Friday, January 23, 2009

Kacamata yang senget

Kacamata yang senget jika dipandang dari sudut terjemahan secara literalnya pasti telalu mudah difahami, frasa "kacamata yang senget" itu sendiri sudahpun membawa erti bahawa kedudukan bingkai kacamata itu tidak berbentuk simetri, begitulah sekiranya frasa ini difahami dari aspek fizikalnya. Namun, itu bukanlah isu yang ingin saya bawakan disini. Saya ingin mengajak saudara-saudari pembaca untuk melihat frasa tersebut dari satu paradigma yang lain dan berbeza.
Baru-baru ini, saya berkesempatan berbual dengan beberapa orang rakan yang saya kenali di ruangan maya tentang beberapa hal. Kami bertukar-tukar pandangan dan sudah pasti tidak semua orang mempunyai pandangan yang sama ataupun sering sependapat dalam beberapa hal. Kami berbual sehingga menyentuh isu yang agak sensitif bagi beberapa orang. Saya yang lebih suka menyuarakan pendapat secara terbuka akhirnya secara tidak sengaja telah menyinggung salah seorang daripada rakan saya itu. Kami berbeza pendapat kerana kami melihat perkara yang sama tetapi dari perspektif yang berbeza. Sudah pasti, dalam menentukan kebenaran sesuatu perkara itu perlulah ada kayu pengukur ataupun garisan yang membezakan antara yang benar dengan yang batil. Garisan ghaib itu telah kami persetujui menjadi penetu kepada kebenaran yang kami cari secara kolektif. Setelah kami berbincang semula, akhirnya beliau mengalah dan bersetuju dengan pandangan saya berhubung isu yang kami perdebatkan secara matang dan terbuka.
Kami juga sempat membuat bedah-siasat yang ringkas mengapa pandangan kami berbeza pada awalnya. Perbincangan berlaku sekali lagi namun kali ini dengan lebih bersahaja dan sekadar bersantai lantaran saya enggan keterbukaan pemikiran dan perbincangan kami sebelum itu menjadi episod terakhir kami. Telah kami persetujui bahawa sumber pengetahuan dan "jumlah" pengetahuan yang berbeza merupakan faktor penyumbang yang terbesar kepada pertelingkahan pendapat yang berlaku beberapa minit sebelum itu. Pengetahuan yang berbeza itu sekali gus menyebabkan kami memandang perkara yang sama dari cara dan sudut yang berbeza.
Selepas berakhirnya perbualan yang mengambil masa hampir sejam itu, saya duduk sendirian dan cuba untuk mengingati kembali isi kandungan perbualan kami untuk mencari sesuatu yang boleh dimanafaatkan bersama. Pada pemikiran saya sekurang-kurangnya sebelum itu saya tidak membazirkan masa yang terhad dalam hidup ini dengan sesuatu yang sia-sia dan mungkin akan saya kesali kelak.
Metaforanya, saya membayangkan diri saya dan rakan alam maya saya itu menyaksikan suatu panorama yang sama, dan masing-masing memakai kacamata berjenama Ray Ban. Namun beliau gagal menikmati panorama itu seindah pandangan saya kerana penglihatannya terhalang oleh kacamatanya sendiri. Hal ini kerana sementara saya memakai Ray Ban yang berkualiti tinggi dan asli, beliau hanya memakai kacamata Ray Ban tiruan yang diperolehi di pasar-pasar malam sahaja atau lebih tepat lagi, kacamata yang senget.

No comments:

Post a Comment

It may take me hours, days or even months, but I WILL reply to your comment(s). Godwilling.