Monday, January 12, 2009

bukan saya

Beberapa jam yang lepas saya yang di bawah pengaruh minda separa sedar telah dikejutkan dengan berita kehilangan seorang gadis bawah umur yang keluar mencari kebebasan belum miliknya bersama rakan-rakannya yang masih belum mengenali wajah sebenar dunia fana ini. Terpanggil dengan kehilangan tersebut, saya bersama beberapa teman yang lain keluar ke jalan-jalan raya yang kosong dengan satu matlamat, mencari gadis tersebut. Ya, memang saya yang keluar mencari gadis yang tiada kaitan dalam salasilah keluarga saya itu. Dan saya dalam misi membantu ibubapanya yang tidak mengenali saya. Kami pun menuju ke tempat-tempat yang kami jangkakan sering dikunjungi oleh golongan yang berfikiran pada keadaan seorang gadis bawah umur yang mencari kebebasan sekali lagi, belum miliknya.

Berbelas-belas SMS dihantar dan diterima, ada yang menyatakan kemarahan, ada yang menyatakan rasa ingintahu dan mahukan penjelasan tentang situasi yang sedang berlaku sedangkan kami sendiri masih kurang petunjuk untuk pengembaraan kami, jauh sekali untuk diminumkan kepada yang dahagakan penjelasan. Namun kami masih cuba untuk memuaskan kedua-dua kemahuan tersebut dengan kata-kata manis dan harapan. Kami seperti optimis dan yakin untuk menyelesaikan hal kehilangan ini.

Seperti pelakon-pelakon Hollywood, kami menemukan gadis itu selepas melakonkan satu babak drama yang berjaya memperdayakan kepercayaan gadis itu untuk bertemu dengan kami. Bukan satu tugas yang sukar untuk membawanya pulang ke pangkuan ibubapanya yang sedang mempertimbangkan pelbagai tindakan susulan samaada dia dijumpai atau tidak selepas kami menemuinya. Gelas-gelas berisi air serta makanan yang dipesan mula memenuhi meja yang kami pilih. Skrip-skrip spontan mula dilafazkan oleh pelakon-pelakon yang belum membuat ujibakat di mana-mana studio lakonan. Bahasa lain menjadi penghubung kepada pelakon-pelakon untuk berinteraksi antara satu sama lain. Topik-topik yang dianggap relevan mula dibincangkan sambil sekali-sekala diselingi oleh gelak tawa dan kata-kata sindiran yang cukup tajam kepada yang memahami tetapi tidak bermakna untuk yang bebal atau kebal dari sindiran. Ayam yang entah dari mana berkokok, seperti mengumumkan keputusan yang telah dicapai. kami akan membawa gadis itu pulang ke rumahnya selepas menyelesaikan bil kami yang terlekat di kaunter kedai tersebut.

Setibanya saya ke rumah ibubapa gadis kurang berpedoman tersebut, minda saya yang masih dalam keadaan separa sedar seolah-olah menyaksikan betapa kemarahan tanpa sebab bapanya kepada saya mendorong beliau memberikan sebuah ciuman yang pasti meninggalkan bekas merah atau biru kundang ke muka saya. Segalanya berlaku dengan begitu pantas, memerlukan satu tindakan yang dapat menghentikan masa, atau memadamkan api kemarahan yang terang menyala diwajah kasih seorang bapa. Mungkinkah niat baik untuk membantu orang yang tidak mengenali ini berakhir dengan permulaan kepada satu episod epilog sebuah dendam? Kemungkinan ini terlalu panjang untuk difikirkan dalam waktu yang terlalu singkat. Namun dengan segala ketenangan yang ada dimuka bumi ini, saya lantas berkata "Bukan saya...!". Mujurlah lelaki separuh umur itu masih mampu untuk menilai ayat yang terpacul secara spontan tanpa ada sebarang kegoyahan dalam menyatakan kebenaran. Selamatlah sebuah wajah dari menerima satu ciuman keras tangan yang sedang keliru untuk marah atau gembira dengan kepulangan anaknya itu. Saya menyahut permohonan maaf sang ayah itu dengan perasaan yang memahami situasi beliau, ataupun tidak tetapi sekurang-kurangnya begitulah yang saya seorang rasakan.

Kami dijemput masuk ke dalam rumah. Saya masih ragu-ragu dengan keperluan kami untuk berada disitu selepas berjaya dalam misi bidan terjun kami sebentar tadi. Anak yang masih belum mengerti kejahatan malam itu dipanah dengan pelbagai kata-kata yang menyedarkan dan secara tidak langsung mencuri perhatian kami yang sedang menunggu untuk mengorak langkah menuju pulang ke tempat asal kami datang. Kami yang kadang kala terkejut dengan "panahan" seorang ibu hanya sekadar mampu terkejut. Bukan kami terlalu degil untuk memahami nilai moral yang cuba disampaikan namun genetik kelelakian kami yang menolak bulat-bulat segala kata-kata itu dengan alasan kami adalah lelaki. Alasan yang cukup mudah, tetapi tidak akan dapat disanggah.

Setelah meneguk minuman yang jarang kami dapati di kedai-kedai yang sering kami kunjungi, kami secara kolektif mengambil keputusan untuk pulang dan kembali melayari alam separa sedar, ditempat asal kami. Sekembalinya kami ke rumah, kami disambut mesra oleh seorang rakan yang terpaksa kami tinggalkan sebelum menjalankan misi menyelamat sebentar tadi. Beliau yang girang dengan kepulangan kami menghadiahkan kami satu lagi pengembaraan menembusi alam fantasi dalam realiti. Sekian.

2 comments:

  1. pablo.. rearange ur text. make it 'justify'

    ReplyDelete
  2. i tried..but seems like i don't have that tune of the night anymore. dunno why.

    ReplyDelete

It may take me hours, days or even months, but I WILL reply to your comment(s). Godwilling.