Marcapada sudah semakin bergolak, tunggang-terbalik hasil tangan homo-sapien yang mencari keuntungan, mencari penghidupan, melaksanakan penindasan atas nama kesaksamaan. Emas hitam yang ditakuti kehabisan sejajar dengan zaman kini memancut, membazir keluar mencemari alam. Anak haram yang lahir dari zina pemikiran dan budaya celaka terus bertebaran. Lantas alam pun menjerit hampa, benci hingga termuntah. Otot-otot kekarnya melipat gunung-ganang, menggoncang pendirian mengaburi pandangan. Lohong hitam bukan lagi terhad di angkasa lepas, tapi sudah mulai menelan penumpang di muka bumi. Lautan bukan lagi tempat mencari ilham dan keamanan. Tanah subur bukan lagi tempat menuai hasil pertanian tapi jadi tapak menumpahkan darah dalam peperangan. Anak-anak muda berpeleseran, leka mencuba aksi sia-sia yang pelbagai demi matlamat kebendaan. Hal kebenaran dipijak tak endah, diludah tanpa kesal sedang hal batil dijulang tinggi tanda kemajuan topengnya. Generasi pelapis kian tipis. Sedikit yang sedar, lebih sedikit lagi yang menyedarkan. Dalam keterdesakan homo-sapien mencari kebenaran, segala yang berjenama Islam diberikan perhatian. Terbit segala kerak dari lubang kepalsuan. Masih ada yang mengambil kesempatan. Homo-sapien yang kembali jahil tidak mengerti beza antara Islam pada iman dengan Islam pada nama dan pakaian. Bencana-bencana mulai diturunkan Tuhan. Bagai ditimpa hujan batu homo-sapien lari lintang-pukang berlindung bawah teduhan. Malangnya nasib banjir kilat menghimpit dari bawah menyingkirkan perlindungan. Apa homo-sapien fikir mereka mampu lari dari pengadilan Tuhan? Kuasawan kian keliru, apakah mereka sedang membuka minda atau menutup panduan? Masing-masing mahu lari dari kegelapan tanpa tangan memegang harapan. Pemikir yang disangkakan cendekiawan seorang demi seorang menunjuk belang sebagai petualang. Bodohnya homo-sapien yang menutup mata sambil mengaku terbuka fikiran. Bodohnya homo-sapien yang melihat kuman di seberang lautan tapi syaitan besar di depan mata masih membonekai dibalik tabir kealpaan fikiran. Jadilah homo-sapien itu kandas dalam ujian Tuhan. Jadilah homo-sapien sebahagian dari golongan yang kerugian. Kemurkaan Tuhan jangan sesekali disisip dalam perbuatan harian. Ini bukan cereka, bukan juga sindiran. Ini kebenaran. Bukalah matamu dan pandanglah sekeliling, nescaya yang kau temui bukan sekadar seperti igauan ngeri yang kau sangkakan.
note: FFT stands for Food for Thought.