aku teringat
ketika masih muda
jari-jari rancak berdansa
atas papan kekunci yang tidak bernyawa
menulis bait-bait yang hampir sama
alam, cinta dan kecewa jadi tema
sungguh, tiada dusta
tiap kata dipilih biar bermakna
aku teringat
suatu hari aku berdoa
ketika itu aku masih muda
aku menadah tangan terbuka
harapan ku
biarlah puisi ku mempunyai jiwa
biarlah puisi ku mempunyai nada
agar terubat hati yang luka
seperti lagu dan irama
aku masih teringat
dikala muda aku berdoa
janganlah sesekali aku lupa
bahawa hidup ini hanya sementara
biarpun semegah mana singgahsana yang ku bina
aku teringat
dikala muda aku berdoa
janganlah sesekali aku terlupa
biarlah sebanyak mana harta yang aku punya
tetap ada hak orang lain dalam setiapnya
aku teringat
dikala muda aku berdoa
janganlah suatu hari bila usia dijemput tua
aku lupa doa-doaku
doa-doa orang muda yang sedang menginsafi dirinya.