan salah tafsir kepada mesej yang hendak disampaikan ini bagaimanapun boleh diatasi dengan bertanyakan soalan semula kepada penghantar mesej untuk mendapat kepastian maksud mesej. Komunikasi dianggap berkesan apabila kedua-dua pihak memahami mesej yang dihantar dan diterima tersebut. Proses ini mudah, walaupun diterjemahkan dalam bahasa yang mandul. Buktinya, anda boleh memahami proses yang saya ceritakan.

Selain itu, tiada asas yang kukuh untuk menyokong hujah dan tuduhan mereka mengatakan sedemikian, yakni berkaitan maksud yang kurang baik tersebut. Tidak salah sekiranya mereka menyatakan atau menyertakan sumber-sumber seperti kamus bahasa Ibrani yang sering menjadi mangsa tuduhan ini. Memang betul, bangsa Israel tidak lekang dari dendam mereka terhadap umat Islam, namun hal ini tidak menghalalkan tuduhan-tuduhan palsu dibuat untuk memburuk-burukkan mereka. Jika tidak, apakah bezanya umat Islam dengan bangsa Yahudi yang sering bohong dan mungkir dalam kata dan janji-janji mereka kepada Tuhan, apatahlagi sesama manusia. Untuk rekod, dalam emel tersebut, "akum" dikatakan adalah akronim untuk "Avde Kokhavim U Mazzalot", bermaksud "hamba-hamba binatang dan orang-orang sesat" yakni gelaran bangsa Yahudi kepada bangsa-bangsa selain mereka. Petikan ini adalah salah satu contoh daripada berpuluh-puluh lagi perkataan lain yang saya terima. Ironinya, orang yang mula-mula menggunakan singkatan "akum" untuk "assalamualaikum" bukanlah dari bangsa Yahudi. Singkatan ini telah diintegrasikan menjadi frasa Ibrani yang saya sebutkan di atas dan secara kebetulan digunakan oleh umat Islam semasa memberi salam. Pendapat saya secara peribadi adalah, singkatan ini tidaklah menjadi masalah asalkan niat kita adalah untuk mendoakan kesejahteraan sesama Muslim, bukan untuk menyumpah.

Perkara yang saya pandang serius selain daripada tuduhan-tuduhan tersebut ialah frasa-frasa yang digunakan oleh pengirim emel untuk memastikan emel mereka tersebar luas, terutamanya dalam kalangan umat Islam. Berbekalkan kata-kata "sayang Islam", "selamatkan saudara-saudara se-Islam kita" dan sebagainya, ugutan dibuat secara halus sehingga menggambarkan orang yang tidak menyebarkan emel tersebut akan ditimpa bencana, dan yang paling teruk, seolah-olah kecintaan mereka terhadap agama Islam dipersoalkan tanpa sebarang asas yang kukuh dimana penghantaran emel menjadi kayu pengukur kepada tahap iman penghantar (penerima ). Namun, masih ramai yang tidak cakna kepada isu ini. Seharusnya Mukmin tidak terpengaruh dengan marcapada yang penuh tipu daya dan menimbulkan fitnah ini.

Sebagai penutup, perlu saya tegaskan, penggunaan singkatan tulisan yang sedia telah merosakkan keindahan bahasa mestilah dinilai semula. Akal yang telah dianugerahkan pula mestilah dimanfaatkan sebaiknya bagi mengelakkan Muslim digelar umat yang berakal senteng kerana perkara-perkara yang dianggap remeh ini. Sesungguhnya umat Islam itu adalah umat yang terbaik di atas muka bumi ini.

4 comments:

  1. ye betul..stuju2..ak sgt x ske ngan mesej2 berantai cm2..tah ape2..sgtla x lojik..n kalo pk btol2, leh menyebabkan syirik..sbb percaye kt bende2 karut..jd..yg mne lbih mendatangkan dosa..bace mesej berantai tanpa berbuat ape2, atau sebarkan dan berpotensi jd syirik, juga leh mendorong orang laen jd syirik bersama..???
    lu pk la sndr.....huhu..

    ReplyDelete
  2. point yg bagus. lagipun, kalau semua singkatan atau istilah bahasa melayu contohnya boleh diintegrasikan menjadi maksud yg tak elok dlm bahasa yg lain, jadi apakah bahasa yg paling sesuai dan mantap dlm ertikata tidak boleh diselewengkan? lgpun, bukan ke manusia ni mmg diciptakan utk berbeza bangsa dan bahasa. isu kat sini adalah tafsiran yang pelbagai dari orang yg berbeza. kalau dah native language pun tak boleh digunakan, kena pakai bahasa apa pula kalau begitu?

    ReplyDelete
  3. btol3..pokok pangkalnye niat memasing..kalo dh niat tu mmg ke arah yg jhat, mmgla berdosa..n satu lg..setiap perkataan kn ade byk mksud..bergantung pada ayat la nk mentafsir mksudnye..btol atau x?x cye bkak kmus..

    ReplyDelete
  4. setuju. klu kt ku, lagi baik tulis 'akum' utk mendoakan kesejahteraan orang daripada 'kem salam maut' yang mmg terang2 tak mendoakan kebaikan org yg ditujukan.

    ini la jdnye bila tafsiran dibuat tak guna lunas2 ilmu yang betul. ikut sedap tekak je.

    ReplyDelete

It may take me hours, days or even months, but I WILL reply to your comment(s). Godwilling.