Saturday, June 5, 2010

palestina dan umat Islam

Dengan nama Allah, Tuhan Sekelian Alam, selawat dan salam untuk junjungan besar, Muhammad, Rasulullah.

Salam sejahtera saya doakan buat saudara dan saudari. Terima kasih atas kunjungan ke sini.


Di awal bulan ini, sekali lagi, seperti yang sudah dijangkakan, Zionis sekali lagi mengganas, dan kali ini mereka mencabuli rombongan bantuan kemanusiaan yang berlayar ke semenanjung Gaza bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kekejaman regim Zionis ini. Ada yang terbunuh, tak kurang juga yang dicederakan dan ditawan. Apapun, syukur kepada Allah, semakin ramai tawanan terbabit sudahpun dibebaskan tanpa syarat, setakat penulisan ini dibuat.

Saya di sini, secara sedar, mempunyai sedikit rasa berterima kasih kepada kesilapan regim terkutuk yang menyerang kapal Mavi Marmara pada sekitar minggu ini. Serangan tersebut telah mengundang kembali semangat jihad fi sabilillah yang telah sekian lamanya usang di lubuk hati ramai yang bergelar muslim. Hakikat kita semakin hari semakin dibelenggu soal kebendaan dunia yang sementara sehingga kita lalai dan lupa untuk turut menyumbang kepada saudara-saudara seagama kita di bumi Palestin yang semakin hari semakin kecil saiznya ekoran penjajahan dan penjarahan oleh regim Zion. Saya perhatikan, slogan-slogan "bebaskan Gaza", "kebebasan untuk Palestin" dan "hancurkan Zionis" semakin popular, menunjukkan kesedaran yang semakin baik berkenaan isu ini. Tiada lagi kekeliruan antara Semenanjung Gaza dengan "Semenanjung Ghana" sebaik saja isu ini meletus, iaitu bagi golongan yang langsung tidak cakna kepada isu Palestin-Zionis sebelum ini.

Peristiwa ini kembali meniupkan api kepada bara perjuangan yang kian terpadam dek kesenangan dan kemudahan yang kita kecapi setiap hari. Kesukaran yang kita alami tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kesengsaraan kaum ibu dan anak-anak yang terpaksa menanggung beban sebagai balu-balu serta menjadi yatim piatu setiap hari di sana. Sekali lagi, mujurlah berlakunya serangan ini. Jika tidak, mungkin kita turut terlupa dalam ilusi keamanan yang kononnya dicapai sedikit demi sedikit merampas hak penduduk Palestin, apatah lagi dalam suasana politik dan ekonomi di Malaysia ini semakin digawatkan dengan isu sosial seperti judi, zina, pembuangan anak yang sudah menjadi resepi utama akhbar tabloid tempatan melariskan jualan mereka. Tidak kurang juga, aktiviti hiburan yang semakin keterlaluan melimpah kedalam ruang pemikiran masyarakat yang semakin sendat untuk menerimanya sebagai hanya suatu bahagian kecil dalam kehidupan.

Sesungguhnya, masih belum terlambat untuk kita turut menghulurkan bantuan dari sudut ekonomi dan pendidikan kepada pewaris-pewaris bumi Palestin. Konflik yang kian menjadi semakin rumit ini hanya akan dapat diselesaikan dengan penyatuan tenaga dan usaha oleh seluruh umat Islam di dunia, terutamanya jiran-jiran Palestin seperti Mesir, Arab Saudi dan Iran yang lebih aman berbanding Afghanistan dan Iraq yang masih menderitai kesan pasca peperangan. Tidakkah mereka sepatutnya berasa malu apabila negara-negara bukan Islam lebih berkobar-kobar mengutuk Zionis dan membantu rakyat Palestin? Tidakkah mereka berasa takut akan disoal  tentang usaha mereka membantu saudara-saudara yang hidupnya ditindas, buminya dirampas oleh Zionis di Padang Mahsyar kelak? Doa saya kita terlindung dari aib yang sedemikian rupa dengan menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh, meskipun tidak mampu meletakkan nyawa demi kesucian tanah al-Aqsa tersebut. Solat-solat hajat dan bacaan doa Qunut Nazilah juga semakin dijadikan rutin di sesetengah tempat, walaupun sebenarnya krisis yang melanda umat Islam ini sudah berpuluh-puluh tahun berlaku.

Dalam kesempatan yang sedikit ini, saya memohon saudara-saudari sekelian agar menjadi lebih cakna dalam isu sejagat ini, selain turut memainkan peranan menjadi agen penyebar maklumat yang berkesan kepada kenalan-kenalan terdekat. Harapan saya, semoga dengan kesedaran yang semakin baik ini, kita akan menjadi lebih bersungguh-sungguh dalam membantu nasib rakyat Palestin yang sudah sekian lamanya menderitai kekejaman regim Zionis. Ingatlah, jatuh bangunnya keagungan agama Islam serta tanggungjawab memelihara kesuciannya dari terus dinodai adalah tanggungjawab kita bersama. Saya dahului dengan ucapan jutaan syukur kepada Ilahi dan terima kasih. Sekian.

Tuesday, May 25, 2010

romantika hujan petang

Hujan lebat memangkah langkah. Hendak diredah salah, hendak dinanti reda seakan menjemput masalah. Lantas secangkir kopi, sebatang pena dan kertas putih jadi teman mencari solusi. Hujan yang menitik rawak- mencium setiap yang menadah. Isyarat tiada manusia yang terlepas dari masalah. Di mana teduh sebagai wadah. Carilah redup bukan hujan dan panas terdedah.

Romantika hujan berterusan. Secangkir kopi tinggal setengah- tapi hujan seperti demam tak kunjung kebah. Dingin angin yang mengusap wajah, berbisik lembut di telinga. Bunyi hentaman hujan ke bumbung sayup-sayup kedengaran bila khayalan menenggelamkan insan. Boleh saja perindu hanyut walau di atas daratan. Rasa gentar dengan guruh, mujurlah mengembalikan fikiran yang jauh diawangan.

Burung-burung sudah berkicauan semula. Tanda cerah menanti di balik awan. Secangkir kopi siap sudah memanaskan badan. Kertas dan kalam mengasah beku fikiran. Romantika hujan petang terhenti- yang berterusan hanya perjalanan panjang- menuju jalan pulang.




nota: butang "publish post" di blog ini sudah ghaib. baru sebentar ni ia wujud sekejap. sebab kesian agaknya. lantas cepat-cepat aku tekan butang itu. maka kalian terbacalah kalimah ini. haha. cheerio :)

Tuesday, May 4, 2010

biasa

Mari dengarkan, sebuah cerita biasa yang telah aku karangi untukmu . Susuk ini dilagendakan berdarah dakwat berlidahkan kalam namun hakikatnya lebih banyak pena dari huruf yang tertulis. Sungguhpun begitu, dalam kekurangan ini aku karangi sebuah cerita tentang aku.

Aku ini hidup seperti nelayan meski telapak kakiku jauh dari lautan. Sentiasa dibuai ombak, dilanda badai demi penghidupan yang sedikit. Lahirku pada hari yang biasa, cuaca yang biasa. Ibuku orang biasa. Ayahku pun bukan dari golongan dewa-dewa. Rasa biasa inilah yang buat ku gembira. Dan rasa gembira itu pula sangat istimewa bagi orang biasa seperti aku.

Kenanganku yang paling menggembirakan adalah semasa aku menangis. Sedang kenangan yang paling menyedihkanku adalah semasa aku tertawa. Tangis demi Tuhan buat aku gembira kerana ketika itu aku masih punya iman. Tertawa yang terlalu suka sebaliknya menyedihkan kerana aku lalai mengingati Tuhanku.

Aku sudah menuntut bahagianku dalam menang dan hilang. Aku sudah merangkak dan berjalan terus berlari pantas. Aku sudah pernah menyelami lautan dalam dan terbang tinggi memijak awan. Tidur dibuai bumi berkelambukan bintang-bintang terang diselimuti rasa aman dan tenang.

Jiwaku ini pernah menyeberang lautan dan tanah kontang. Sambil hatiku menjadi garis lintang- menjejak kemana kasihku hilang diambil orang. Mencari yang hilang, berhajat mahukan ia pulang. Mekar kembali rasa gemilang laksana cahaya bintang yang bergemerlapan. Dekat di hati bersemi di jiwa, nota-nota cinta ku tiupkan ke angin bawa ia pergi bertitipkan kasih yang tak berkurangan... selama dia redha.


Bukankah aku sudah menyata, cerita ini cerita yang biasa... Mahukah kau percaya?

Monday, April 19, 2010

Beruang dalam minda

that doing the right thing is mandatory eventhough everything else seemed to go wrong. Keep in mind, those "went wrongs" only SEEM to be as you see it, for you might never had the chance to know that they are the best for you in someway. Trust me. Or not.

So much for a quote of the week.

Cheerio.

Friday, April 2, 2010

khas untuk ayahanda

asyik teringat setiap saat
lonjak hati melantun-lantun
dari isnin hingga jumaat
memerah akal menulis pantun

tinggi-tinggi pokok kelapa
buahnya jatuh ke dalam perigi
anakanda lambat bukannya lupa
cuma ilham tak tiba lagi

singgah sebentar di kedai nyonya
mencari tepung tetapi tiada
dari bangi anakanda bertanya
apa khabar ayahanda dan bonda?

berehat-rehat di tepi beranda
singgah pula jiran bertamu
ucapan selamat untuk ayahanda
sempena ulangtahun hari lahirmu

dari mantin ke bukittinggi
pergi menziarah saudara-mara
moga umur dipanjangkan lagi
iman diteguhi hati pun gembira

jikalau hamba berjalan kaki
baiknya hati ditumpangkan sekali
kumohon jua dimurahkan rezeki
dan hidup tenang bak air di kali

anak kecil belajar memanjat
dibiarkan jangan, diperhatikan selamat
kepada Tuhan anakanda bermunajat
ayahanda bonda dikurniakan rahmat

sungai machang tempat membesar
banyak kisah penuh beerti
andai bahasa ada terkasar
harap ayahanda tak kecil hati

andai kemarau mahu melanda
empanglah air di sungai tekala
sekian dahulu dari anakanda
moga doa dimakbulkan belaka


sekian.