Thursday, November 4, 2010

angin dari selatan

Tiupkan ke dalam sukmaku jiwa yang baru. Jiwa yang lebih suci. Biar penuh setiap inci darah yang mengalir ini dengan kesempurnaanmu. Duhai angin dari selatan, hembuskan kewajah suramku kegembiraan dalam sebuah perjalanan yang sudah lama aku mulakan. Aku mahu sentiasa bernafas dalam kasih yang terkandung dalam setiap juzuk tiupanmu. Aku berjalan, sendiri jika engkau meminggir dariku. Aku berjalan, sepi tanpa engkau membisikkan irama merdu ke corong telingaku. Dan terus aku berjalan menuju kepadamu, yang sebenarnya wujud di depanku, tanpa aku mampu melihat zahirmu. Duhai angin dari selatan, terbangkan jauh dariku rasa lelah yang mengorek empangan lesu. Tumbangkan setiap yang menjadi penghalang kembara kepadamu. Betapa aku ingin mendakap dirimu yang ku yakin akan suatu hari menjelma di depan mataku.

Wednesday, September 8, 2010

Eid Mubarak


Assalamualaikum.

Dengan nama Allah, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar, Muhammad Rasulullah.

"Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." [Luqmaan: 30]

Adapun bulan Ramadhan kian berada di penghujungnya. Mudah-mudahan segala amalan baik kita diterima Allah, dan segala dosa kita-kecil ataupun besar diampunkanNya di bulan yang mulia ini. Ameen, inschaAllah.

Maaf kepada pengunjung yang singgah ke laman ini dan hampa. Al-maklumlah, laman ini sengaja tidak dikemaskinikan untuk suatu ketika yang agak panjang. Tiada masukan bersempena ulangtahun pengisytiharan kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos yang lepas ataupun peristiwa-peristiwa penting seumpamanya, begitu juga tiada pantun-pantun bersempena bulan Ramadhan seperti yang ditulis pada tahun lepas. Maaf atas segalanya. Tujuan masukan kali ini ditulis pun hanyalah untuk mengekalkan otak empunya blog terus bergerak sementara menanti subuh.

Isu-isu semasa semakin lama semakin hangat, tetapi adakalanya juga membosankan. Dogma-dogma dan pendoktrinan terus berleluasa di media-media hari marcapada. Walaupun sekali-sekala saya berasa terpanggil untuk menitiskan pandangan dalam laman ini, namun atas sebab-sebab tertentu terpaksa saya lupakan sahaja hasrat tersebut. Mudah-mudahan selepas ini prestasi mengemaskinikan laman ini akan meningkat dari sudut pengisuan, pengisian dan kualitinya, inschaAllah.

Bersempena dengan Eidulfitr yang bakal menjelma tidak berapa jam lagi, saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk mengucapkan eid mubarak kepada semua muslimin dan muslimat, serta selamat bercuti kepada semua pengunjung amnya. Mudah-mudahan kita semua beringat-ingat bahawa umur manusia ini dirahsiakan jumlahnya supaya kita sentiasa bersedia menghadapi saat-saat pengadilan kelak.

Sekadar ini sahajalah untuk kali ini, inschaAllah kita akan bersua lagi di lain waktu. Eid Mubarak.

Wassalam.

Sunday, August 15, 2010

tumpul

Sesudah langit berhenti menangisi bumi.Sesudah sinar mentari muncul lagi. Sesudah cinta menangisi mati. Masih hati terus menangisi diri. Jauh sudah kaki melangkah. Luas sudah tangan menakluki. Dalam sudah lautan hati di redah. Belantara memenuhi segenap fikrah. Akal yang kian tumpul perlu diasah biar tajam kembali. Nafas ringkas bergetar memandang hari esok yang tidak pasti. Mata bergenang memandang semalam yang sudah pergi. Masih banyak yang perlu disesali dan ditebusi. Masih bergunung persoalan yang perlu di jawab sebelum pergi. Apa mungkin tempat singgahan nanti gelap dan bersendiri, atau bercahaya segemilang sinar pelangi. Waktu yang diharapkan berhenti dan berputar kembali, terus pergi berlari tanpa seakan peduli. Manusia bijak meminta peluang sekali lagi. Manusia jua yang mensia-siakan nyawa yang diberi. Beristighfarlah aku kepada Ilahi.

Thursday, July 29, 2010

petapa

Pohon-pohon rendang ada musimnya akan menggugurkan dedaun. Lesu angin menerbangkan guguran itu ke lantai bumi. Ada musimnya sungai-sungai yang mengalir deras akan berhenti. Boleh jadi beku, boleh jadi kontang dihirup kepanasan. Ada musimnya matahari yang terik menyinar akan sembunyi dibalik gelap awan yang melitupi biru langit tinggi. Hujan pun turun jadi pengganti  unsur yang menghidupkan bumi. Ada musimnya, beruang perang yang tangkas berlari memburu fitrah akan tidur tapa, hidup sendiri. Dan sudah tiba waktunya untuk aku sendiri menyahut seruan akal dan hati untuk bertapa muhasabah diri.

Thursday, July 15, 2010

hidup

Waktu lalu pergi bagai hujan bertitik-titik. Masih ada kesan yang ditinggalkan. Ada teladan, ada sempadan. Hidup ini bukan sekadar mencari penghidupan. Tanpa iman, goyahlah segala pegangan, termungkirlah segala perjanjian. Dalam renungan yang paling dalam, jelas nampak keinsafan dicelah-celah keindahan ciptaan Tuhan. Demi Yang Menciptakan Langit dan Merentang Lautan Kekuasaan, tidak disia-siakan segala ciptaan dan kehidupan akal melainkan bersamanya disisipkan tanda Kekuasaan- hanya syurga bagi orang-orang yang beriman.