Tuesday, July 6, 2010

FFT: homo-sapiens

Marcapada sudah semakin bergolak, tunggang-terbalik hasil tangan homo-sapien yang mencari keuntungan, mencari penghidupan, melaksanakan penindasan atas nama kesaksamaan. Emas hitam yang ditakuti kehabisan sejajar dengan zaman kini memancut, membazir keluar mencemari alam. Anak haram yang lahir dari zina pemikiran dan budaya celaka terus bertebaran. Lantas alam pun menjerit hampa, benci hingga termuntah. Otot-otot kekarnya melipat gunung-ganang, menggoncang pendirian mengaburi pandangan. Lohong hitam bukan lagi terhad di angkasa lepas, tapi sudah mulai menelan penumpang di muka bumi. Lautan bukan lagi tempat mencari ilham dan keamanan. Tanah subur bukan lagi tempat menuai hasil pertanian tapi jadi tapak menumpahkan darah dalam peperangan. Anak-anak muda berpeleseran, leka mencuba aksi sia-sia yang pelbagai demi matlamat kebendaan. Hal kebenaran dipijak tak endah, diludah tanpa kesal sedang hal  batil dijulang tinggi tanda kemajuan topengnya. Generasi pelapis kian tipis. Sedikit yang sedar, lebih sedikit lagi yang menyedarkan. Dalam keterdesakan homo-sapien mencari kebenaran, segala yang berjenama Islam diberikan perhatian. Terbit segala kerak dari lubang kepalsuan. Masih ada yang mengambil kesempatan. Homo-sapien yang kembali jahil tidak mengerti beza antara Islam pada iman dengan Islam pada nama dan pakaian. Bencana-bencana mulai diturunkan Tuhan. Bagai ditimpa hujan batu homo-sapien lari lintang-pukang berlindung bawah teduhan. Malangnya nasib banjir kilat menghimpit dari bawah menyingkirkan perlindungan. Apa homo-sapien fikir mereka mampu lari dari pengadilan Tuhan? Kuasawan kian keliru, apakah mereka sedang membuka minda atau menutup panduan? Masing-masing mahu lari dari kegelapan tanpa tangan memegang harapan. Pemikir yang disangkakan cendekiawan seorang demi seorang menunjuk belang sebagai petualang. Bodohnya homo-sapien yang menutup mata sambil mengaku terbuka fikiran. Bodohnya homo-sapien yang melihat kuman di seberang lautan tapi syaitan besar di depan mata masih membonekai dibalik tabir kealpaan fikiran. Jadilah homo-sapien itu kandas dalam ujian Tuhan. Jadilah homo-sapien sebahagian dari golongan yang kerugian. Kemurkaan Tuhan jangan sesekali disisip dalam perbuatan harian. Ini bukan cereka, bukan juga sindiran. Ini kebenaran. Bukalah matamu dan pandanglah sekeliling, nescaya yang kau temui bukan sekadar seperti igauan ngeri yang kau sangkakan.



note: FFT stands for Food for Thought.

Monday, June 7, 2010

anak palestina

Pemuda itu berdiri di atas bukit, memandang dari kejauhan mentari yang kian tenggelam di ufuk. Laras senjata warisan ayahanda digenggam kemas. Fikirannya mengembara ke masa silam yang kusam, dengan harapan untuk mencari masa depan yang tenteram. Beratus tahun lamanya sudah berlalu. Tanah bersumpahan masih bergegar setiap hari. Manakan hendak dicari keamanan buat buminya. Sekawan burung putih berterbangan bebas, dahulunya ditunjuki sang ibu buat memujuk dia yang menangis jatuh, kini tiada lagi. Hanya garuda bongkak yang masih angkuh menghujani bumi subur dengan kehancuran dan kemusnahan, bahkan cuba merampas segala-gala termasuk nyawanya. Sang ibu pun kini tiada lagi. Mengikut jejak ayahanda yang syahid mempertahankan agama dan maruah. Tinggal anak kecil yang terkontang-kanting- tanpa botol susu dalam genggaman, tanpa kasih sayang yang membuatkan dia rasa aman. Zaman berlalu dirasakan perlahan, menyeksa hatinya dengan kerinduan, tak kurang kebencian. Dia sudah penat bermandi airmata. Kini anak kecil sudah dewasa. Gilirannya pula berkeringat tubuh dan memerah fikiran mencari jalan kebebasan. Biarpun darah yang menjadi mesti dikorbankan. Dia tidak peduli, biar tentera gajah ataupun raksasa yang merintangi. Dia tidak peduli, apa esok dia akan mati mempertahankan haknya. Dia tidak kisah lagi, asal saja matinya adalah demi agamanya, demi buminya. Dalam fikirannya cuma ada, dia mesti berjuang untuk kesucian agamanya, keredhaan Tuhannya, juga masa depan zuriatnya- anak-anak Palestina. Anak-anak yang akan menebus kembali zaman gemilang yang telah lama hilang.

Saturday, June 5, 2010

palestina dan umat Islam

Dengan nama Allah, Tuhan Sekelian Alam, selawat dan salam untuk junjungan besar, Muhammad, Rasulullah.

Salam sejahtera saya doakan buat saudara dan saudari. Terima kasih atas kunjungan ke sini.


Di awal bulan ini, sekali lagi, seperti yang sudah dijangkakan, Zionis sekali lagi mengganas, dan kali ini mereka mencabuli rombongan bantuan kemanusiaan yang berlayar ke semenanjung Gaza bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kekejaman regim Zionis ini. Ada yang terbunuh, tak kurang juga yang dicederakan dan ditawan. Apapun, syukur kepada Allah, semakin ramai tawanan terbabit sudahpun dibebaskan tanpa syarat, setakat penulisan ini dibuat.

Saya di sini, secara sedar, mempunyai sedikit rasa berterima kasih kepada kesilapan regim terkutuk yang menyerang kapal Mavi Marmara pada sekitar minggu ini. Serangan tersebut telah mengundang kembali semangat jihad fi sabilillah yang telah sekian lamanya usang di lubuk hati ramai yang bergelar muslim. Hakikat kita semakin hari semakin dibelenggu soal kebendaan dunia yang sementara sehingga kita lalai dan lupa untuk turut menyumbang kepada saudara-saudara seagama kita di bumi Palestin yang semakin hari semakin kecil saiznya ekoran penjajahan dan penjarahan oleh regim Zion. Saya perhatikan, slogan-slogan "bebaskan Gaza", "kebebasan untuk Palestin" dan "hancurkan Zionis" semakin popular, menunjukkan kesedaran yang semakin baik berkenaan isu ini. Tiada lagi kekeliruan antara Semenanjung Gaza dengan "Semenanjung Ghana" sebaik saja isu ini meletus, iaitu bagi golongan yang langsung tidak cakna kepada isu Palestin-Zionis sebelum ini.

Peristiwa ini kembali meniupkan api kepada bara perjuangan yang kian terpadam dek kesenangan dan kemudahan yang kita kecapi setiap hari. Kesukaran yang kita alami tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kesengsaraan kaum ibu dan anak-anak yang terpaksa menanggung beban sebagai balu-balu serta menjadi yatim piatu setiap hari di sana. Sekali lagi, mujurlah berlakunya serangan ini. Jika tidak, mungkin kita turut terlupa dalam ilusi keamanan yang kononnya dicapai sedikit demi sedikit merampas hak penduduk Palestin, apatah lagi dalam suasana politik dan ekonomi di Malaysia ini semakin digawatkan dengan isu sosial seperti judi, zina, pembuangan anak yang sudah menjadi resepi utama akhbar tabloid tempatan melariskan jualan mereka. Tidak kurang juga, aktiviti hiburan yang semakin keterlaluan melimpah kedalam ruang pemikiran masyarakat yang semakin sendat untuk menerimanya sebagai hanya suatu bahagian kecil dalam kehidupan.

Sesungguhnya, masih belum terlambat untuk kita turut menghulurkan bantuan dari sudut ekonomi dan pendidikan kepada pewaris-pewaris bumi Palestin. Konflik yang kian menjadi semakin rumit ini hanya akan dapat diselesaikan dengan penyatuan tenaga dan usaha oleh seluruh umat Islam di dunia, terutamanya jiran-jiran Palestin seperti Mesir, Arab Saudi dan Iran yang lebih aman berbanding Afghanistan dan Iraq yang masih menderitai kesan pasca peperangan. Tidakkah mereka sepatutnya berasa malu apabila negara-negara bukan Islam lebih berkobar-kobar mengutuk Zionis dan membantu rakyat Palestin? Tidakkah mereka berasa takut akan disoal  tentang usaha mereka membantu saudara-saudara yang hidupnya ditindas, buminya dirampas oleh Zionis di Padang Mahsyar kelak? Doa saya kita terlindung dari aib yang sedemikian rupa dengan menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh, meskipun tidak mampu meletakkan nyawa demi kesucian tanah al-Aqsa tersebut. Solat-solat hajat dan bacaan doa Qunut Nazilah juga semakin dijadikan rutin di sesetengah tempat, walaupun sebenarnya krisis yang melanda umat Islam ini sudah berpuluh-puluh tahun berlaku.

Dalam kesempatan yang sedikit ini, saya memohon saudara-saudari sekelian agar menjadi lebih cakna dalam isu sejagat ini, selain turut memainkan peranan menjadi agen penyebar maklumat yang berkesan kepada kenalan-kenalan terdekat. Harapan saya, semoga dengan kesedaran yang semakin baik ini, kita akan menjadi lebih bersungguh-sungguh dalam membantu nasib rakyat Palestin yang sudah sekian lamanya menderitai kekejaman regim Zionis. Ingatlah, jatuh bangunnya keagungan agama Islam serta tanggungjawab memelihara kesuciannya dari terus dinodai adalah tanggungjawab kita bersama. Saya dahului dengan ucapan jutaan syukur kepada Ilahi dan terima kasih. Sekian.

Tuesday, May 25, 2010

romantika hujan petang

Hujan lebat memangkah langkah. Hendak diredah salah, hendak dinanti reda seakan menjemput masalah. Lantas secangkir kopi, sebatang pena dan kertas putih jadi teman mencari solusi. Hujan yang menitik rawak- mencium setiap yang menadah. Isyarat tiada manusia yang terlepas dari masalah. Di mana teduh sebagai wadah. Carilah redup bukan hujan dan panas terdedah.

Romantika hujan berterusan. Secangkir kopi tinggal setengah- tapi hujan seperti demam tak kunjung kebah. Dingin angin yang mengusap wajah, berbisik lembut di telinga. Bunyi hentaman hujan ke bumbung sayup-sayup kedengaran bila khayalan menenggelamkan insan. Boleh saja perindu hanyut walau di atas daratan. Rasa gentar dengan guruh, mujurlah mengembalikan fikiran yang jauh diawangan.

Burung-burung sudah berkicauan semula. Tanda cerah menanti di balik awan. Secangkir kopi siap sudah memanaskan badan. Kertas dan kalam mengasah beku fikiran. Romantika hujan petang terhenti- yang berterusan hanya perjalanan panjang- menuju jalan pulang.




nota: butang "publish post" di blog ini sudah ghaib. baru sebentar ni ia wujud sekejap. sebab kesian agaknya. lantas cepat-cepat aku tekan butang itu. maka kalian terbacalah kalimah ini. haha. cheerio :)

Tuesday, May 4, 2010

biasa

Mari dengarkan, sebuah cerita biasa yang telah aku karangi untukmu . Susuk ini dilagendakan berdarah dakwat berlidahkan kalam namun hakikatnya lebih banyak pena dari huruf yang tertulis. Sungguhpun begitu, dalam kekurangan ini aku karangi sebuah cerita tentang aku.

Aku ini hidup seperti nelayan meski telapak kakiku jauh dari lautan. Sentiasa dibuai ombak, dilanda badai demi penghidupan yang sedikit. Lahirku pada hari yang biasa, cuaca yang biasa. Ibuku orang biasa. Ayahku pun bukan dari golongan dewa-dewa. Rasa biasa inilah yang buat ku gembira. Dan rasa gembira itu pula sangat istimewa bagi orang biasa seperti aku.

Kenanganku yang paling menggembirakan adalah semasa aku menangis. Sedang kenangan yang paling menyedihkanku adalah semasa aku tertawa. Tangis demi Tuhan buat aku gembira kerana ketika itu aku masih punya iman. Tertawa yang terlalu suka sebaliknya menyedihkan kerana aku lalai mengingati Tuhanku.

Aku sudah menuntut bahagianku dalam menang dan hilang. Aku sudah merangkak dan berjalan terus berlari pantas. Aku sudah pernah menyelami lautan dalam dan terbang tinggi memijak awan. Tidur dibuai bumi berkelambukan bintang-bintang terang diselimuti rasa aman dan tenang.

Jiwaku ini pernah menyeberang lautan dan tanah kontang. Sambil hatiku menjadi garis lintang- menjejak kemana kasihku hilang diambil orang. Mencari yang hilang, berhajat mahukan ia pulang. Mekar kembali rasa gemilang laksana cahaya bintang yang bergemerlapan. Dekat di hati bersemi di jiwa, nota-nota cinta ku tiupkan ke angin bawa ia pergi bertitipkan kasih yang tak berkurangan... selama dia redha.


Bukankah aku sudah menyata, cerita ini cerita yang biasa... Mahukah kau percaya?