Tuesday, May 25, 2010

romantika hujan petang

Hujan lebat memangkah langkah. Hendak diredah salah, hendak dinanti reda seakan menjemput masalah. Lantas secangkir kopi, sebatang pena dan kertas putih jadi teman mencari solusi. Hujan yang menitik rawak- mencium setiap yang menadah. Isyarat tiada manusia yang terlepas dari masalah. Di mana teduh sebagai wadah. Carilah redup bukan hujan dan panas terdedah.

Romantika hujan berterusan. Secangkir kopi tinggal setengah- tapi hujan seperti demam tak kunjung kebah. Dingin angin yang mengusap wajah, berbisik lembut di telinga. Bunyi hentaman hujan ke bumbung sayup-sayup kedengaran bila khayalan menenggelamkan insan. Boleh saja perindu hanyut walau di atas daratan. Rasa gentar dengan guruh, mujurlah mengembalikan fikiran yang jauh diawangan.

Burung-burung sudah berkicauan semula. Tanda cerah menanti di balik awan. Secangkir kopi siap sudah memanaskan badan. Kertas dan kalam mengasah beku fikiran. Romantika hujan petang terhenti- yang berterusan hanya perjalanan panjang- menuju jalan pulang.




nota: butang "publish post" di blog ini sudah ghaib. baru sebentar ni ia wujud sekejap. sebab kesian agaknya. lantas cepat-cepat aku tekan butang itu. maka kalian terbacalah kalimah ini. haha. cheerio :)

Tuesday, May 4, 2010

biasa

Mari dengarkan, sebuah cerita biasa yang telah aku karangi untukmu . Susuk ini dilagendakan berdarah dakwat berlidahkan kalam namun hakikatnya lebih banyak pena dari huruf yang tertulis. Sungguhpun begitu, dalam kekurangan ini aku karangi sebuah cerita tentang aku.

Aku ini hidup seperti nelayan meski telapak kakiku jauh dari lautan. Sentiasa dibuai ombak, dilanda badai demi penghidupan yang sedikit. Lahirku pada hari yang biasa, cuaca yang biasa. Ibuku orang biasa. Ayahku pun bukan dari golongan dewa-dewa. Rasa biasa inilah yang buat ku gembira. Dan rasa gembira itu pula sangat istimewa bagi orang biasa seperti aku.

Kenanganku yang paling menggembirakan adalah semasa aku menangis. Sedang kenangan yang paling menyedihkanku adalah semasa aku tertawa. Tangis demi Tuhan buat aku gembira kerana ketika itu aku masih punya iman. Tertawa yang terlalu suka sebaliknya menyedihkan kerana aku lalai mengingati Tuhanku.

Aku sudah menuntut bahagianku dalam menang dan hilang. Aku sudah merangkak dan berjalan terus berlari pantas. Aku sudah pernah menyelami lautan dalam dan terbang tinggi memijak awan. Tidur dibuai bumi berkelambukan bintang-bintang terang diselimuti rasa aman dan tenang.

Jiwaku ini pernah menyeberang lautan dan tanah kontang. Sambil hatiku menjadi garis lintang- menjejak kemana kasihku hilang diambil orang. Mencari yang hilang, berhajat mahukan ia pulang. Mekar kembali rasa gemilang laksana cahaya bintang yang bergemerlapan. Dekat di hati bersemi di jiwa, nota-nota cinta ku tiupkan ke angin bawa ia pergi bertitipkan kasih yang tak berkurangan... selama dia redha.


Bukankah aku sudah menyata, cerita ini cerita yang biasa... Mahukah kau percaya?