Saturday, January 30, 2010

jamban

AMARAN: Anda tidak digalakkan membaca satira ini sebelum makan, selepas makan, lebih-lebih lagi ketika makan. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan emosi dan fizikal yang disebabkan oleh pembacaan satira ini. Viewer discretion is highly recommended.


Dumm! Bunyi pintu dihempas kuat. Tanda ada orang yang sedang marah, atau mungkin juga sedang dalam kecepatan. Namun mengetahui bahawa pintu yang dihempas itu adalah pintu jamban, maka lebih masuk akal orang yang menghempasnya sedang dalam kecepatan, terdesak mahu mengeluarkan segala isi-isi perut yang sudah dihadam menjadi buangan dalam badan.

**

Wajah berkeriut-keriut meneran perut. Nafas ditarik dalam-dalam dan diteran. Entah apa yang dimakan sehingga begitu sekali buruk rupanya. Bermacam-macam ekspresi tergambar di wajah. Fikiran entah kemana. Yang pasti cuma ada satu yang sedang menguasai kesentengan akal itu. Mahu berak dengan cepat dan lekas rasa selesa. Crett crett crett! Bunyinya sahaja sudah memberikan watak busuk kepada perbuatan itu. Menyahtinja begitu memualkan. Namun tetap sebahagian dari sifat hidupan, ada yang masuk, tentulah ada yang keluar.

Kemudian kedengaran pula bunyi kentut yang seakan terompet, tanda sudah selesai najis-najis yang bergelut dalam ususnya diberakkan keluar. Air kencing yang kuning pekat dipancutkan. Lantas dia menarik nafas kelegaan sedalam-dalamnya sebagai mercu kelegaan dan kepuasan. Dia tersenyum sendirian. Puas! Tiada lagi rasa terdesak meluap-luap dalam dada.

Tali pam ditarik sebaik saja dia meludahkan kahak hijau yang bertakung di tekak. Pintu perlahan-lahan dibuka. Terlihatlah seorang yang gemuk, berperut boroi menapak keluar dengan wajah separa tegas. Rambut putihnya yang jarang-jarang itu menceritakan ketuaan usianya. Cermin mata tebal yang dipakai pula memberitahu betapa dia rabun untuk melihat meski dalam cahaya. Bajunya belum lagi dikemaskan, tali pinggangnya yang terlindung bawah boyotan perut boroi itu juga masih lagi belum betul-betul diketatkan.

**

Lubang jamban yang ternganga, tidak pernah tertutup itu hanya mampu menelan sahaja segala apa yang dibuangkan, diberakkan ke dalamnya. Tahi, air kencing, ludah-ludah berkahak, lampin dewasa, ahh, namakan sahaja! Bayi pun sudah ada yang dipamkan ke dalam lubang jamban yang sungguh kotor itu.

Tatkala pintu jamban ditarik dan dihempas semula, sudah boleh diagak nasib yang akan menimpa. Oh, bukan nasib, tapi kumbahan yang bakal menimpanya. Jamban bukan dicipta untuk meluahkan semula apa-apa yang disumbatkan ke dalam lubangnya. Jamban hanya dicipta untuk menerima saja, tanpa sekatan, tanpa tapisan setiap sesuatu yang disumbatkan kedalam lubangnya. Dengan sekali pam, dan semuanya akan kembali seperti biasa sehinggalah ada watak lain yang melakukan kumbahan di tempat yang sama.

 Jamban takkan sesekali mengeluh biar sebusuk manapun tahi yang diberakkan ke permukaan licin  seramiknya. Biar sehijau manapun kahak-kahak berlendir yang diludahkan kelubang tekaknya. Biar sekuning apa pun kencing yang disiram kepadanya. Jamban akan berdiam dan telan sahaja. Itu sifat jamban yang diinginkan manusia. Kasihan, jika ada manusia yang fikiran dan sifatnya seperti jamban. Celaka, jika ada manusia yang inginkan insan berakal yang lain menjadi seperti jamban!




Nota: Sila muntah di tempat lain. Terima kasih.

Sunday, January 24, 2010

belasungkawa

Apa yang lebih baik untuk diberikan selain takziah, keampunan dan doa,

dan apa pula yang lebih baik untuk diambil selain iktibar manusia semuanya fana?

al-fatihah.

Friday, January 22, 2010

cemerkap

debu masih berterbangan mengaburi pandangan
bom-bom masih gugur laksana titisan hujan
dalam kacau bilau tanpa keamanan
masih ada yang tidak mengendahkan
lantaran hanyut dibuai cinta dan angan-angan

habuk yang menyesakkan
tiada penghujung, tiada berkurangan
tembakan meletus dari mesingan
bertalu-talu tanpa belas kasihan
celaka, masih ada yang mengisytiharkan aman!

ribuan jiwa sudah terkorban
ada yang sia-sia, ada yang kerana perjuangan
peluru dan bom tidak mengenal dosa silam
tauke, kuli, hamba abdi semuanya sama
jadi mangsa peperangan
semuanya sama jadi korban
jahanamlah dengan manusia yang hanya tamakkan habuan!

jalan-jalan masih sunyi dari bunyi-bunyian
hiruk pikuk pasar dan kanak-kanak yang keriangan
yang tinggal hanya kengerian dan ketakutan
terlalu buruk untuk dijadikan kenangan
terlalu pahit untuk ditelan keberlaluan zaman
terlalu berdarah untuk begitu saja dilupakan

tangis ibu dan saudara sudah mengganti nyanyian penghibur
talkin dibaca hingga larut dalam lidah si pengubur
syuhada itu masih ada yang belum berkubur
syuhada itu masih ada yang dagingnya belum hancur
tinggalan perang kini jadi tempat berlibur
juga kubu mujahidin sebelum menggempur.

Friday, January 15, 2010

baju

dahulu kau hanya mampu bermimpi
seakan memahami apa isi hatinya
jauh-jauh kau memimpikan kepastian
jawapan tepat menjelma di depan mata

setiap bicaranya yang kau percaya,
yang kau kesalkan kasar bahasanya
kembali menuntut makna yang baru darimu;
jernih dari kabur khilaf pandangmu

hakikat disebalik zirah
yang tersarung sejak memilikimu,
tegap dia berdiri untuk melindungimu
sayanglah andai saat kau jawab semuanya,
sudah kontang telaga kasihnya padamu
tiada lagi sisa untuk kau timba

sudah dia bukakan baju keegoannya
agar kau dapat melihat terus kedalam hatinya
betapa dia sayang, betapa dia terasa hilang
bila kau jauh dari matanya

kawan, jangan kau tusuk tubuh tua itu
dengan belati kejam lagi menyiksa
kerana sakitnya tidak seberapa
namun kecewanya dahsyat tak tercerita

Sunday, January 10, 2010

mak bidan cool

"Nate gapo cool-cool oghe dok sebok-sebok ghoyak lo ni?" tanya Mak Bidan kepada anak muda di depannya dengan loghat pantai timur yang dibuat-buat.

"Ontah. Kalau dalam kamus, dio kato maksud eh sojuk," balas anak muda itu bersahaja sambil cuba mencongak-congak, bidan di depannya ini memang tiada jati diri atau sengaja berkelakuan sarkastik. Orang Minang jenis apa tiba-tiba cakap loghat lain?

"Mu ngaji sapai unibesti tu takke dok tahu?" tanya bidan itu lagi, tanda tak puas hati dengan jawapan yang diterimanya.

"Sobab itu la den tak tahu. Kalau den ni main follow yo, tak fikir sikit pun bilo orang kato gitu gini, sumo bondo den kato cool. Termasukla mak bidan punyo cakap klate tak menjadi tadi tu," Sinis saja nadanya.

"Abih tu, yang orang dok cool ke hulu, cool ke hilir tu apo jadah eh tu?" tanyo mak bidan. Ceh, narrator pun dah terpengaruh cakap nogori pulak. Anggap je tersasul ye.

"Tak dapek den nak bagitau apo hal eh do. Yang den tau, hidup ni borpaksikan Quran dan sunnah. Kalau cool tapi iman takdo, buang maso yo. Kalau idup ni stakat kek dunio, takpo gak," Jawapan ala-ala ustaz rancangan Mari Mengaji diberikan.

"Dah tu camno nak jadi cool? Mak bidan ni boleh jadi cool tak?" Tanya Mak Bidan dengan penuh harapan terpancar dari kerepot wajahnya. Giginya yang merah akibat tabiat menyentil tembakau itu turut terpampang dengan senyuman kurang "pagar" itu.

"Mak Bidan pun nak jadi cool?" Tanya anak muda itu. Mak Bidan mengangguk.

"Kalau camtu, Mak Bidan konolah tukar fesyen. Pakai seluar jeans, baju ketat-ketat sikit, poei gig, layan band-band indie, lopeh tu masuk aliran Karl Mark. Hah, kono jugak tampal gamba Che Guevara dalam bilik. Baru orang kato Mak Bidan cool!" Jelas anak muda dengan sungguh-sungguh lagi panjang lebar.

"Hah? gig? Kalmak? Che apo?" Mak Bidan kehairanan.

"Itulah Mak Bidan, dah tuo-tuo tu bawak-bawak la betobat, buek gayo orang tuo. Den cito panjang-panjang kang pun bukan Mak Bidan paham. Dah, jiran den tu dari tadi tunggu Mak Bidan kek rumah tu. Bilo laei nak poei eh ni?"

"Yolah yolah. Den nak jadi cool pun tak buleh. Copek la. Den dah siap ni!"

Dan mereka pun pergi ke destinasi yang sepatutnya menunggang motorsikal kapchai milik anak muda itu. Macam minah rempit pun ada Mak Bidan tu kalau dipandang dari belakang.

Monday, January 4, 2010

mimpi semalam

andai aku masih teringat mimpi semalam,
pasti aku ceritakan, sepatah demi sepatah perkataan
aku pilih biar tepat makna dan susunan
buat memenuhi ruang kata ini.

andai aku dapat rakamkan mimpi semalam,
pasti aku siarkan, jelas, warna dan tutur bicara setiapnya
buat memenuhi ruang hitam ini

andai ada dijual mimpi semalam,
pasti aku yang pertama membeli
aku susun dalam kotak ingatan,
kekal ia selagi rohku dalam badan

walaupun sayang mimpi semalam kenanganku hilang,
mujur masih ada sisa yang ditinggalkan
perasaan selesa lagi menyenangkan
jauh dari kelam-kabut dunia dan fikiran.

buat aku terfikir, adakah dunia seronok yang dicari orang
adalah dunia tanpa kekangan dan kawalan?
pfftt! fitrah manusia pasti akan melawan, mahu menawan!
patutlah mimpi itu hanya semalam.

andai aku diberi pilihan,
aku rela bermimpi seperti semalam
dalam setiap tidurku, lena
dalam jagaku, ilham.







nota: sepatutnya masukan lain yang diposkan, tapi...  siapa yang perlukan alasan?