Friday, December 31, 2010

pesan hati [v]

Wahai hati yang bertawakal

Usahlah kau bimbang dengan setiap ketentuan. Semoga doamu bahawa setiap hal diluar pengetahuan menyebelahimu dimakbulkan. Percayalah dengan janji-janji Tuhan, bahawa setiap dugaan dan nikmat yang ditimpakan, pasti sanggup dirimu menampan bebanan dengan akhirnya jua kau terima pembalasan, baik dan buruk, setiap amalan yang kau kerjakan.

Wahai hati,

Cukuplah dahulu aku sampaikan pesanan sepertimana yang pernah engkau wasiatkan. Sampai waktunya nanti, pasti aku akan kembali membawa pesanan-pesananmu yang telah engkau titipkan di bahuku menanggungnya untuk ditunaikan.

yang benar,
dirimu

Thursday, December 30, 2010

pesan hati [iv]

Wahai hati yang punya akal

Sering kau ucapkan, betapa kau memahami setiap keadaan, betapa kau kerahkan setiap titis akal fikiranmu mengerti hikmah disebalik setiap kejadian, kau juga tahu penyelesaian serta kesimpulan. Mengapa kau masih duduk diam tanpa sebarang langkah gagah kau ambil setelah kau dikurniakan pedoman?


bersambung..

Wednesday, December 29, 2010

pesan hati [iii]

Wahai hati yang sedang cemburu,

Kau boleh menyalahkan orang lain dan dirimu sendiri dengan setiap yang berlaku. Tetapi masih ingatkah, kau sendiri yang berkata hal yang lebih penting adalah menyelesaikan masalah, bukan mencari siapa yang bersalah. Aku percaya kau bukan jenis berdolak-dalik dengan kata-katamu sendiri, bukan? Mengapa tidak kau lapangkan dirimu, isikan dengan ketenangan. Bersihkan dengan kesabaran. Bukankah itu tujuan kau diciptakan, untuk beriman dengan keesaan, untuk bersabar dengan setiap dugaan?



bersambung..

Tuesday, December 28, 2010

pesan hati [ii]

Wahai hati yang kebingungan,

Entah mengapa, terasa seperti seluruh dunia berpaling tadah dan cuba menyakitimu. Amarahmu memancar seperti matahari merah menyala, terik membakar setiap yang cuba mendekatimu. Kau masih cuba senyum dan berbohong dengan wajah, meski kata-katamu tetap jujur, kadang-kala terlalu indah untuk jadi kenyataan.

Kau pernah bertekad, tidak akan sesekali kau ceritakan keresahanmu kepada sesiapa. Egomu terlalu tinggi menongkat langit, yakin dirimu terlalu kukuh terpasak ke bumi. Takkan kau tunduk dan berserah selain kepada Tuhanmu.


bersambung..

Monday, December 27, 2010

pesan hati [i]

Kehadapan hati yang sedang rasa celaru, semoga kau cepat-cepat sembuh dan tenang seperti selalu.

Tujuanku menulis warkah kecil ini adalah untuk mengingatkan dirimu pesanan yang kau tinggalkan kepadaku berserta dengan amanat untuk mengingatkan semula dirimu andainya kau tenggelam dalam arus kelabu lagi keruh- dan kini, masanya amat sesuai untuk aku tunaikan amanahmu itu.



bersambung..