Friday, February 26, 2010

pancang emas

Pancang emas terpacak, jadi tanda taklukan hati. Bendera tanpa warna bersinar digilap mentari, berseri disimbahi purnama. Tenang gelora laut. Sepilah hutan rimba. Cari di mana raja yang mengaum tanda kuasa. Demi jajah takluk diratakan gunung-ganang penongkat langit, pemasak bumi. Laut mati dihembus menjadi debu dan batu. Berajalah fikrah dalam tubuh-tubuh berjiwa kudus, perilaku mulus. Hendak kemana dicampakkan karung baju silam yang hanya penuh dengan tompokan darah kering perosak bangsa jika bukan ke lubuk bahana. Hujan, turunlah menyucikan tanah-tanah gersang dengan tumbuhan berbuah. Biar gembira pipit-pipit kecil mengerumuni hasilnya. Lalu ia membajai pula biar subur tanah bencana. Awan dekatilah dengan redupmu membawa kelegaan dari remangnya mentari membakar. Dan dari tanah segalanya bermula, kepada tanah jua semuanya hancur menjadi debu tanpa bersisa.

Sunday, February 7, 2010

soalan ajaib

Nelayan tua pulang ke rumah dengan membawa seekor ikan. Isterinya yang hairan melihat saiz ikan sebesar itu pun bertanya,

"Dari mana datangnya ikan ini?"

"Aku mengail sebentar tadi. Percayakah kau jika aku katakan ikan ini ajaib?"

"Ajaib bagaimana?"

"Ia boleh berbicara seperti manusia," Balas nelayan tua bersahaja.

"Bagaimana mungkin kau boleh menangkapnya jika ia boleh berbicara? Tentulah ia ikan paling bijak dalam dunia," balas isterinya, kurang percaya.

"Oh, tidak. Ikan inilah yang paling bodoh sekali. Dia dibuang dari sekolah ikan-ikan sedunia kerana kebengapannya. Aku pujuk dia, akan menjadikan dia gulai yang paling sedap dalam dunia jika dia sanggup menggigit mata kailku tadi,"

"Bagaimana kau memujuknya?"

"Aku ceritakan kepadanya betapa dia akan menjadi terkenal jika sudi menggigit mata kailku," nelayan tua tersengih seribu makna.

"Kemudian, dia terus menyerah?" si isteri cuba meneka.

"Tidak, sehingga aku bertanyakan satu soalan, soalan yang tak kurang ajaibnya. Soalan yang seolah-olah berjampi sehingga mampu untuk mencairkan segala yang keras dan beku, baik manusia, binatang, mahupun jin!" tegas nelayan bersungguh-sungguh.

"Soalan apa? Dari mana pula datangnya?"

"Oh, aku pelajari dari suratkhabar baru-baru ini,"

"Soalan berjampi dari suratkhabar? Apa soalannya?" Tanya isteri dengan pelbagai rencana dalam kepalanya.

"Can I fish you today?" Jawab nelayan dengan nada menggoda sambil membuat gaya gagah berani seperti panglima tentera yang kehilangan gigi kerana tergigit bom tangan.

***

Nota: Aku tak berkesempatan nak tulis panjang-panjang. Faham sendiri sajalah. :)

Saturday, January 30, 2010

jamban

AMARAN: Anda tidak digalakkan membaca satira ini sebelum makan, selepas makan, lebih-lebih lagi ketika makan. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan emosi dan fizikal yang disebabkan oleh pembacaan satira ini. Viewer discretion is highly recommended.


Dumm! Bunyi pintu dihempas kuat. Tanda ada orang yang sedang marah, atau mungkin juga sedang dalam kecepatan. Namun mengetahui bahawa pintu yang dihempas itu adalah pintu jamban, maka lebih masuk akal orang yang menghempasnya sedang dalam kecepatan, terdesak mahu mengeluarkan segala isi-isi perut yang sudah dihadam menjadi buangan dalam badan.

**

Wajah berkeriut-keriut meneran perut. Nafas ditarik dalam-dalam dan diteran. Entah apa yang dimakan sehingga begitu sekali buruk rupanya. Bermacam-macam ekspresi tergambar di wajah. Fikiran entah kemana. Yang pasti cuma ada satu yang sedang menguasai kesentengan akal itu. Mahu berak dengan cepat dan lekas rasa selesa. Crett crett crett! Bunyinya sahaja sudah memberikan watak busuk kepada perbuatan itu. Menyahtinja begitu memualkan. Namun tetap sebahagian dari sifat hidupan, ada yang masuk, tentulah ada yang keluar.

Kemudian kedengaran pula bunyi kentut yang seakan terompet, tanda sudah selesai najis-najis yang bergelut dalam ususnya diberakkan keluar. Air kencing yang kuning pekat dipancutkan. Lantas dia menarik nafas kelegaan sedalam-dalamnya sebagai mercu kelegaan dan kepuasan. Dia tersenyum sendirian. Puas! Tiada lagi rasa terdesak meluap-luap dalam dada.

Tali pam ditarik sebaik saja dia meludahkan kahak hijau yang bertakung di tekak. Pintu perlahan-lahan dibuka. Terlihatlah seorang yang gemuk, berperut boroi menapak keluar dengan wajah separa tegas. Rambut putihnya yang jarang-jarang itu menceritakan ketuaan usianya. Cermin mata tebal yang dipakai pula memberitahu betapa dia rabun untuk melihat meski dalam cahaya. Bajunya belum lagi dikemaskan, tali pinggangnya yang terlindung bawah boyotan perut boroi itu juga masih lagi belum betul-betul diketatkan.

**

Lubang jamban yang ternganga, tidak pernah tertutup itu hanya mampu menelan sahaja segala apa yang dibuangkan, diberakkan ke dalamnya. Tahi, air kencing, ludah-ludah berkahak, lampin dewasa, ahh, namakan sahaja! Bayi pun sudah ada yang dipamkan ke dalam lubang jamban yang sungguh kotor itu.

Tatkala pintu jamban ditarik dan dihempas semula, sudah boleh diagak nasib yang akan menimpa. Oh, bukan nasib, tapi kumbahan yang bakal menimpanya. Jamban bukan dicipta untuk meluahkan semula apa-apa yang disumbatkan ke dalam lubangnya. Jamban hanya dicipta untuk menerima saja, tanpa sekatan, tanpa tapisan setiap sesuatu yang disumbatkan kedalam lubangnya. Dengan sekali pam, dan semuanya akan kembali seperti biasa sehinggalah ada watak lain yang melakukan kumbahan di tempat yang sama.

 Jamban takkan sesekali mengeluh biar sebusuk manapun tahi yang diberakkan ke permukaan licin  seramiknya. Biar sehijau manapun kahak-kahak berlendir yang diludahkan kelubang tekaknya. Biar sekuning apa pun kencing yang disiram kepadanya. Jamban akan berdiam dan telan sahaja. Itu sifat jamban yang diinginkan manusia. Kasihan, jika ada manusia yang fikiran dan sifatnya seperti jamban. Celaka, jika ada manusia yang inginkan insan berakal yang lain menjadi seperti jamban!




Nota: Sila muntah di tempat lain. Terima kasih.

Sunday, January 24, 2010

belasungkawa

Apa yang lebih baik untuk diberikan selain takziah, keampunan dan doa,

dan apa pula yang lebih baik untuk diambil selain iktibar manusia semuanya fana?

al-fatihah.

Friday, January 22, 2010

cemerkap

debu masih berterbangan mengaburi pandangan
bom-bom masih gugur laksana titisan hujan
dalam kacau bilau tanpa keamanan
masih ada yang tidak mengendahkan
lantaran hanyut dibuai cinta dan angan-angan

habuk yang menyesakkan
tiada penghujung, tiada berkurangan
tembakan meletus dari mesingan
bertalu-talu tanpa belas kasihan
celaka, masih ada yang mengisytiharkan aman!

ribuan jiwa sudah terkorban
ada yang sia-sia, ada yang kerana perjuangan
peluru dan bom tidak mengenal dosa silam
tauke, kuli, hamba abdi semuanya sama
jadi mangsa peperangan
semuanya sama jadi korban
jahanamlah dengan manusia yang hanya tamakkan habuan!

jalan-jalan masih sunyi dari bunyi-bunyian
hiruk pikuk pasar dan kanak-kanak yang keriangan
yang tinggal hanya kengerian dan ketakutan
terlalu buruk untuk dijadikan kenangan
terlalu pahit untuk ditelan keberlaluan zaman
terlalu berdarah untuk begitu saja dilupakan

tangis ibu dan saudara sudah mengganti nyanyian penghibur
talkin dibaca hingga larut dalam lidah si pengubur
syuhada itu masih ada yang belum berkubur
syuhada itu masih ada yang dagingnya belum hancur
tinggalan perang kini jadi tempat berlibur
juga kubu mujahidin sebelum menggempur.